SRINAGAR: Sekurang-kurangnya lima orang pelancong maut selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah mereka di kawasan Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir India, menurut kenyataan seorang ahli politik kanan pada 22 April.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut ke atas pelancong di Pahalgam, yang telah meragut lima nyawa dan mencederakan beberapa yang lain,” kata Cik Mehbooba Mufti, bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir yang kini mengetuai Parti Demokratik Rakyat Kashmir.
Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Namun, wilayah majoriti Muslim itu telah lama menyaksikan pemberontakan bersenjata sejak 1989 oleh kumpulan pemisah yang menuntut kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.
Pakistan menguasai sebahagian kecil wilayah Kashmir dan, seperti India, menuntut pemilikan penuh ke atas kawasan tersebut.
“Pengganas pengecut ini telah menyasarkan pelancong tidak bersenjata yang datang semata-mata untuk melawat Kashmir,” kata Encik Ravinder Raina dari Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi kepada penyiar tempatan. “Beberapa pelancong kini sedang dirawat di hospital tempatan akibat kecederaan,” ujarnya lagi.
Menurut data rasmi, kira-kira 3.5 juta pelancong melawat Kashmir sepanjang tahun 2024, majoritinya pelawat domestik dari seluruh India.
Pada 2024, India telah menganjurkan mesyuarat pelancongan G20 di Srinagar di bawah kawalan keselamatan ketat dalam usaha menunjukkan bahawa “keamanan dan kestabilan” telah kembali selepas tindakan keras besar-besaran susulan pembatalan status autonomi separa wilayah tersebut oleh New Delhi pada 2019.
Sejak perubahan dasar itu, kadar pertempuran dilaporkan menurun, namun tentera India mengekalkan penempatan tetap kira-kira 500,000 anggota di wilayah tersebut sebagai langkah kawalan keselamatan.
India kerap menuduh Pakistan menyokong para pejuang bersenjata, satu dakwaan yang disangkal keras oleh Islamabad. Pakistan menegaskan bahawa sokongannya hanya berbentuk moral dan politik terhadap perjuangan rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg