Topik diikuti
Pergi ke BHku8 negara kecam pembakaran masjid di Tebing Barat
8 negara kecam pembakaran masjid di Tebing Barat
8 negara kecam pembakaran masjid di Tebing Barat
RAMALLAH: Lapan negara majoriti Islam termasuk Arab Saudi dan Indonesia mengecam keras serangan pembakaran dua masjid di Tebing Barat yang diduduki Israel, sambil menyalahkan Israel sebagai kuasa pendudukan yang bertanggungjawab terhadap keganasan penduduk haram Yahudi terhadap rakyat Palestin.
Dalam kenyataan bersama pada 18 Jun, menteri luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengutuk peningkatan berterusan serangan penduduk haram Israel terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki.
Kenyataan itu merujuk kepada serangan terhadap Masjid Besar di kampung Jiljilya dan Masjid Al-Farouq di kampung Mazar’a al-Nubani di utara Ramallah yang dibakar oleh penduduk haram Israel pada 17 Jun.
“Serangan ini merupakan pencabulan jelas terhadap kesucian rumah ibadah dan tapak agama, undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta ketetapan berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.
Menteri luar terbabit turut menegaskan penolakan mutlak terhadap tindakan ganas penduduk haram Israel serta langkah haram berterusan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Menurut mereka, tindakan tersebut hanya meningkatkan ketidakstabilan, keganasan dan ekstremisme selain menggagalkan usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan.
“Israel sebagai kuasa pendudukan bertanggungjawab terhadap serangan ini,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
Mereka turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya memikul tanggungjawab undang-undang dan moral untuk mendesak Israel menghentikan peningkatan keganasan di Tebing Barat.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa memaksa Israel menghentikan amalan haram, menghentikan keganasan penduduk haram, membawa pelaku ke muka pengadilan dan memastikan mereka tidak terlepas daripada hukuman,” kata para menteri luar itu.
Kumpulan negara terbabit turut mengulangi sokongan penuh terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Mereka juga menegaskan sokongan terhadap semua usaha bagi menamatkan pendudukan Israel dan mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan Inisiatif Damai Arab.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan penduduk haram Israel membakar dua masjid di kampung Jaljulia dan Mazra’a al-Nubani di utara Ramallah pada awal pagi 17 Jun.
Penduduk haram terbabit turut menconteng slogan berbaur perkauman dan provokasi pada dinding masjid menggunakan cat sembur.
Sumber keselamatan Palestin berkata sekumpulan penduduk haram menceroboh kampung Jaljulia sebelum membakar Masjid Besar sehingga menyebabkan kerosakan material.
Penduduk tempatan cuba menghalang tindakan itu sebelum tentera Israel menyerbu kawasan berkenaan dan melepaskan gas pemedih mata serta bom gegaran.
Beberapa penduduk dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Datuk Bandar Jiljilya, Encik Osama Abdullah, berkata penduduk haram Israel tiba antara 2 pagi hingga 3 pagi untuk membakar masjid berkenaan.
Beliau berkata mereka gagal memasuki ruang utama masjid kerana pintunya berkunci sebelum bertindak membakar bilik wuduk di tingkat bawah.
“Penduduk haram membakar bilik wuduk, menyebabkan kerosakan pada masjid utama kampung dan menulis slogan bermusuhan pada dinding luar,” katanya kepada AFP.
Menurut beliau, pasukan pertahanan awam Palestin bersama penduduk kampung berjaya memadam kebakaran sebelum api merebak lebih besar.
Wartawan AFP yang melawat lokasi kejadian melihat kesan kebakaran pada dinding, lantai dan siling masjid selain tulisan dalam bahasa Ibrani pada dinding termasuk perkataan “balas dendam” dan “salam daripada Hilltop Youth”.
Hilltop Youth ialah kumpulan pelampau Israel di Tebing Barat yang sering melakukan serangan ganas terhadap rakyat Palestin bagi mengusir mereka dari kawasan yang mahu diambil alih.
Tentera Israel mengesahkan kejadian pembakaran dan vandalisme di dua masjid berkenaan tetapi tidak mengenal pasti pelaku.
Insiden terbaru itu berlaku ketika keganasan penduduk haram Israel di Tebing Barat semakin meningkat sejak perang Gaza meletus pada 2023.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini memberi amaran bahawa keganasan penduduk haram Israel yang disokong tentera Israel di Tebing Barat kini mencapai tahap tertinggi dengan purata enam serangan setiap hari menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan lebih 500,000 penduduk haram Yahudi kini tinggal secara haram di wilayah berkenaan, tidak termasuk Baitulmakdis Timur, di tengah-tengah kira-kira tiga juta rakyat Palestin.
Petempatan haram Israel di Tebing Barat dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa dan terus menjadi antara punca utama ketegangan di wilayah Palestin yang diduduki. – Agensi berita.
