KATHMANDU: Kira-kira 33,000 penduduk Nepal yang terjejas akibat banjir besar Ogos lalu perlu dipindahkan secara kekal ke kawasan lebih selamat kerana kediaman asal mereka berisiko dilanda bencana serupa pada masa depan.

Ketua Penguasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, Encik Dharam Raj Uprety, berkata kawasan yang menunjukkan kesan banjir, termasuk lokasi yang paras airnya meningkat sehingga 13 meter melebihi paras biasa sungai, akan diisytiharkan sebagai zon bahaya.

Langkah itu bertujuan mengelakkan penduduk kembali menetap di kawasan berisiko tinggi selepas bencana pada 26 Ogos yang mengorbankan 1,451 orang dan menyebabkan kira-kira 5,700 lagi masih hilang.

Dalam wawancara eksklusif bersama Kyodo News yang dilaporkan pada 24 September, Encik Uprety berkata pemerintah tidak mahu mengambil risiko membenarkan penduduk kembali ke kawasan yang boleh dilanda bencana serupa.

“Kami tahu terdapat kemungkinan bencana akan berlaku lagi. Oleh itu, kami tidak mahu mengambil risiko yang lebih besar,” katanya.

Banjir besar dan aliran lumpur serta runtuhan batu itu dipercayai berpunca daripada runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Sungai Lhende Khola di Tibet, menurut pemerintah Nepal.

Bencana tersebut turut memusnahkan atau merosakkan lebih 7,500 bangunan, selain menjejaskan jalan raya, kemudahan awam dan projek tenaga hidro.

Daripada kira-kira 5,700 individu yang masih hilang, lebih 600 merupakan warga asing, termasuk lima rakyat Jepun.

Encik Uprety mengakui usaha memindahkan penduduk bukan mudah kerana ramai mempunyai ikatan emosi yang kuat dengan kampung halaman, tempat mereka dilahirkan dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa lokasi alternatif telah dikenal pasti berhampiran kawasan terjejas.

Pemilihan lokasi berdekatan bertujuan membolehkan mangsa meneruskan kehidupan tanpa perlu berpindah terlalu jauh daripada komuniti asal mereka.

Sementara itu, operasi mencari mangsa di terowong beberapa daripada 12 projek tenaga hidro yang dilanda aliran runtuhan semakin hampir ditamatkan.

Pihak berkuasa dijangka mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat menjelang akhir minggu ini sebelum memberikan tumpuan kepada usaha pemulihan pascabencana.

“Kemungkinan untuk menemui mangsa yang masih hidup amat tipis, malah mungkin tiada langsung,” kata Encik Uprety.

Bagi membantu mangsa membina semula kehidupan, kerajaan mengumumkan bantuan perumahan sebanyak 400,000 rupee Nepal ($3,340) bagi setiap keluarga.

Setiap keluarga yang mempunyai sehingga empat anggota turut layak menerima elaun bulanan sebanyak 15,000 rupee bagi menampung perbelanjaan sara hidup dan sewa rumah.

Tambahan sebanyak 2,000 rupee sebulan akan diberikan bagi setiap anggota keluarga yang melebihi empat orang.

Pemerintah Nepal sebelum ini menganggarkan sebanyak AS$4.77 bilion ($6.1 bilion) diperlukan bagi melaksanakan pemulihan awal.

Bagaimanapun, Encik Uprety memberi amaran bahawa jumlah sebenar mungkin meningkat sehingga dua kali ganda apabila penilaian kerosakan diselesaikan.

Menurutnya, anggaran awal itu belum mengambil kira pampasan yang perlu dibayar kepada pemilik tanah persendirian yang akan diambil alih kerajaan selepas kawasan mereka diisytiharkan sebagai zon bahaya.

“Keperluan pemulihan akhir boleh meningkat dengan mudah sehingga dua kali ganda daripada anggaran awal,” katanya.

Nepal yang berdepan kekangan kewangan berharap mendapat bantuan daripada rakan pembangunan antarabangsa, termasuk Jepun, China, India, Britain, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

Bantuan tersebut diperlukan bukan sahaja untuk membaiki kerosakan, tetapi juga membangunkan kawasan penempatan baru yang selamat bagi ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti