BOGOR: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 11 lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri di Plaza Tol Ciawi, Bogor, Jawa Barat, pada lewat malam 4 Februari.
Ketua Polis Bogor, Pesuruhjaya Kanan Eko Prasetyo, berkata kejadian berlaku apabila sebuah lori yang membawa tong air minuman dipercayai mengalami kegagalan brek sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang beratur untuk membayar tol.
“Kami percaya lori tersebut hilang kawalan akibat masalah brek, lalu merempuh kenderaan lain yang sedang menunggu di plaza tol. Semua mangsa yang maut merupakan penumpang dan pemandu kenderaan yang dilanggar,” kata Encik Eko dalam satu kenyataan pada 5 Februari.
Kemalangan itu turut menyebabkan enam buah kenderaan rosak, termasuk tiga daripadanya terbakar. Selain itu, tiga pondok tol turut mengalami kerosakan akibat hentaman kuat dari lori berkenaan.
Mangsa yang cedera segera dibawa ke Hospital Umum Daerah Ciawi. Menurut pihak berkuasa, tujuh daripada mereka hanya mengalami kecederaan ringan, manakala empat lagi mengalami kecederaan serius akibat impak kemalangan yang kuat.
Antara yang cedera termasuk empat pegawai perkhidmatan pelanggan dari syarikat pengendali lebuh raya milik pemerintah, PT Jasa Marga, yang sedang bertugas di plaza tol ketika kejadian berlaku. Lima daripada mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang.
Salah seorang mangsa, Cik Sugiarti, yang mengalami kecederaan ringan tetapi kehilangan suaminya dalam kejadian itu, masih dalam keadaan terkejut dan trauma.
“Kami dalam perjalanan dari Sukabumi ke Bekasi. Sewaktu tiba di Plaza Tol Ciawi, kad e-money kami tidak dapat dikesan oleh mesin pembayaran tol. Suami saya turun dari kereta untuk melaporkan masalah itu kepada operator tol,” katanya kepada media tempatan.
“Suami saya cuba meminjam kad daripada pemandu kereta di belakang kami. Ketika itulah lori itu merempuh kami dengan kuat,” tambahnya lagi.
Akibat rempuhan tersebut, suaminya, Encik Yana Mulyana, 41 tahun, tercampak dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia. Sementara itu, kereta mereka yang membawa dua anak mereka yang masih kecil serta tiga ahli keluarga lain terbalik dalam insiden tersebut.
Plaza Tol Ciawi ditutup sementara bagi membolehkan pasukan penyiasat menjalankan siasatan dan pembersihan kawasan kemalangan. Bagaimanapun, sebahagian daripada plaza tol telah dibuka semula pada 5 Februari bagi melancarkan aliran trafik.
Kementerian Pengangkutan Indonesia dalam satu kenyataan rasmi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menghantar pasukan khas ke lokasi untuk menyiasat punca sebenar kejadian.
“Kami ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” kata Pemangku Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Encik Ahmad Yani.
Beliau menambah bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh serta melaksanakan program latihan keselamatan kepada syarikat logistik dan pengangkutan air minuman bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
“Kami juga akan memberi latihan khusus kepada pemandu lori berkaitan teknik pemanduan yang betul dan prosedur pemeriksaan brek sebelum memulakan perjalanan,” katanya lagi.
Nahas ini berlaku kurang daripada sebulan selepas sebuah bas pelancong yang membawa pelajar sekolah vokasional di Bali mengalami kegagalan brek sebelum merempuh lalu lintas di Batu, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, empat orang termasuk seorang bayi berusia setahun dan ibunya maut, manakala 10 yang lain mengalami kecederaan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg