NEW YORK: Lapan negara Arab dan Islam, termasuk Indonesia, Arab Saudi dan Turkey, menggesa Israel segera menunaikan baki komitmennya di bawah fasa pertama pelan damai Gaza serta menyokong pelaksanaan fasa kedua bagi memastikan gencatan senjata berkekalan dan mempercepat pembinaan semula wilayah Palestin itu.

Menteri luar Mesir, Qatar, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turkey dan Arab Saudi turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 22 September selepas pertemuan mereka di New York sehari sebelumnya, lapan negara itu menuntut Israel memastikan bantuan kemanusiaan dan bekalan pemulihan segera dapat disalurkan dengan selamat, pantas dan tanpa sebarang halangan.

Mereka turut menggesa Israel membantu memulihkan prasarana penting yang musnah akibat peperangan serta menghentikan segala tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata.

Pertemuan itu diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 ketika pemimpin dunia meningkatkan usaha diplomatik bagi menangani konflik di Timur Tengah.

Lapan negara berkenaan menegaskan bahawa pelaksanaan fasa kedua pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, perlu diteruskan tanpa berlengah.

Fasa itu merangkumi proses penyerahan senjata oleh kumpulan bersenjata di Gaza, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) serta penyerahan tanggungjawab pentadbiran seluruh Gaza kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).

Langkah tersebut juga bertujuan membolehkan usaha pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza dimulakan secara menyeluruh.

Menurut kenyataan bersama itu, rancangan pelaksanaan fasa kedua merupakan sebahagian penting daripada pelan damai menyeluruh dan perlu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.

Menteri luar berkenaan menggesa setiap pihak memenuhi tanggungjawab masing-masing dengan ikhlas dan tanpa sebarang kelewatan bagi mengelakkan gencatan senjata daripada terus terancam.

Desakan itu dibuat ketika Lembaga Keamanan pimpinan Encik Trump membentangkan rancangan pemulihan Gaza bernilai AS$2.45 bilion ($3.1 bilion) yang merangkumi 66 projek untuk dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

Rancangan tersebut meliputi penyediaan tempat perlindungan sementara, pembersihan runtuhan, pemulihan prasarana asas dan bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya masih bergantung pada persetujuan mengenai pengaturan keselamatan, penyerahan senjata oleh Hamas, pengunduran tentera Israel dan pembentukan pentadbiran peralihan Palestin.

Lapan negara itu turut menolak sebarang usaha mengusir atau memindahkan penduduk Palestin secara paksa dari tanah air mereka, selain tindakan yang bertujuan mengubah keadaan wilayah atau komposisi penduduk di kawasan Palestin yang diduduki Israel.

Mereka mengecam peluasan petempatan Israel, rampasan tanah, perobohan rumah penduduk Palestin dan keganasan penduduk haram Yahudi serta menuntut tindakan tersebut dihentikan.

Kenyataan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap langkah yang menjejaskan kedudukan sejarah dan undang-undang tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmakdis.

Menteri luar berkenaan menyambut baik langkah terbaru kerajaan Britain dan usaha beberapa negara Eropah untuk menyekat perdagangan dengan petempatan Israel yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Mereka menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lanjut bagi menghentikan peluasan petempatan serta memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap keganasan penduduk haram dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, lapan negara berkenaan menegaskan bahawa Gaza mesti kekal sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.

Mereka mahu pelaksanaan pelan damai membantu menyatukan semula Gaza dengan Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur, sekali gus membuka laluan kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Pendirian itu berasaskan penyelesaian dua negara yang memperuntukkan kewujudan Israel dan Palestin sebagai dua negara berasingan.

Lapan negara tersebut turut mengiktiraf peranan penting Amerika dalam memastikan pelan damai dilaksanakan sepenuhnya.

Mereka menggesa Washington terus memainkan peranan aktif bagi memastikan semua pihak, termasuk Israel, memenuhi komitmen masing-masing dan mengatasi halangan terhadap pelaksanaan fasa kedua.

Menurut mereka, kemajuan yang dapat dilihat secara nyata di Gaza akan meningkatkan keyakinan terhadap Lembaga Keamanan serta mengukuhkan usaha diplomatik untuk mencapai keamanan berkekalan.

Mereka turut menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan Amerika, Lembaga Keamanan, Penguasa Palestin dan pihak berkaitan bagi melaksanakan keseluruhan pelan damai.

Kerjasama itu bertujuan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin, menjamin hak mereka menentukan masa depan sendiri dan mewujudkan keamanan yang adil serta berkekalan di rantau tersebut. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti