Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir kilat landa tenggara Australia, 50,000 penduduk diminta berpindah

May 22, 2025 | 12:39 PM
Keadaan banjir di sekitar Jalan Settlement Point di Port Macquarie, New South Wales, Australia, pada 22 Mei 2025. Hujan lebat di sepanjang pantai timur Australia, menyebabkan ribuan penduduk terperangkap.
Keadaan banjir di sekitar Jalan Settlement Point di Port Macquarie, New South Wales, Australia, pada 22 Mei 2025. Hujan lebat di sepanjang pantai timur Australia, menyebabkan ribuan penduduk terperangkap. - Foto EPA-EFE

SYDNEY: Hujan lebat yang melanda tenggara Australia pada 22 Mei telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan luar bandar, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan baru dan memberi amaran kepada lebih 50,000 penduduk supaya bersedia untuk berkurung di rumah masing-masing, dengan hujan berterusan dijangka dalam tempoh 24 jam akan datang.

Banjir besar telah melanda kawasan Hunter dan Mid North Coast di negeri New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia. Sebahagian besar kawasan Mid North Coast dijangka menerima lebih banyak hujan pada 22 Mei.

Dalam kejadian tragis, polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki berusia 63 tahun di sebuah rumah yang ditenggelami air berhampiran Taree, lebih 300 kilometer dari utara Sydney. Taree merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas, dengan ladang musnah, rumah dihanyutkan serta jalan dan jambatan rosak teruk akibat banjir.

“Kami bersedia menerima berita lebih buruk dalam tempoh 24 jam ini. Bencana alam ini sangat menyedihkan bagi komuniti yang terjejas,” kata Perdana Menteri New South Wales, Encik Chris Minns, dalam satu taklimat media. Menurut beliau, terdapat 140 amaran banjir aktif, dan sebanyak 9,500 hartanah berada dalam kawasan paling berisiko.

“Sebanyak 50,000 orang berada dalam zon yang diarahkan bersiap sedia untuk dipindahkan dan mungkin terputus hubungan. Keadaan masih belum reda,” tambah beliau.
Setakat ini, pihak berkuasa melaporkan bahawa dua lelaki dan seorang wanita masih hilang dalam kejadian berasingan akibat banjir.

Lebih 100 buah sekolah ditutup pada 22 Mei manakala ribuan rumah mengalami gangguan bekalan elektrik. Hujan yang dicurahkan oleh sistem tekanan rendah pantai yang bergerak perlahan telah menyebabkan paras hujan bersamaan empat bulan dalam hanya dua hari.

Beberapa bandar telah terputus hubungan sepenuhnya, dengan penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung dan tingkat dua rumah mereka, sementara pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan tersebut melalui bot atau helikopter.

Encik Minns turut memohon maaf kepada mangsa banjir yang terpaksa menunggu berjam-jam untuk diselamatkan. Namun beliau menegaskan bahawa usaha menyelamat kini telah dipertingkatkan dengan 2,500 anggota perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke kawasan terjejas.

Imej televisyen menunjukkan seorang wanita diselamatkan dengan helikopter dari sebuah rumah yang ditenggelami air, manakala beberapa lagi individu dilihat dibawa keluar menaiki bot penyelamat.

Encik Jason Herbert, pengurus sebuah tapak perkhemahan dan penyewaan bot di Port Macquarie, berkata banjir kali ini jauh lebih teruk daripada yang dijangkakan.

“Kami jangka banjir sederhana, jadi kami bersiap sedia. Kami angkat peti sejuk lebih satu meter tinggi, tapi semuanya tenggelam malam tadi,” katanya kepada ABC News.

Biro Meteorologi Australia meramalkan bahawa beberapa kawasan boleh menerima hujan sehingga 200 milimeter menjelang 23 Mei, yang berpotensi mencetuskan banjir kilat yang mengancam nyawa. Sistem cuaca ini dijangka melemah dalam tempoh dua hari dan bergerak ke arah selatan menuju Sydney.

“Kami akan terus pantau dan kerahkan bantuan secepat mungkin. Keselamatan orang ramai adalah keutamaan kami,” ujar Encik Minns. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg