Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 pelancong ditemui mati di hotel Bangkok dek keracunan

Jul 17, 2024 | 12:41 PM
Anggota polis dilihat di hotel Grand Hyatt Erawan, di mana sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan mati di Bangkok pada 16 Julai 2024.
Anggota polis dilihat di hotel Grand Hyatt Erawan, di mana sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan mati di Bangkok pada 16 Julai 2024. - Foto REUTERS

BANGKOK: Enam orang ditemui mati di sebuah hotel mewah di Bangkok pada 16 Julai dipercayai keracunan sianida, dengan suspek pembunuh antara yang maut, kata pihak berkuasa Thailand.

“Kami menemui sianida dalam cawan teh, pada kesemua enam cawan kami menemui bahan beracun ini.

“Selepas kakitangan membawa cawan teh, dua botol air panas, susu dan teko teh... salah seorang mangsa mencampurkan sianida,” kata Komander Pejabat Penerangan Polis Thailand, Encik Trirong Phiwpan, yang menambah  Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika Syarikat turut membantu polis dengan siasatan.

Bahan kimia yang bertindak pantas membawa maut itu ditemui pada cawan minuman dan teko di dalam bilik di hotel mewah Grand Hyatt Erawan.

Soal siasat dengan saudara-mara si mati mendedahkan terdapat pertikaian berhubung hutang yang berkaitan dengan pelaburan, kata polis.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, mengarahkan siasatan segera dilakukan untuk membendung sebarang kerosakan pada sektor pelancongan.

Dua daripada yang maut ialah warga Amerika berketurunan Vietnam, manakala empat lagi merupakan warga Vietnam, menurut Encik Srettha.

“Daripada pemeriksaan awal di tempat kejadian, diandaikan bahawa mereka telah diracun,” kata Mejar Jeneral Theeradej Thumsuthee, ketua penyiasat Biro Polis Metropolitan.

Beliau menambah bahawa terdapat tanda-tanda bahawa keenam-enam mereka, sebelum meninggal dunia, minum kopi atau teh. Bedah siasat awal tidak menemui sebarang kecederaan, katanya.

Beliau juga berkata seorang pemandu pelancong sedang disoal siasat.

Makanan yang dihidangkan ke bilik mereka tidak dimakan, manakala cawan kosong dan minuman kelihatan sudah habis, katanya, menurut Bangkok Post.

Hanya seorang mangsa yang mengalami luka di muka dan polis mengandaikan orang itu jatuh ke objek keras, katanya.

Matichon Online berkata polis kini sedang mencari dua warga Vietnam yang mereka sifatkan sebagai “orang berkepentingan”.

Insiden itu, yang berlaku di hotel mewah Grand Hyatt Erawan di Bangkok, berlaku ketika Thailand berusaha untuk mempromosikan lagi sektor pelancongannya, pemacu utama ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

“Perdana Menteri telah mengarahkan semua agensi mengambil tindakan segera, bagi mengelak kesan ke atas pelancongan,” kata pihak berkuasa Thailand dalam kenyataannya.

Jabatan Negara Amerika “memantau keadaan dengan teliti dan bersedia untuk memberikan bantuan konsular”, kata seorang jurucakap, merujuk soalan mengenai keadaan kematian kepada pihak berkuasa tempatan.

Keenam-enam mereka sepatutnya mendaftar keluar pada 16 Julai dan mengemas beg mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg