Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 sektor strategik diutama bagi pembangunan Batam sehingga 2045

Jun 21, 2024 | 3:51 PM
Batam
Bandar digital Nongsa seluas 62 hektar itu bertujuan merapatkan syarikat teknologi dan bakat di Singapura dan Indonesia, dan akan menempatkan 8,000 bakat teknologi apabila siap dibina kelak. - Foto BT

JAKARTA: Badan Pengusahaan Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam) telah membentangkan rancangan kerja pemerintah (RKP) dan belanjawan agensi itu untuk tahun fiskal 2025 dengan fokus diberikan kepada tujuh sektor industri strategik untuk membangunkan pulau itu sehingga 2045.

Membentangkan rancangan itu dalam sesi taklimat di hadapan Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat VI, yang menyelia perdagangan, industri dan pelaburan, di Jakarta, Naib Pengerusi BP Batam, Encik Purwiyanto, menyatakan tumpuan itu diberikan sejajar dengan keadaan semasa Batam.

Menurutnya, tujuh sektor strategik itu adalah hab logistik antarabangsa; industri aeroangkasa; industri ringan dan bernilai tinggi; industri digital dan kreatif; perdagangan antarabangsa dan kewangan; industri pelancongan kesihatan bersepadu di Sekupang serta industri tenaga yang boleh diperbaharui.

Beliau berkata, Batam sedang dibangunkan untuk menjadi hab logistik antarabangsa melalui Pelabuhan Batu Ampar.

Pada masa ini, pembangunan termasuk limbungan kontena seluas 12 hektar, kren kontena dermaga tambahan (QC), 10 kren gantri bersalut getah (RTG) dan pengembangan laluan laut seluas 9.8 hektar.

Bagi industri aeroangkasa, Batam menjadi tuan rumah Zon Ekonomi Khas Aero Technic Batam (BAT SEZ), memberi tumpuan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat termasuk Lion Air, lapor The Jakarta Post.

BAT SEZ meliputi kawasan seluas 30 hektar dan akan diperluaskan kelak.

Dalam sektor industri kreatif, Zon Ekonomi Khas Taman Digital Nongsa (NDP SEZ), Batam memberi tumpuan kepada pembikinan filem, animasi, pusat data dan industri berasaskan digital lain.

Infinite Studio dalam NDP adalah studio filem terbesar di Asia Tenggara seluas 1,300 dan 2,800 meter persegi, menghasilkan filem Hollywood dan animasi untuk pawagam dan Netflix.

Zon Pelancongan Kesihatan Antarabangsa di Sekupang telah diluluskan baru-baru ini dan meliputi kawasan seluas 47 hektar.

Ia dijangka melibatkan pelaburan berjumlah 6.9 trilion rupiah ($568,600).

Selain kemudahan penjagaan kesihatan, ia akan mempunyai akademi kejururawatan antarabangsa, MedTech Park dengan kemudahan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (Mica), perumahan doktor, asrama, hotel dan ruang runcit.

Sejajar dengan matlamat Indonesia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2060, Batam merancang untuk membangunkan industri hijau dan ekosistem sokongannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg