Lombok Timur: Seramai 70 pendaki berjaya diselamatkan dari kebakaran yang melanda Bukit Anak Dara, yang terletak di daerah Sembalun, Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, pada malam Sabtu, 31 Ogos 2024.
Semasa proses menyelamat, pasukan penyelamat menemui 70 pendaki yang terperangkap di kawasan khemah. Mereka bekerja keras untuk mencipta laluan baru di tengah kebakaran api bagi menyelamatkan pendaki tersebut. “Alhamdulillah, semua 70 pendaki yang berada di puncak bukit berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan atau luka bakar,” ujar jurucakap Polis Lombok Timur, Encik Nikolas Oesman.
Bukit Anak Dara, yang sering dijadikan sebagai lokasi perkhemahan mengalami kebakaran menyebabkan panik di kalangan pendaki yang sedang berkhemah di puncak bukit tersebut.
Menurut Encik Nikolas proses menyelamat melibatkan pasukan gabungan yang terdiri daripada petugas bencana Rinjani Timur, pasukan polis, tentera, pengurus bukit dan masyarakat setempat. Tindakan menyelamat diambil walaupun api belum sampai ke kawasan khemah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah sebarang kemungkinan korban jiwa.
“Api yang terbakar berada di agak jauh dari kawasan khemah tetapi mereka sudah mula panik. Namun, kami mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pendaki,” jelas Encik Nikolas pada Ahad, 1 September 2024.
“Kami khuatir pendaki mungkin terperangkap dalam keadaan berbahaya, terutama di laluan yang curam dan licin,” katanya lagi. Dalam usaha memastikan semua pendaki selamat, pasukan penyelamat menghantar enam anggota untuk memantau keadaan di puncak bukit.
Kebakaran itu telah memusnahkan kawasan seluas enam hektar di bahagian utara Bukit Anak Dara. “Pasukan kami serta pasukan pemadam kebakaran dan masyarakat setempat masih bekerja keras untuk memadamkan api dan mencegah ia merebak lebih luas,” kata Encik Nikolas.
Aktiviti pendakian di Bukit Anak Dara kini ditutup sementara untuk memastikan keselamatan semua pihak. “Kami terpaksa menutup aktiviti pendakian sekurang-kurangnya selama seminggu sehingga keadaan benar-benar selamat,” ujar Encik Nikolas. Langkah ini diambil untuk memastikan bahawa tiada lagi risiko kepada pendaki dan masyarakat sekitar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg