NEW YORK: Sebanyak 53 negara dan pertubuhan antarabangsa menggesa pemerintah baharu Israel supaya segera menarik balik sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, ketika jutaan rakyat Palestin berdepan ancaman musim sejuk tanpa tempat perlindungan, bekalan perubatan dan bahan api yang mencukupi.

Desakan yang dikemukakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 November itu menyusuli kebimbangan bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza masih kritikal, meskipun perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas sudah berkuat kuasa lebih setahun.

Negara terbabit memberi amaran bahawa penduduk yang kehilangan tempat tinggal berisiko mengalami hipotermia, iaitu keadaan suhu badan menurun secara berbahaya akibat kesejukan melampau, selain jangkitan pernafasan dan penyakit bawaan air.

Gesaan bersama itu diterajui Britain, Qatar dan Jordan, dengan Wakil Tetap Britain ke PBB, Cik Sarah MacIntosh, menyampaikan kenyataan tersebut bersama wakil negara dan pertubuhan yang menyokongnya.

Menurut beliau, pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan diluluskan Majlis Keselamatan PBB menetapkan bahawa bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan memasuki Gaza sepenuhnya tanpa sekatan.

Bagaimanapun, jumlah bantuan yang dijanjikan masih belum dicapai.

“Pelan Menyeluruh untuk Menamatkan Konflik Gaza menetapkan kemasukan segera bantuan kemanusiaan sepenuhnya, sekurang-kurangnya pada tahap yang dipersetujui pada 19 Januari 2025.

“Namun, perkara itu masih belum dilaksanakan,” katanya.

Beliau mengakui keadaan di beberapa kawasan Gaza bertambah baik sejak gencatan senjata bermula pada Oktober 2025, tetapi menegaskan kemajuan itu masih tidak mencukupi.

“Kita sudah melihat bahawa keadaan kemanusiaan boleh diperbaiki apabila wujud kemahuan politik.

“Namun, ketika musim sejuk semakin hampir, terlalu ramai penduduk Gaza masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang sesuai dan terdedah kepada penyakit yang sebenarnya boleh dicegah,” katanya.

Kenyataan bersama itu ditujukan kepada pemerintah baharu Israel yang dijangka dibentuk dalam beberapa minggu akan datang selepas pilihan raya negara itu pada Oktober.

Negara yang menandatangani kenyataan berkenaan menggesa Israel membuka semua pintu masuk darat bagi mempercepat penghantaran makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bahan membina tempat perlindungan sementara.

Mereka turut meminta Israel membenarkan laluan bantuan kemanusiaan melalui Mesir dan Jordan beroperasi sepenuhnya tanpa gangguan.

Antara tuntutan utama termasuk menarik balik sekatan terhadap barangan yang dikategorikan Israel sebagai mempunyai dua kegunaan, iaitu bahan yang boleh digunakan untuk keperluan awam tetapi juga berpotensi digunakan dalam operasi ketenteraan.

Sekatan tersebut menyukarkan kemasukan peralatan membaiki sistem bekalan air, sanitasi, kemudahan kesihatan dan tempat perlindungan.

Negara terbabit turut mendesak supaya pesakit Gaza yang memerlukan rawatan khusus dibenarkan mendapatkan rawatan di hospital di Baitulmakdis Timur dan Tebing Barat.

Israel juga digesa melindungi kakitangan perubatan, hospital, ambulans dan pekerja bantuan kemanusiaan mengikut undang-undang antarabangsa.

Selain itu, mereka menuntut siasatan jenayah yang telus terhadap serangan ke atas petugas kesihatan dan kemanusiaan serta membenarkan wartawan antarabangsa memasuki Gaza.

1.65 juta penduduk berdepan musim sejuk keempat

Krisis tempat perlindungan menjadi antara kebimbangan terbesar ketika Gaza bersiap menghadapi musim sejuk keempat sejak perang bermula pada Oktober 2023.

Majlis Pelarian Norway (NRC) sebelum ini memberi amaran bahawa kira-kira 1.65 juta penduduk Gaza terpaksa menghadapi musim sejuk dalam khemah usang atau bangunan yang rosak akibat peperangan.

Keadaan itu meningkatkan risiko penyakit, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

NRC turut mendedahkan bahawa penderma antarabangsa hanya menyediakan atau menjanjikan 34 peratus daripada AS$283 juta ($368 juta) yang diperlukan bagi memenuhi keperluan minimum tempat perlindungan musim sejuk.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan Resolusi 2803 pada 17 November 2025 bagi menyokong pelan damai 20 perkara Presiden Amerika Donald Trump.

Resolusi itu mendapat sokongan 13 negara, manakala Russia dan China berkecuali.

Namun, pertubuhan bantuan menegaskan bahawa gencatan senjata belum menyelesaikan krisis kemanusiaan yang melanda Gaza.

kemanusiaan yang pantas serta tanpa halangan ke seluruh Gaza melalui semua pintu masuk dan laluan darat yang tersedia,” tegas MacIntosh. – Agensi berita