Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iskandariah diancam kenaikan paras laut, tanah mendap akibat perubahan iklim

Jul 23, 2025 | 8:35 PM
Pemandangan menunjukkan projek pelebaran jalan yang sedang dijalankan di kornis bandar Mediterranean Iskandariah, Mesir, pada 20 April 2025. 
Pemandangan menunjukkan projek pelebaran jalan yang sedang dijalankan di kornis bandar Mediterranean Iskandariah, Mesir, pada 20 April 2025.  - Foto REUTERS

ISKANDARIAH, Mesir – Dari balkoni di tingkat sembilan yang menghadap pantai di Iskandariah, Cik Eman Mabrouk memandang ke arah bentangan pasir yang dahulunya merupakan pantai luas tempat beliau bermain sewaktu kecil.

“Keadaannya kini amat berbeza,” katanya. Laut kini semakin menghampiri apartmennya, penghadang konkrit semakin panjang dan bangunan di sekelilingnya mula retak dan senget.

Setiap tahun, 40 bangunan runtuh di bandar kedua terbesar Mesir ini meningkat ketara berbanding purata hanya satu runtuhan setahun sedekad lalu, menurut satu kajian. Kota bersejarah yang pernah terselamat daripada serangan British pada 1880-an dan serangan tentera Salib pada 1160-an kini tunduk kepada musuh yang lebih halus iaitu air laut yang perlahan-lahan meresap ke asas binaannya.

Air Laut Mediterranean yang semakin panas kini naik secara berterusan, sebahagian daripada fenomena global akibat perubahan iklim. Di Iskandariah, ia membawa kepada hakisan pantai dan menyebabkan air laut masin meresap ke dalam tanah berpasir, melemahkan struktur bangunan dari bawah, menurut para penyelidik.

“Inilah sebab kita lihat bangunan di Iskandariah mula rosak dari bawah ke atas,” kata Encik Essam Heggy, pakar sains air dari University of Southern California yang juga merupakan penulis bersama kajian yang diterbitkan pada Februari lalu mengenai krisis yang semakin membesar di Iskandariah dan sepanjang pesisir pantai.

Gabungan kenaikan paras laut secara berterusan, mendapan tanah dan hakisan pantai telah menyebabkan garis pantai Iskandariah menyusut secara purata 3.5 meter setahun sejak dua dekad lalu, katanya kepada Reuters.

“Bagi mereka yang berfikir bahawa perubahan iklim adalah sesuatu yang akan berlaku pada masa depan dan tidak perlu dibimbangkan, ia sebenarnya sedang berlaku sekarang, di sini,” kata Encik Heggy.

Situasi ini sudah cukup membimbangkan apabila dibentangkan dalam laporan bertajuk “Peningkatan Runtuhan Bangunan di Pesisir Mediterranean Selatan” dalam jurnal Earth’s Future.

Namun bagi Cik Mabrouk, 50 tahun, ia adalah realiti kehidupan seharian sejak beberapa tahun lalu. Beliau terpaksa meninggalkan apartmen lamanya apabila bangunan tersebut mula bergoyang.

“Akhirnya bangunan itu mula senget. Maksud saya, selepas dua tahun, kami semua... condong,” katanya kepada Reuters. “Jika anda letakkan sesuatu di atas meja, anda akan rasa ia sedang menggelongsor.”

PENGHADANG, JENTERA DAN RETAKAN

Pemerintah Mesir mengakui masalah ini dan berjanji untuk bertindak. Pemecah ombak yang tenggelam dibina untuk mengurangkan hentaman ombak, dan lori-lori pasir digunakan untuk menggantikan pantai yang terhakis.

Sembilan penghadang laut konkrit telah dibina “untuk melindungi delta dan Iskandariah daripada kesan kenaikan ombak laut,” kata Gabenor Iskandariah, Encik Ahmed Khaled Hassan.

Penghadang ini menjulur ke laut, tersusun dalam bentuk geometri yang ketara, menonjol di sebalik blok apartmen yang semakin reput di darat. Pihak berkuasa cuba bertindak sebelum bangunan runtuh dengan merobohkan struktur yang berisiko tinggi.

Sekitar 7,500 bangunan telah ditandai untuk dirobohkan dan 55,000 unit perumahan baru akan dibina, kata Perdana Menteri Encik Mostafa Madbouly kepada orang ramai semasa beliau berdiri di atas salah satu penghadang konkrit pada 14 Julai.

“Tiada satu hari pun berlalu tanpa sekurang-kurangnya satu bangunan yang runtuh secara separa atau sepenuhnya, yang sebelum ini telah pun menerima arahan perobohan,” kata Encik Madbouly.

Sesetengah pihak berharap langkah-langkah ini dapat membawa perubahan. “Sekarang tiada bahaya... Mereka sudah buat pengiraan,” kata pemilik kedai kopi Encik Shady Mostafa sambil memerhati para pekerja membina salah satu penghadang tersebut.

Namun ada juga yang masih ragu-ragu. Zon pesisir sepanjang 70 kilometer di Iskandariah telah dikenal pasti sebagai kawasan paling terdedah di seluruh lembangan Mediterranean dalam laporan Februari itu.

Kira-kira 2 peratus daripada stok perumahan di bandar itu bersamaan lebih kurang 7,000 bangunan berkemungkinan tidak selamat, menurut laporan itu.

Setiap hari, lebih ramai orang berpindah ke bandar ini dan populasi Iskandariah hampir dua kali ganda kepada kira-kira 5.8 juta dalam tempoh 25 tahun lalu, didorong oleh kemasukan pekerja dan pelancong, menurut agensi statistik Mesir, CAPMAS. Harga hartanah terus meningkat walaupun risiko turut meningkat, menurut pemantau pasaran.

Paras laut memang meningkat di seluruh dunia, tetapi di Laut Mediterranean, ia meningkat lebih pantas berbanding banyak kawasan lain, sebahagiannya kerana lembangan laut yang cetek menyebabkan suhu meningkat dengan lebih cepat.

Puncanya mungkin bersifat global, tetapi kesannya sangat tempatan, kata Encik Ahmed al-Ashry, penduduk Iskandariah berusia 26 tahun.

“Ada perubahan pada bangunan, ada perubahan pada jalan raya,” katanya kepada Reuters.
“Setiap kali kami cuba membaiki bangunan, tak sampai sebulan, kerosakan kembali semula. Jiran-jiran kami juga mula mengadu perkara sama, retakan mula muncul.” - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg