Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael lulus pelan bina petempatan haram di Tebing Barat
Israel lulus pelan bina petempatan haram di Tebing Barat
Israel lulus pelan bina petempatan haram di Tebing Barat
RAMALLAH: Pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan sebuah sekolah agama Yahudi di bandar Hebron, selatan Tebing Barat yang diduduki, dalam langkah yang disifatkan Palestin sebagai belum pernah berlaku dan melanggar perjanjian sedia ada antara kedua-dua pihak.
Keputusan itu dibuat sehari selepas pemerintah Israel mengumumkan penarikan kuasa pihak berkuasa perbandaran Hebron dalam urusan perancangan dan pembangunan kawasan bandar tersebut.
Media Israel melaporkan Jawatankuasa Perancangan Tinggi di bawah Pentadbiran Awam Israel meluluskan pembinaan 576 unit rumah baharu di kawasan petempatan Yahudi di Tebing Barat sebagai sebahagian dasar peluasan petempatan haram.
Dalam keputusan sama, pihak berkuasa Israel turut meluluskan pembinaan bangunan baharu untuk sekolah agama Shavei Hebron berhampiran Beit Romano di Hebron.
Menurut laporan, bangunan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu diluluskan tanpa memerlukan kelulusan daripada majlis perbandaran Hebron.
Langkah tersebut menyusuli pengumuman Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, yang juga memegang portfolio di Kementerian Pertahanan Israel, mengenai perubahan kuasa perancangan di kawasan itu.
Datuk Bandar Hebron, Encik Youssef al-Jabari, menolak tindakan tersebut dan menegaskan pihak perbandaran tidak boleh diketepikan dalam apa jua urusan pembangunan di bandar itu.
“Kami menolak penarikan kuasa perbandaran Hebron. Pihak berkuasa tempatan tidak boleh dipintas atau diabaikan dalam apa juga keadaan,” katanya.
Beliau turut menggesa Amerika Syarikat memainkan peranannya sebagai pengusul perjanjian terdahulu dan memberi tekanan supaya status quo di Hebron dikekalkan.
“Kami mahu langkah unilateral seperti ini dihentikan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel dilaporkan meneruskan kerja pengorekan dan meratakan tanah untuk hari kedua di bandar Jenin, utara Tebing Barat, bagi membina sebuah kem tentera baharu.
Sumber tempatan berkata jentolak Israel sejak 16 Jun malam menjalankan operasi di sebidang tanah pertanian seluas tujuh dunam – kira-kira 7,000 meter persegi – di kawasan Al-Jabariyat.
Ia berukuran kira-kira satu padang bola sepak atau antara enam dengan tujuh kolam renang bersaiz Olimpik.
Tanah tersebut dirampas daripada pemilik Palestin walaupun ia diklasifikasikan sebagai Kawasan A iaitu kawasan di bawah kawalan penuh Penguasa Palestin (PA) mengikut Perjanjian Oslo II 1995.
Di bawah perjanjian itu, Tebing Barat dibahagikan kepada Kawasan A, B dan C.
Kawasan A berada di bawah kawalan penuh Palestin; Kawasan B di bawah pentadbiran Palestin tetapi dengan kawalan keselamatan Israel; manakala Kawasan C dikawal sepenuhnya Israel dan merangkumi kira-kira 60 peratus Tebing Barat.
Ketua Pengarah Perbandaran Jenin, Encik Mamdouh Assaf, menyifatkan tindakan Israel membina kem tentera di Kawasan A sebagai “satu kebiasaan berbahaya”.
“Kawasan ini berada di bawah kedaulatan Palestin berdasarkan perjanjian yang ditandatangani. Pembinaan pos tentera di sini bermakna Israel cuba mewujudkan realiti baharu,” katanya.
Beliau berkata lokasi yang dirampas itu menghadap terus ke kem pelarian Jenin dan beberapa kawasan kejiranan utama bandar berkenaan, sekali gus menjadikannya titik pemantauan strategik.
Awal Jun lalu, pihak berkuasa Israel mengeluarkan arahan rampasan tanah di kawasan Al-Jabariyat dengan alasan ia akan digunakan untuk “tujuan ketenteraan”.
Sejak 21 Januari 2025, tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di utara Tebing Barat bermula di kem pelarian Jenin sebelum diperluas ke Tulkarm dan Nur Shams.
Menurut angka rasmi Palestin, operasi tersebut mengorbankan puluhan rakyat Palestin, mencederakan ratusan orang serta memusnahkan rumah dan prasarana awam.
Puluhan ribu penduduk juga dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat operasi berterusan itu.
Dalam masa sama, agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan tentera Israel turut meneruskan operasi serbuan dan penahanan di beberapa kawasan lain di Tebing Barat termasuk Baitulmakdis, Nablus dan Baitul Laham.
Di Baitulmakdis, beberapa pekerja Palestin ditahan di pusat pemeriksaan tentera Mazmoria selepas trak yang mereka naiki ditahan tentera Israel.
Mereka diarah turun sebelum dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.
Di kawasan Tayribe pula, pihak berkuasa Israel mengeluarkan arahan merobohkan dan mengosongkan 17 struktur pertanian milik penduduk Palestin dengan alasan tidak memiliki permit pembinaan.
Penduduk Palestin mendakwa tindakan tersebut sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberi tekanan kepada masyarakat tempatan dan memperluaskan kawalan Israel di Tebing Barat.
Sementara itu di Beit Imrin, seorang lelaki Palestin berusia 43 tahun, dilaporkan cedera selepas dipukul penduduk haram Yahudi sebelum menerima rawatan daripada Bulan Sabit Merah Palestin.
Di Nablus, sekumpulan penduduk haram turut dilaporkan menyerang kawasan Bir Quza dan cuba mencederakan penduduk tempatan sebelum dihalang masyarakat setempat.
Tentera Israel juga memasuki kawasan Al-Khader di selatan Baitul Laham dan menempatkan anggota di kawasan kejiranan Umm Rukba.
Pihak Palestin memberi amaran bahawa peningkatan operasi ketenteraan, pembinaan petempatan haram dan rampasan tanah menunjukkan usaha Israel untuk mengubah keadaan di Tebing Barat secara kekal.
Mereka turut mendakwa tindakan tersebut boleh membuka jalan kepada pengilhakan rasmi Tebing Barat oleh Israel sekali gus menjejas peluang penubuhan negara Palestin seperti yang digariskan dalam ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Agensi berita.
