KAHIRAH: Lebih 60 pendatang terbunuh apabila bot lebih muatan yang mereka naiki terbalik ketika cuba menyeberangi lautan antara Tanduk Afrika dengan Yaman, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) pada 3 Julai.
Perjalanan bot merentasi Teluk Aden adalah salah satu laluan penghijrahan dan penyeludupan paling berbahaya di dunia, yang menyebabkan lelaki dan wanita terdesak dari Habsyah dan negara Afrika Timur yang lain melintasi ketika mereka cuba menuju ke Arab Saudi.
Bot itu, dipercayai membawa 150 orang, terbalik pada malam 2 Julai berhampiran wilayah Abyan di selatan Yaman, kata pegawai kesihatan dan keselamatan Yaman.
IOM berkata dalam satu kenyataan bahawa 68 pendatang Habsyah telah meninggal dunia manakala sekurang-kurangnya 12 yang lain terselamat.
Jumlah penumpang yang dilaporkan hilang masih belum diketahui.
Angka kematian dijangka meningkat apabila lebih banyak mayat terdampar ke darat.
“Kejadian menyayat hati ini menggariskan keperluan mendesak untuk meningkatkan mekanisme perlindungan bagi pendatang yang melakukan perjalanan berbahaya, sering didalangi sindiket penyeludup yang mengeksploitasi keadaan terdesak dan hidup mereka yang susah itu,” tambah IOM.
Seorang pegawai kesihatan di Zinjibar, Encik Abdul Kader Bajamel, berkata:
“Mayat seorang mangsa dan sekurang-kurangnya sedozen yang terselamat, termasuk dua penyeludup Yaman, telah dibawa ke hospital di Abyan.
“Oleh kerana bilik mayat hospital tidak dapat menampung jumlah mayat yang banyak ini, dan untuk mengelakkan krisis alam sekitar, gabenor Abyan mengarahkan pengebumian segera mayat dan menjalankan usaha mencari dan menyelamat orang yang masih hilang.”
Pegawai kesihatan di daerah Khanfar di Abyan, Encik Balleel, berkata bahawa sebuah hospital di daerah itu telah menerima seorang pendatang yang maut dan merawat 11 yang terselamat.
“Bot kecil itu sesak membawa terlalu ramai orang.
“Kami memberikan pertolongan cemas dan bantuan perubatan lain, dan semua mangsa yang terselamat telah meninggalkan hospital,” kata Encik Balleel
Perjalanan pendatang, yang dipanggil Laluan Timur, adalah salah satu “laluan penghijrahan paling sibuk dan paling berisiko di dunia,” kata IOM.
Menurut pertubuhan itu lagi, berpuluh-puluh ribu orang mencuba nasib yang sama sepanjang 2024, untuk melarikan diri daripada konflik, kemiskinan, kemarau atau penindasan politik di negara termasuk Habsyah, Eritrea dan Somalia.
Untuk sampai ke Arab Saudi dengan tujuan mencari pekerjaan, mereka mesti terlebih dahulu melintasi Yaman, yang berkongsi sempadan yang panjang dengan negara itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg