BANGKOK: Ketegangan lama antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak apabila pertempuran bersenjata tercetus di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada awal pagi 24 Julai. Insiden itu berlaku berdekatan Kuil Ta Moan Thom yang menjadi titik pertikaian, dan mencetuskan tindakan diplomatik drastik dari kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, tentera Thailand mendakwa tentera Kemboja melepaskan tembakan terlebih dahulu selepas menghantar dron pemantau dan membawa senjata berat ke kawasan berkenaan. Sebagai tindak balas, Thailand bertindak menutup beberapa pos kawalan sempadan dan mengusir duta Kemboja dari Bangkok.
“Pemeriksaan oleh tentera mendapati terdapat bukti kukuh bahawa periuk api diletakkan baru-baru ini oleh Kemboja,” kata Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai kepada wartawan.
Beliau turut mengumumkan bahawa duta Thailand ke Kemboja turut dipanggil pulang sebagai langkah menurunkan taraf hubungan diplomatik.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai “pencerobohan tanpa provokasi oleh tentera Thailand,” sambil menegaskan bahawa tindakan Kemboja hanyalah untuk mempertahankan diri.
Ketegangan semakin meruncing sejak seorang lagi askar Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api di daerah Nam Yuen, wilayah Ubon Ratchathani, pada 23 Julai, insiden kedua dalam tempoh seminggu. Tentera Thailand menyatakan lima anggota terkena letupan, termasuk seorang yang kehilangan kaki, manakala yang lain mengalami kecederaan pada telinga dan dada.
Ketua Tentera Darat Thailand dijadual melawat mangsa yang cedera pada 24 Julai sebagai tanda sokongan moral dan kebersamaan pasukan keselamatan.
Pertikaian sempadan yang dikenali sebagai kawasan “Segitiga Zamrud”, yang mempertemukan sempadan Thailand, Kemboja dan Laos, telah menjadi isu berlarutan selama beberapa dekad.
Pada Mei lalu, ketegangan turut meletus menjadi konflik bersenjata yang meragut nyawa seorang askar Kemboja.
Sejak itu, kedua-dua negara telah saling mengenakan sekatan dan tindakan balas. Thailand mengehadkan pergerakan rentas sempadan manakala Kemboja menghentikan import bahan api, gas, buah-buahan dan sayur-sayuran dari Thailand.
Ketegangan ini turut mencetuskan krisis politik dalam negara apabila Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, digantung daripada tugas berikutan siasatan etika berhubung peranannya dalam isu sempadan tersebut. Sebuah perbualan telefon antara beliau dan bekas pemimpin Kemboja, Encik Hun Sen yang juga bapa kepada Perdana Menteri Hun Manet turut bocor dan mencetuskan siasatan kehakiman.
Dalam satu kenyataan mengejutkan sebelum ini, Encik Hun Manet mengumumkan bahawa Kemboja akan melaksanakan semula undang-undang wajib tentera, dengan pengambilan rekrut awam bermula tahun 2026.
Katanya, ketegangan dengan Thailand memerlukan persediaan ketenteraan yang lebih menyeluruh dan mungkin menyebabkan peruntukan pertahanan negara ditingkatkan.
“Kami tidak boleh ambil ringan terhadap ancaman keselamatan serantau. Persiapan ketenteraan adalah langkah perlu,” kata Encik Hun Manet. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg