SYDNEY: Mayat seorang lelaki ditemui dalam kereta yang terperangkap dalam banjir di tenggara Australia pada 23 Mei, menjadikan jumlah kematian kepada empat orang, selepas tiga hari hujan lebat menenggelamkan seluruh bandar, menghanyutkan ternakan dan memusnahkan rumah.
Polis berkata lelaki itu ditemui berhampiran Pelabuhan Coffs, sekitar 550 kilometer ke utara Sydney.
Usaha mencari seseorang yang hilang diteruskan sejak banjir bermula awal minggu ini.
Kakitangan perkhidmatan kecemasan akan meningkat usaha menghantar bekalan penting kepada 50,000 penduduk yang terperangkap dalam banjir selepas cuaca reda kelak.
Tetapi pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk yang kembali ke rumah mereka agar berwaspada terhadap bahaya banjir.
“Jika rumah atau premis anda tenggelam, air banjir mempunyai bahan cemar. Mungkin ada kutu, ular... Jadi anda perlu menilai risiko itu. Elektrik juga boleh mendatangkan bahaya,” kata timbalan pesuruhjaya perkhidmatan kecemasan negeri, Encik Damien Johnston, kepada pemberita.
Dalam kejadian itu, paras air yang deras telah memecahkan tebing sungai dan membanjiri beberapa bandar di wilayah Hunter dan Mid North Coast di New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia.
Sampah sarap daripada banjir dan ternakan yang mati dan hilang, terdampar di pantai.
Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, berkata beliau akan melawat bandar yang dilanda banjir pada 23 Mei.
“Keadaan agak mengerikan... ini adalah situasi yang sangat serius,” kata Encik Albanese kepada stesen radio Triple M Newcastle.
Dalam temu ramah dengan stesen penyiar ABC Newcastle, Encik Albanese berkata: “Setiap kejadian cuaca buruk tidak dapat dikaitkan secara khusus kepada perubahan iklim kerana selalu ada kejadian cuaca ekstrem di Australia.
“Tetapi apa yang anda boleh katakan ialah... sains memberitahu kita bahawa ia akan menjadi lebih kerap, lebih sengit dan itulah yang berlaku, itulah sebabnya pemerintah saya mengambilnya dengan serius.”
Lebih 100 sekolah masih ditutup, manakala beribu-ribu rumah terputus bekalan elektrik.
Hujan lebat selama tiga hari beralih ke selatan ke arah Sydney pada hari 22 Mei, meskipun agensi kaji cuaca dalam kemas kini terbarunya, berkata ia dijangka reda menjelang petang 23 Mei.
Empangan Warragamba, yang membekalkan 80 peratus bekalan air Sydney dan kini berada pada sekitar 96 peratus kapasiti, boleh melimpah jika hujan lebat semalaman, kata pegawai. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg