JAKARTA: Ketua Menteri Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, baru-baru ini meluluskan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Pelancongan Kesihatan Antarabangsa (SEZ) Batam. Dua lagi SEZ iaitu Bumi Serpong Damai dan Morowali turut diluluskan menteri.
Menurut Timbalan Ketua Badan Pengusaha Batam, Encik Purwiyanto, agensi pembangunan bandar itu telah berusaha untuk menubuhkan SEZ sejak beberapa tahun lalu.
Penubuhannya itu akan membawa masuk pelaburan baru ke Batam.
“Kami percaya SEZ akan menerima pelaburan yang besar, baik dari segi persepsi serantau dan kesan kehadiran pelaburan, ke atas ekonomi dan tenaga kerja.
“Ini akan menjadi kesan pengganda kepada semua bidang ekonomi di Batam,” kata Encik Purwiyanto dipetik Jakarta Globe.
SEZ Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Batam seluas 47.17 hektar, akan berada di kawasan Sekupang seluas 23.10 hektar (Pelancongan Kesihatan Bersepadu) dan kawasan Nongsa seluas 24.08 hektar (Pelancongan).
SEZ Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Batam menyasarkan menarik 6.91 trilion rupiah ($575 juta) menjelang 2032.
SEZ dijangka menyediakan pekerjaan kepada 105,406 orang selama 80 tahun.
Cadangan itu dianggap menepati syarat kerana menguasai 100 peratus tanah dengan pelabur utama iaitu Apollo Hospitals India dan Mayapada Group.
Di Sekupang, kemudahan penjagaan kesihatan utama akan dijalankan dengan penubuhan hospital antarabangsa (Hospital Antarabangsa Mayapada Apollo Batam).
Terdapat juga akademi kejururawatan antarabangsa, sebuah “taman MedTech” yang dilengkapi dengan kemudahan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen & Pameran (Mice), perumahan doktor, asrama, hotel dan runcit.
Rumah Sakit Badan Pengusahaan (RSBP) Batam dan kemudahan sokongannya, juga akan menjadi sebahagian daripada SEZ yang perkhidmatannya akan disepadukan dengan Hospital Antarabangsa Mayapada Apollo Batam.
Kegiatan pelancongan utama di Nongsa akan disokong oleh kampung persaraan dan klinik.
Terdapat juga kotej, banglo, dan motel yang ditujukan untuk pelancong, pesakit dan keluarga yang mengiringi.
Seramai dua juta rakyat Indonesia memilih mendapatkan rawatan perubatan di luar negara setiap tahun. Kira-kira 1.5 juta daripadanya memilih Malaysia dan Singapura.
SEZ Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Batam berusaha untuk menyerap 2 peratus daripada dua juta pelancong perubatan tersebut atau kira-kira 40,000 orang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg