Topik diikuti
Pergi ke BHku8 negara tolak rancangan pindahkan penduduk Gaza
Duta Amerika ke Israel turut kecam serangan pengganas terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat
JALURAN GAZA: Arab Saudi bersama tujuh negara Arab dan Islam menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza, sambil menegaskan semula bahawa wilayah itu adalah sebahagian daripada Palestin dan tidak boleh dipisahkan daripada Tebing Barat serta Baitulmakdis Timur.
Dalam kenyataan bersama pada 6 September, menteri luar Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan, Mesir, Turkey, Pakistan dan Indonesia mengecam kenyataan beberapa pemimpin Israel yang menggalakkan penghijrahan rakyat Palestin dari Gaza.
Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata pada 2 September bahawa pemerintahan Israel mempunyai rancangan bagi membolehkan penduduk Palestin meninggalkan Gaza, tetapi masih menunggu persetujuan Amerika Syarikat mengenai negara yang boleh menerima mereka.
Sehari kemudian, Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, mengemukakan rancangan tujuh tahun yang menurutnya bertujuan menggalakkan “penghijrahan secara sukarela” penduduk Gaza.
Rancangan itu menyasarkan kira-kira 250,000 rakyat Palestin meninggalkan Gaza pada tahun pertama, sebelum proses tersebut diperluaskan kepada baki penduduk wilayah itu dalam tempoh enam tahun berikutnya.
Gaza mempunyai sekitar dua juta penduduk Palestin.
Lapan negara itu memberi amaran bahawa usaha memindahkan rakyat Palestin, sama ada secara paksa atau dengan mewujudkan keadaan yang menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan tanah sendiri, merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Mereka turut menolak sama sekali sebarang percubaan mengubah komposisi penduduk atau keadaan geografi di wilayah Palestin.
Menurut kenyataan itu, hak kebangsaan rakyat Palestin, terutama hak menentukan nasib sendiri, tidak boleh dinafikan atau diketepikan.
Mereka menegaskan bahawa Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin dan menggesa supaya kesatuan wilayah Palestin yang merangkumi Jaluran Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dikekalkan.
Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, dan rakan sejawatnya turut menegaskan semula bahawa jalan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan adalah melalui penyelesaian dua negara.
Ia termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum perang 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya.
Pendirian itu, menurut mereka, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab.
Kenyataan terbaru itu mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dengan beberapa negara Arab dan Islam berhubung masa depan Gaza.
Pada Ogos lalu, lapan negara sama turut mengecam penolakan Israel terhadap pelan tindakan bagi meneruskan pelaksanaan rancangan Amerika untuk menamatkan perang di Gaza, serta bantahannya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin.
Ketika itu, mereka memberi amaran bahawa pendirian Israel boleh menjejaskan usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan serta mengancam pelaksanaan kerangka politik yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB.
Dalam kenyataan terbaru, mereka menggesa masyarakat antarabangsa bertindak menghalang sebarang langkah yang boleh membawa kepada pemindahan penduduk Palestin, melindungi hak mereka dan mempercepat usaha mencari penyelesaian politik.
Bagi Riyadh dan sekutunya, penubuhan negara Palestin bukan sekadar tuntutan rakyat Palestin, malah dilihat sebagai syarat utama bagi mencapai keamanan dan kestabilan jangka panjang di Timur Tengah.
Duta Amerika ke Israel, Encik Mike Huckabee, bagaimanapun menafikan bahawa Israel mempunyai rancangan untuk memaksa penduduk Palestin meninggalkan Gaza.
“Saya boleh katakan dengan tegas bahawa tidak ada rancangan Israel untuk memindahkan penduduk keluar dari Gaza bertentangan dengan kehendak mereka,” katanya kepada wartawan di Turmus Aya, sebuah bandar Palestin di Tebing Barat, pada 5 September.
Menurut Encik Huckabee, penduduk yang mahu meninggalkan Gaza secara sukarela harus diberikan peluang berbuat demikian.
“Tiada siapa mencadangkan pemindahan secara paksa. Israel tidak mencadangkannya. Amerika juga sudah tentu tidak,” katanya.
Kenyataan itu bercanggah dengan nada beberapa menteri Israel.
Encik Katz sebelum ini berkata bahawa pada akhirnya, “tiada penyelesaian sebenar bagi Gaza tanpa penghijrahan ini”, manakala Encik Ben-Gvir secara terbuka mengemukakan rancangan tujuh tahun untuk mengurangkan jumlah penduduk Palestin di wilayah berkenaan.
Isu Gaza bukan satu-satunya perkara yang menimbulkan kebimbangan Washington.
Ketika lawatannya ke Turmus Aya, Encik Huckabee turut mengecam peningkatan serangan pelampau pendatang Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan menyifatkan pelakunya sebagai “pengganas”.
Beliau bertemu penduduk Palestin-Amerika yang menceritakan pengalaman mereka berdepan serangan, ugutan dan keganasan pendatang haram.
Menurut PBB, lebih 1,000 rakyat Palestin cedera dalam serangan pendatang haram sejak awal 2026.
Encik Huckabee berkata jenayah dan keganasan mesti dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira siapa pelakunya.
“Jenayah adalah jenayah dan keganasan adalah keganasan. Ia mesti mempunyai akibat mengikut undang-undang,” katanya.
Pertemuan itu berlangsung ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel berhubung Gaza dan Tebing Barat, dengan negara Arab dan Islam menegaskan bahawa sebarang penyelesaian jangka panjang tidak boleh dicapai melalui pemindahan rakyat Palestin atau perubahan demografi wilayah mereka.
Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa penyelesaian politik berdasarkan dua negara dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat kekal sebagai asas kepada keamanan berkekalan di rantau itu. - Agensi berita
