ARBAAT, Sudan: Sebuah empangan berhampiran pantai Laut Merah Sudan pecah pada 25 Ogos, meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Air dan arus kuat telah turut memusnahkan sekurang-kurangnya 20 buah kampung.
Empangan itu, di kawasan terpencil yang terletak 40 kilometer di utara Pelabuhan Sudan, membekalkan air minuman ke bandar Laut Merah.
Menurut PBB, gelombang air telah menembusi empangan, memusnahkan sekurang-kurangnya 20 buah kampung dan menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terkorban di wilayah yang dilanda perang saudara selama berbulan-bulan.
Hujan lebat menyebabkan banjir yang melanda Empangan Arbaat pada 25 Ogos yang terletak hanya 40 kilometer di utara Pelabuhan Sudan, ibu negara, pangkalan de facto bagi pemerintah Sudan, pejabat diplomat dan agensi-agensi bantuan.
Banjir juga menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
“Kawasan itu tidak dapat dikenali. Bekalan elektrik dan air musnah,” kata Omar Eissa Haroun, ketua penguasa air untuk negeri Laut Merah, dalam mesej WhatsApp kepada kakitangannya.
Seorang pegawai penyelamat menyatakan bahawa antara 150 dengan 200 orang dilaporkan hilang.
Beliau mendakwa telah melihat beberapa mayat pelombong emas dan peralatan mereka ranap dalam banjir dan menyamakan bencana itu dengan kemusnahan di bandar Derna di timur Libya pada September tahun lalu apabila air dan ribut memecah empangan, menghanyutkan bangunan dan membunuh beribu-ribu orang.
Dalam perjalanan ke Arbaat pada 26 Ogos, seorang wartawan Reuters melihat orang ramai mengebumikan jenazah seorang lelaki dan menutup kuburnya dengan kayu hanyut untuk cuba menghalangnya daripada dihanyutkan dalam tanah runtuh.
“Bandar di Sudan itu diancam masalah ketiadaan bekalan air besih dalam beberapa hari akan datang,” kata Persatuan Pencinta Alam Sekitar Sudan dalam satu kenyataan. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg