Topik diikuti
Pergi ke BHkuGaza dilanda banjir buruk, Lembaga Keamanan gesa Israel segera salur bantuan
Gaza dilanda banjir buruk, Lembaga Keamanan gesa Israel segera salur bantuan
WASHINGTON: Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan kecemasan kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera selepas banjir besar memusnahkan puluhan ribu khemah pelarian dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh.
Badan itu pada 9 November menggesa Israel segera membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, khususnya khemah, selimut, pakaian musim sejuk serta peralatan bekalan air dan sanitasi bagi melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas hujan lebat selama dua hari menyebabkan banjir meluas di wilayah Palestin itu, menenggelamkan khemah dan tempat perlindungan sementara yang menempatkan puluhan ribu keluarga.
Sebahagian besar daripada lebih dua juta penduduk Gaza sudah kehilangan tempat tinggal akibat peperangan dan terpaksa berpindah beberapa kali sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
Menurut pihak berkuasa Gaza yang ditadbir Hamas, sekurang-kurangnya lima orang maut akibat banjir, manakala ribuan keluarga kehilangan barangan keperluan asas selepas khemah mereka ditenggelami air.
Lembaga Keamanan berkata keadaan semakin membimbangkan kerana penduduk yang sudah kehilangan rumah kini terpaksa menghadapi cuaca sejuk tanpa perlindungan mencukupi.
“Keadaan ini bukan lagi sekadar ancaman akibat musim sejuk yang semakin hampir, tetapi sudah menjadi kecemasan kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera,” menurut kenyataan badan itu.
Lembaga Keamanan berkata pihaknya sudah beberapa kali memberi amaran kepada Israel mengenai keperluan membuat persiapan menghadapi musim sejuk dan banjir bermusim di Gaza.
Bagaimanapun, badan itu menyifatkan langkah yang diambil Israel setakat ini sebagai tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.
Israel mengawal semua laluan masuk ke Gaza, menjadikan kelulusan pihak berkuasanya penting bagi memastikan bantuan dapat dihantar.
“Kemasukan dan pengagihan segera khemah, kemudahan sanitasi, sistem saliran serta bekalan musim sejuk amat penting untuk menyelamatkan nyawa,” menurut kenyataan itu.
“Kami menggesa kepimpinan pemerintah Israel sekarang supaya bertindak segera membenarkan dan memudahkan kemasukan semua bekalan musim sejuk serta bantuan kemanusiaan yang diperlukan.”
Badan tersebut mengakui Israel sudah mengambil beberapa langkah untuk membantu penduduk Gaza, tetapi menegaskan bahawa usaha itu masih jauh daripada mencukupi.
Tentera Israel pula mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa lebih 8,200 lori membawa bekalan kemanusiaan sudah dibenarkan memasuki Gaza.
Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), bantuan itu termasuk lebih 91,000 khemah, kain kanvas, selimut, pakaian musim sejuk dan pelbagai barangan keperluan asas.
IDF berkata pihaknya sedang melaksanakan rancangan persiapan musim sejuk bersama Lembaga Keamanan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa dan negara penderma.
Beberapa projek memperbaiki kemudahan bekalan air serta sistem sanitasi turut dilaksanakan.
Bagaimanapun, jumlah bantuan yang diumumkan Israel belum dapat mengatasi kesukaran yang dihadapi penduduk, terutama selepas banjir merosakkan tempat perlindungan sementara.
Kementerian Luar Israel pula menyalahkan Hamas atas kerosakan infrastruktur Gaza.
Menurut kementerian itu, rakaman video menunjukkan Hamas pernah menggali paip air untuk digunakan dalam pembuatan roket.
“Apabila hujan turun dan air kumbahan membanjiri jalan raya Gaza, kemarahan sepatutnya ditujukan kepada Hamas,” menurut kenyataan kementerian itu.
Dalam satu lagi kenyataan, Israel menegaskan bahawa Hamas tidak boleh mengelak tanggungjawab setiap kali hujan menyebabkan banjir.
Pada masa sama, Lembaga Keamanan menggesa Hamas memenuhi komitmennya di bawah rancangan damai yang dikemukakan Encik Trump.
Badan itu ditubuhkan bagi membantu melaksanakan perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang diumumkan pada Oktober 2025.
Perjanjian tersebut sepatutnya menjadi langkah pertama ke arah pembinaan semula Gaza dan pengunduran tentera Israel daripada wilayah itu.
Bagaimanapun, proses damai masih menemui jalan buntu berikutan pertikaian mengenai pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel.
Amerika Syarikat dan Israel mahu Hamas menyerahkan senjata terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya dilaksanakan.
Sebaliknya, Hamas menuntut tentera Israel berundur dari Gaza sebelum kumpulan itu bersetuju melucutkan senjata.
Ketika ini, tentera Israel masih menguasai kira-kira 65 peratus wilayah Gaza.
Lembaga Keamanan menegaskan bahawa Hamas perlu mematuhi komitmen untuk menyerahkan senjata dan melepaskan kuasa pentadbiran tanpa berlengah.
Badan itu turut menyalahkan Hamas kerana melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 tanpa mengambil kira akibatnya terhadap penduduk Gaza.
Walaupun perjanjian gencatan senjata sudah dicapai, Israel masih melancarkan serangan hampir setiap hari di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang berdepan ketidaktentuan politik selepas pilihan raya bulan lalu, berikrar akan membunuh semua individu yang terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Pertikaian berterusan antara Israel dengan Hamas menyebabkan usaha membina semula Gaza dan menyediakan perlindungan lebih kukuh kepada penduduk masih terbantut.
Keadaan itu menjadikan banjir terbaru satu lagi bencana yang menimpa penduduk Palestin, selepas bertahun-tahun berdepan peperangan, kemusnahan rumah dan kekurangan bekalan asas.
Lembaga Keamanan menegaskan bahawa pertikaian politik dan ketenteraan tidak sepatutnya menghalang bantuan segera kepada penduduk yang kini terdedah kepada kesejukan, banjir dan keadaan tempat tinggal yang tidak selamat.
“Keadaan ini bukan lagi sekadar ancaman akibat musim sejuk yang semakin hampir, tetapi sudah menjadi kecemasan kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera,” tegas badan itu.– Agensi berita