Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 lelaki dijel kerana keganasan, cuba bunuh ketua mufti Tajikistan

Feb 14, 2025 | 12:37 PM
Majoriti penduduk Tajikistan adalah penganut mazhab Hanafi Islam Sunni.
Majoriti penduduk Tajikistan adalah penganut mazhab Hanafi Islam Sunni. - Foto Internet

DUSHANBE: Mahkamah di Tajikistan menjatuhkan hukuman penjara antara dua tahun dengan 26 tahun ke atas tiga lelaki kerana cubaan membunuh ketua mufti republik Asia Tengah itu pada 2024, kata ketua Mahkamah Agung pada 13 Februari.

Encik Sayeedmukarram Abduqodirzoda mengalami kecederaan ringan pada September selepas seseorang yang mempunyai “motif samseng” menikamnya selepas menunaikan solat di sebuah masjid Dushanbe, ibu negara Tajikistan.

Pelaku serangan itu, seorang pelajar berusia 24 tahun, dipenjarakan selama 26 tahun selepas didapati bersalah atas keganasan dan cubaan membunuh, kata Encik Rustam Mirzozoda, pengerusi Mahkamah Agung Tajikistan, memberitahu sidang akhbar pada 13 Februari.

Seorang lagi lelaki dijel 13 tahun kerana keganasan dan lelaki ketiga pula selama dua tahun kerana gagal melaporkan jenayah itu.

Encik Mirzozoda berkata penyiasat telah membuat kesimpulan terdapat “tanda ekstremisme dalam jenayah itu”.

Tajikistan ialah sebuah negara yang diapit Afghanistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan China.

Majoriti 10 juta penduduk Tajikistan adalah penganut mazhab Hanafi Islam Sunni.

Encik Abduqodirzoda, 61 tahun, telah berkhidmat sebagai pengerusi institusi Islam tertinggi Tajikistan, Majlis Ulama Islam, sejak 2010.

Beliau terkenal kerana bersuara menentang penyebaran ekstremisme agama dalam khutbahnya, dan menggesa golongan muda supaya tidak menyertai kumpulan radikal.

Kumpulan militan IStelah dikalahkan di Syria pada 2019 tetapi kumpulan serpihan termasuk Negara Islam Khorasan (ISIS-K), cawangan Afghanistan, meneruskan serangan, termasuk tembakan beramai-ramai di dewan konsert dekat Moscow pada 2024.

Menteri Luar Tajikistan, Encik Sirojiddin Muhriddin, memberitahu pemberita pada 13 Februari bahawa keadaan di sempadan sepanjang 1,350 kilometer dengan Afghanistan “terkawal” dan sempadan itu “dijaga dengan ketat” oleh pengawal sempadan dan pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata tiga serangan militan dilaporkan berlaku di Tajikistan pada 2024, semuanya di bandar tenggara Kulob, dan dua serangan telah digagalkan.

Awal bulan Februari, sembilan banduan yang telah disabitkan dengan kaitan dengan IS dan gerakan Jihadi Salafi, menyerang pengawal di sebuah penjara di luar Dushanbe dalam cubaan melarikan diri, menyebabkan lima banduan maut. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg