Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

5 isu jadi perhatian selepas Sidang Puncak Asean di Indonesia

JOANNE LIN, MELINDA MARTINUS dan SHARON SEAH

May 21, 2023 | 05:30 AM



SIDANG Puncak Asean ke-42 di Labuan Bajo pada 10-11 Mei 2023, yang diselenggarakan dengan tema "Asean Matters: Epicentrum of Growth", menerima pakai belasan dokumen termasuk beberapa Deklarasi Pemimpin, mengenai pelbagai bidang kerjasama bagi memajukan usaha membangun Masyarakat Asean.



Ramai berharap kepimpinan Indonesia akan dapat meluaskan sempadan Asean, tetapi krisis dalaman dan luaran menjadi hambatan dan terus mencabar usaha untuk kekal relevan.



Berikut adalah lima perkembangan untuk diberikan perhatian:



1. Myanmar: Apa lagi harapan yang tinggi untuk Kesepakatan 5 Perkara (5PC)?



Tidak perlu dipersoalkan lagi, krisis politik dan kemanusiaan yang bergelora di Myanmar menguasai perbincangan di acara sampingan Pemimpin Asean, terutama selepas berlaku serangan ke atas rombongan Asean di daerah Taunggyi, pada malam sebelum Sidang Puncak bermula.



Para pemimpin Asean mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu, menjejas staf diplomatik Indonesia, Singapura dan Pusat Penyelaras Asean bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre) .



Kenyataan itu menuntut supaya pelakunya dipertanggungjawabkan.



Pusat AHA mengemukakan hasil penilaian bersama, sementara Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, memberi taklimat kepada para pemimpin Asean mengenai "tindakan diplomasi secara senyap," yang diambil oleh Indonesia dalam masa empat bulan pertama 2023 ini.



Perbincangan mengenai Myanmar itu memperkukuh komitmen Asean, untuk melihat 5PC melaluinya.



Walaupun berlaku kebocoran maklumat mengenai sokongan untuk menerima semula Myanmar ke dalam Asean, para pemimpin yang kembali daripada berehat tetap dengan pendirian mengekalkan format sedia ada, mengenai perwakilan bukan politik Myanmar.



Kenyataan Pengerusi blok itu menyuarakan kekhuatiran mengenai keadaan keganasan, tetapi mengulangi seruan bahawa keputusan untuk mengkaji semula dan melaksanakan 5PC, yang dibuat semasa Sidang Puncak pada November 2022, masih dikekalkan.



Sekalipun ada seruan daripada masyarakat sivil dan ahli parlimen serta pemerhati supaya membubarkan 5PC, Asean tidak akan berganjak dengan pendekatannya terhadap Myanmar.



2. Timor-Leste: Ada apa lagi yang akan datang?



Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Taur Matan Ruak, ikut serta sebagai pemerhati buat pertama kali, setelah persetujuan secara prinsip dicapai pada 2022, untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 Asean (membenarkan negara yang berstatus pemerhati itu menyertai mesyuarat semua peringkat).



Hampir enam bulan kemudian, Indonesia telah memenuhi jangkaan sebagai Pengerusi dengan memudahkan penerimaan Laluan bagi Timor-Leste menjadi Anggota Panuh.



Bagaimanapun, laluan bagi Timor-Leste belum selesai. Menurut perancangan itu (yang belum diumumkan), Timor-Leste harus mencapai semua persyaratan yang ditentukan oleh Asean.



Antaranya termasuk menyertai ratusan instrumen perundangan dan perjanjian, menubuhkan misi diplomatik, melantik agensi-agensi pelaksanaan kebangsaan bagi kerja-kerja Asean; untuk memastikan ia memenuhi kewajipan (termasuk sumbangan bagi dana awal); dan mempunyai prasarana dan kemudahan yang memadai bagi menjadi tuan rumah mesyuarat Asean di peringkat tinggi, seperti sidang puncak.



Timor-Leste kini mungkin berada di pusingan akhir, tetap sama ada ia akan dapat menjadi anggota penuh sebelum tempoh Indonesia selaku pengerusi Asean tamat, akan kita lihat nanti.



3. Sikap Asean terhadap Indo-Pasifik: Apa kemajuannya?



Sejak Asean mula mengambil sikap terhadap Indo-Pasifik (AOIP), pada 2019, tidak banyak kemajuan dicapai sehingga 2022, apabila para pemimpin Asean menerima deklarasi untuk melaksanakan empat bidang keutamaan (maritim, ketersambungan, kemampanan, dan ekonomi).



Sebagai penyokong utama kepada AOIP, Indonesia dijangka mempercepat pelaksanaan deklarasi itu, dan melihat hasilnya sebelum Laos mengambil alih sebagai pengerusi Asean.



Laos tidak mungkin mengajukan semua hal berkaitan Indo-Pasifik.



Harapan Indonesia adalah untuk melihat AOIP disusun semula dengan menyertakan agenda semasa ia mempengerusikan blok itu dan diperluas dengan penglibatan Forum Kepulauan Pasifik dan Persatuan Rim Lautan India.



Selagi ia kekal inklusif, rantau itu akan mengalu-alukan kepimpinan Indonesia dan inisiatifnya, termasuk Forum Asean-Indo Pasifik yang diumumkan baru-baru ini mengenai pelaksanaan AOIP semasa pertemuan sampingan Sidang Puncak pada September 2023 ini nanti.



Dengan fokus kepada soal prasarana, pembangunan digital, matlamat pembangunan mampan (SDG), perniagaan dan pelaburan, Indonesia akan berupaya mewujudkan pertumbuhan ekonomi sementara melaksanakan kepentingan strategik.



Walaupun terdapat keterbatasan dalam AOIP untuk menangani isu keselamatan serantau, ia masih menjadi pertaruhan terbaik Indonesia dalam rangkaian strategi Indo-Pasifik rakan dialognya.



4. Kekuatan Institusi Asean. Apa yang diberi?



Sejak mula mempengerusikan Asean, Indonesia memahami bahawa untuk Asean kekal relevan, ia perlu berupaya memberi tindak balas terhadap krisis dan cabaran serantau tepat pada waktunya.



Kenyataan Pemimpin mengenai Pengukuhan Keupayaan Asean dan Keberkesanan Institusi, dilihat mengecewakan, dengan tiada yang boleh mengubah cara Asean bekerja.



Tidak terdapat saranan baru untuk menangani ketidakpatuhan, atau saranan-saranan bagaimana keputusan responsif boleh dibuat bagi menangani sesuatu keadaan mendesak.



Akhirnya, Asean perlu menangani persoalan sukar, tentang bagaimana ia boleh mengatasi gaya membuat keputusan konsensus, yang mendapat banyak kritikan, atau menghadapi risiko menjadi tidak relevan.



5. Inisiatif sosioekonomi yang baru muncul: Kepimpinan Indonesia yang Cemerlang



Geopolitik telah lama membayangi kerja-kerja Asean mengenai integrasi sosioekonomi.



Apabila Indonesia diserahkan tugas mempengerusikan Asean pada 2022, Presiden Joko Widodo (Jokowi) berjanji, Indonesia tidak akan membiarkan geopolitik menghambat kerjasama serantau.



Deklarasi mengenai Pembangunan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau, walaupun setakat visi besar yang tidak mengandungi butir-butir terperinci, masih boleh digunakan sebagai garis panduan strategik untuk menjadikan Asean pusat pengeluaran kenderaan elektrik (EV) sedunia, dengan memanfaatkan tenaga kerja dan sumber alamnya.



Pencapaian mengharmonikan sistem pembayaran digital serantau, dengan menggunakan mata wang setempat dalam kalangan lima negara anggota - Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand - mempamerkan suatu kemajuan dalam integrasi ekonomi dan membantu sektor kewangan serantau menjadi lebih berdaya tahan, di tengah-tengah keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu ini.



Selaku pengerusi, Indonesia telah berjaya membawa semula isu-isu sosial untuk perbincangan serantau.



Deklarasi mengenai Memerangi Perdagangan Manusia dengan Menyalahgunakan Teknologi, dan Perlindungan Pekerja Migran dan Keluarga yang Mengalami Krisis, memberi isyarat jelas bahawa Asean perlu mempunyai tanggungjawab bersama dan seimbang, untuk melindungi mereka yang menjadi mangsa perdagangan manusia dan mobiliti pekerja.



Indonesia telah melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan Sidang Puncak ini di sebuah lokasi yang mencabar (atas pilihannya sendiri), di tengah-tengah cabaran geopolitik.



Dinamik strategik dan politik dalaman negara Asean akan terus menggagalkan cita-cita Asean, sekalipun di bawah kepimpinan Indonesia.



Bagaimanapun, Sidang Puncak pada September itu, adalah satu lagi peluang bagi Indonesia untuk menghasilkan lebih banyak daripada senarai panjang keutamaannya.



Dengan segala rintangan, mungkin ia dapat membentangkan beberapa hasil konkrit di bawah 5PC.




► Joanne Lin adalah Penyelaras Pusat Kajian Asean dan Ketua Penyelidik (Keselamatan Politik). Melinda Martinus adalah Ketua Penyelidik dalam bidang Ehwal Sosiobudaya di Pusat Kajian Asean. Sharon Seah adalah Zamil Kanan dan Penyelaras di Pusat Kajian Asean dan Program Perubahan Iklim Asia Tenggara. Beliau juga editor Building a New Legal Order for the Oceans. Mereka bertiga bekerja di Iseas-Institut Yusof Ishak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >