KAHIRAH: Rakyat Mesir mula mengundi pada 4 Ogos dalam pilihan raya untuk Senatnya, dewan atasan Parlimen, dengan lebih 69 juta rakyat layak membuang undi dalam tempoh dua hari.
Mereka berbondong-bondong keluar mengundi di lebih 8,000 stesen di seluruh negara, menurut agensi berita, Mena.
Pihak berkuasa kehakiman sedang mengawasi proses itu bagi memastikan ia berjalan lancar.
Seramai 424 calon bertanding untuk 100 kerusi di bawah sistem pencalonan, termasuk 183 calon bebas dan 241 calon parti.
Sebanyak 100 lagi kerusi ditandingi oleh satu senarai yang dikenali sebagai, ‘Senarai Kebangsaan untuk Mesir’ – meliputi empat kawasan pilihan raya negara itu.
Penguasa Pilihan Raya Kebangsaan berkata lebih 9,000 anggota pihak berkuasa tindakan undang-undang negeri dan pihak berkuasa pendakwaan pentadbiran, serta dua institusi kehakiman mengetuai 8,825 jawatankuasa kecil bagi memantau 8,286 pusat pengundian, dibantu oleh kira-kira 65,000 kakitangan.
Sembilan pertubuhan antarabangsa, 59 kumpulan masyarakat sivil tempatan, dan delegasi daripada 20 misi diplomatik turut memantau tinjauan tersebut.
Hampir 25,000 pemerhati bertauliah daripada media tempatan, serantau dan antarabangsa turut membuat liputan undian.
Pilihan raya itu diadakan ketika penduduk dirundung kekecewaan akibat ketidakstabilan ekonomi yang telah menyebabkan rakyat Mesir bergelut dengan inflasi melambung tinggi ketika mereka mengalami peningkatan kos harian untuk makanan dan bahan api.
Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly, masing-masing membuang undi di wilayah Kahirah dan Giza.
Selepas mengundi, Encik Madbouly, menggesa rakyat supaya mengambil bahagian “secara aktif dan bertanggungjawab dalam tugas negara ini”.
Rakyat Mesir di luar negara mengundi pada 1 dan 2 Ogos di 136 pusat mengundi di 117 daerah.
Keputusan awal akan diumumkan pada 12 Ogos, diikuti dengan kempen untuk pilihan raya pada hari yang sama.
Undian bagi pilihan raya peringkat terakhir itu bakal diadakan selama dua hari – 25 dan 26 Ogos di luar negara dan 27 serta 28 Ogos di dalam negara.
Keputusan akhir akan disiarkan dalam warta rasmi pada 4 September.
Senat yang mempunyai 300 anggota memainkan peranan utama sebagai penasihat, dengan dua pertiga menerusi pemilihan dan presiden melantik baki sepertiga.
Di bawah perlembagaan, dewan menyemak cadangan pindaan perlembagaan, rancangan pembangunan pemerintah, perjanjian berkaitan kedaulatan dan perundangan yang dirujuk oleh presiden atau Dewan Rakyat, dewan rendah Parlimen. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg