Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penunjuk perasaan tembung dengan polis di Surabaya

Mar 25, 2025 | 7:05 PM
Seorang penunjuk perasaan melontar barang semasa bertembung dengan polis di Surabaya pada 24 Mac.
Seorang penunjuk perasaan melontar barang semasa bertembung dengan polis di Surabaya pada 24 Mac. - Foto AFP

SURABAYA: Pertembungan ganas tercetus pada 24 Mac di Surabaya antara polis dengan penunjuk perasaan yang membantah undang-undang tentera negara itu yang baru diluluskan, menurut wartawan AFP yang menyaksikannya.

Sekitar 1,000 pelajar dan aktivis berpakaian hitam menyertai bantahan di hadapan sebuah bangunan pemerintah Jawa Timur.

Sambil memegang poster bertulis “Tolak undang-undang tentera”, dan “Tentera harus kembali ke berek”, penunjuk perasaan membaling batu, kayu dan bom molotov ke arah polis yang mengawal demonstrasi.

Polis akhirnya menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan sekitar 7 malam waktu tempatan.

“Kami menerima maklumat bahawa 25 orang sedang ditahan sekarang, tetapi... kami masih tidak dapat memberi bantuan undang-undang kepada mereka,” kata Encik Fatkhul Khoir, aktivis hak asasi manusia dari Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan, kepada AFP.

Sementara itu mata wang Indonesia, rupiah, merosot ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia hampir tiga dekad lalu, berikutan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal ekonomi terbesar Asia Tenggara itu. Namun, ia kembali mengukuh sedikit selepas campur tangan bank pusat.

Rupiah susut sehingga 0.5 peratus kepada 16,640 berbanding dolar Amerika Syarikat, paras paling lemah sejak kejatuhan ketara yang berlaku pada Jun 1998.

Kali terakhir, mata wang itu diniagakan pada paras terendah hampir sebulan iaitu 16,590 sedolar. Setakat tahun ini, rupiah telah kehilangan lebih tiga peratus nilainya dan menjadi antara mata wang pasaran sedang membangun paling terjejas.

Pegawai Bank Indonesia (BI) memberitahu Reuters bahawa bank pusat campur tangan bagi menyokong nilai rupiah yang terkesan akibat faktor global dan domestik, termasuk permintaan pasaran tempatan untuk tujuan penghantaran pulang modal serta pembayaran lain.

Kebimbangan terhadap kestabilan fiskal jangka panjang Indonesia turut meningkat susulan rancangan perbelanjaan populis Presiden Prabowo Subianto, cadangan untuk menempatkan syarikat berkaitan pemerintah (GLC) di bawah seliaan dana kekayaan negara baru, serta perluasan peranan tentera dalam masyarakat awam. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg