Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

40 cedera dalam protes kenaikan cukai hartanah di Jawa Tengah

Aug 14, 2025 | 3:04 PM
Penunjuk perasaan berhimpun menuntut pemecatan Bupati atau Pemangku Raja Sudewo ekoran kenaikan cukai tanah dan bangunan sebanyak 250 peratus di Pati, Jawa Tengah, pada 13 Ogos.
Penunjuk perasaan berhimpun menuntut pemecatan Bupati atau Pemangku Raja Sudewo ekoran kenaikan cukai tanah dan bangunan sebanyak 250 peratus di Pati, Jawa Tengah, pada 13 Ogos. - Foto AFP

 

PATI (Jawa Tengah): Puluhan ribu penduduk membanjiri jalan-jalan di Pati, Jawa Tengah, pada 13 Ogos, menggesa agar bupati atau Pemangku Raja Sudewo meletak jawatan di tengah-tengah gelombang kontroversi dasarnya yang dikritik secara meluas itu.

Sekurang-kurangnya 40 orang cedera termasuk tujuh pegawai polis dan seorang wartawan dalam bantahan itu.

Seorang ahli majlis tempatan mendakwa dua orang terbunuh semasa protes itu, walaupun laporan masih belum disahkan.

Penunjuk perasaan mula berkumpul sebelum subuh di depan pejabat pentadbiran wilayah Pati di Jalan Tombronegoro, dengan ramai yang tiba dengan trak dari pelbagai wilayah di Pati.

Mereka membawa sepanduk dengan mesej seperti, “Turunkan Pemangku Raja,” “Mari lawan bupati yang sombong” dan “Turunlah, Sudewo, atau rakyat akan menyingkirkan kamu secara paksa”.

Gelombang bantahan besar-besaran di Kabupaten Pati meletus setelah Encik Sudewo menaikkan Cukai Tanah dan Bangunan (PBB) atau hartanah sebanyak 250 peratus.

Sekitar 11 pagi, bantahan semakin tegang apabila penunjuk perasaan membaling botol air kosong ke pejabat tersebut dan cuba melanggar pagar.

Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai, mengakibatkan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pegawai.

Sekitar tengah hari, Encik Sudewo muncul di atas kenderaan taktikal berperisai polis dengan memohon maaf dan berjanji untuk “melakukan yang lebih baik”.

Tetapi kekecewaan orang ramai memuncak apabila mereka membaling sandal, tomato busuk dan air botol ke arahnya.

Para pegawai segera melindunginya dan membawanya kembali ke pejabatnya.

Kekacauan berterusan, dengan penunjuk perasaan membaling batu ke tingkap bangunan, membakar kenderaan polis dan memutuskan kabel Wi-Fi pejabat berkenaan.

Menjelang 1 tengah hari, penunjuk perasaan menyerbu bangunan Majlis Perundangan Pati, menyebabkan anggota majlis tempatan mengadakan sidang tergempar.

Majlis bersetuju membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat kemungkinan salah laku sebagai asas pemecatan Encik Sudewo.

Langkah itu disokong sebulat suara oleh semua lapan parti politik yang diwakili dalam majlis itu, termasuk Parti Gerindra milik Encik Sudewo, yang memegang 12 peratus kerusi.

Selepas protes itu, Encik Sudewo berkata beliau “menghormati” keputusan Majlis Perundangan Pati tetapi dengan tegas menyatakan beliau tidak akan berundur daripada jawatannya.

Untuk mendakwa seorang bupati, sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli majlis wilayah mesti meluluskan usul itu dalam sidang pleno.

Jika diluluskan, majlis kemudiannya mengemukakan permohonan pemecatan kepada Presiden melalui Kementerian Dalam Negeri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg