BANGKOK/PHONM PENH: Kira-kira 5,000 penduduk Kemboja dari wilayah Oddar Meanchey telah dipindahkan selepas pertempuran maut meletus di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Menurut jurucakap pentadbiran wilayah kepada The Phnom Penh Post, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 1,500 keluarga dari 12 buah kampung yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Sesetengah penduduk telah menumpang di rumah saudara-mara di kawasan yang lebih selamat, manakala yang lain dipindahkan ke zon perlindungan yang telah dikenal pasti lebih awal oleh pihak berkuasa,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa telah menyediakan infrastruktur asas di zon perlindungan tersebut. “Kami telah sediakan kemudahan termasuk khemah untuk perlindungan siang dan malam, bekalan elektrik, sistem air bersih, tandas dan pasukan perubatan. Sekiranya ada kes kecemasan, ambulans juga tersedia untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand turut mengambil langkah berjaga-jaga. Gabenor Wilayah Surin, Encik Chamnan Chuenta, mengarahkan pemindahan segera penduduk di empat daerah sempadan: Phanom Dong Rak, Kap Choeng, Buachet dan Sangkha.
“Kesemua mereka telah dibawa ke pusat perlindungan yang disediakan kerajaan wilayah. Mereka kini menerima bantuan dan rawatan awal,” kata Chamnan seperti dilaporkan The Nation. Pihak berkuasa tempatan akan terus memantau situasi dan mengemaskini maklumat kepada orang awam dari semasa ke semasa.
Dalam kenyataan susulan, Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet menggesa rakyatnya agar “memelihara moral dan maruah” serta mengelakkan daripada melakukan diskriminasi terhadap warga Thai yang berada di Kemboja.
“Ini termasuk sebarang tindakan yang boleh memberi kesan kepada Kedutaan Diraja Thailand dan syarikat-syarikat Thai yang beroperasi di negara ini,” tulisnya di Facebook. Beliau turut menyeru rakyat Kemboja di Thailand yang mengalami diskriminasi agar pulang ke tanah air. “Kami akan sambut mereka pulang dengan penuh penghormatan,” tambahnya.
Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak selepas Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan Kemboja pada 24 Julai, manakala Kemboja pula melepaskan roket dan meriam ke kawasan Thai, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh.
Thailand menutup semua pintu sempadan dengan Kemboja berikutan pertempuran itu. Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand, kebanyakan kematian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di wilayah Sisaket akibat serangan roket.
Pertempuran tercetus hanya beberapa jam selepas Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang dutanya dari Phnom Penh sebagai tindak balas kepada insiden letupan periuk api yang mencederakan lima askar Thai pada 23 Julai.
Menurut Kementerian Luar Kemboja, tentera Thailand telah melancarkan “serangan terancang dan disengajakan” ke atas kawasan sempadan termasuk beberapa tapak keagamaan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
“Serangan ini turut melibatkan kuil Hindu purba yang dituntut oleh kedua-dua pihak, iaitu Kuil Ta Moan Thom, serta tapak keagamaan Ta Krabey dan Mom Bei di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey,” kata kementerian itu.
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan isu baharu. Ia telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu dan telah beberapa kali mencetuskan pertumpahan darah, termasuk dalam insiden tembak-menembak pada Mei lalu yang meragut nyawa seorang askar Kemboja.
Sehingga kini, kerajaan kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus konflik
Namun, desakan antarabangsa untuk gencatan senjata dan dialog diplomatik semakin kuat, dengan Malaysia, China dan Filipina antara negara yang menyeru agar konflik diselesaikan secara damai. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg