BAITULMAKDIS: Persoalan mengenai masa depan hampir dua juta penduduk Gaza semakin menjadi tumpuan apabila Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Encik Itamar Ben Gvir, membentangkan rancangan memindahkan mereka ke negara lain.

Ini ketika mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, berdepan kontroversi berhubung peranannya dalam menentukan hala tuju wilayah itu.

Encik Ben Gvir pada 3 September membentangkan rancangan yang dinamakan ‘Disengagement 710’, dengan sasaran 250,000 penduduk Palestin meninggalkan Gaza dalam tahun pertama.

Pelan itu menyasarkan sekitar 1.11 juta penduduk dipindahkan dalam tempoh tiga tahun dan hampir 1.86 juta orang menjelang akhir program tujuh tahun.

Encik Ben Gvir, yang mengetuai parti Jewish Power, berkata rancangan itu bertujuan “menggalakkan penghijrahan secara sukarela” dan akan menjadi antara dasar utama partinya menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober.

“Kita mesti menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza,” katanya, sambil mendakwa beberapa negara bersedia menerima mereka.

“Ini realistik,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa menurutnya rancangan itu tidak bermakna penduduk Palestin dipaksa meninggalkan tanah mereka.

Namun, pemindahan secara paksa penduduk awam dari wilayah yang diduduki dianggap sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva.

Bagi rakyat Palestin, sebarang usaha mengeluarkan mereka dari Gaza turut membangkitkan ingatan terhadap Nakba, atau ‘malapetaka’, apabila ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan atau meninggalkan kediaman mereka semasa pembentukan Israel pada 1948.

Menurut dokumen setebal 20 halaman bertajuk ‘Pelan Kerja Nasional bagi Penghijrahan Sukarela dari Jaluran Gaza’, Israel akan berusaha mendapatkan negara yang sanggup menerima penduduk Gaza.

Antara negara yang disebut ialah Turkey, Habsyah dan Congo, selain beberapa negara Arab.

Pelan itu dianggarkan menelan belanja lebih AS$3 bilion ($3.8 bilion) pada tahun pertama dan sekitar AS$20 bilion sepanjang tujuh tahun.

Encik Ben Gvir juga mahu sebuah kementerian khusus diwujudkan bagi mengendalikan pemindahan itu, lengkap dengan peruntukan, kuasa luas dan pasukan rundingan antarabangsa.

Beliau turut memberi isyarat bahawa pelaksanaan rancangan tersebut akan menjadi antara syarat Jewish Power untuk menyertai gabungan pemerintahan selepas pilihan raya.

Cadangan itu bukan hanya disuarakan Encik Ben Gvir.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pada 2 September berkata tidak ada “penyelesaian sebenar” bagi Gaza tanpa penghijrahan penduduknya.

Menurut Encik Katz, beberapa negara bersedia menerima penduduk Gaza tetapi mahukan sokongan Amerika Syarikat terlebih dahulu.

“Setiap negara yang bersedia mahukan sokongan Amerika. Ketika ini, Presiden Trump tidak membatalkannya; beliau membekukannya,” katanya.

Pada akhir Jun, Israel dilaporkan menukar nama rancangan itu daripada ‘penghijrahan sukarela’ kepada ‘Pelan Kebebasan Bergerak’.

Namun, rangka kerja tersebut tidak memberi jaminan hak untuk penduduk yang keluar kembali ke Gaza.

Perdebatan mengenai masa depan Gaza turut melibatkan Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, bagi mengawasi usaha pascaperang dan pembinaan semula wilayah itu.

Encik Blair dilantik menganggotai lembaga eksekutif pengasas Lembaga Keamanan pada Januari bersama beberapa tokoh lain, termasuk menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, dan utusan khas Amerika ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff.

Namun, Institut Tony Blair bagi Perubahan Global (TBI) terpaksa menafikan dakwaan bahawa Encik Blair meminta Penguasa Palestin (PA) memadam perkataan ‘Palestin’ daripada buku teks sekolah.

Bekas Duta Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Jeremy Greenstock, mendakwa Encik Blair diminta Lembaga Keamanan menyampaikan tuntutan supaya perkataan ‘Palestin’ digantikan dengan ‘Samaria’.

Menurut Encik Greenstock, Presiden PA, Encik Mahmoud Abbas, menolak permintaan tersebut.

Encik Greenstock berkata beliau mendapat maklumat itu daripada sumber bertaraf menteri.

Namun, TBI menolak dakwaan tersebut dengan tegas.

“Cerita ini adalah rekaan sepenuhnya. Kami dengan tegas menafikan dakwaan... bahawa Encik Blair meminta Penguasa Palestin memadam nama ‘Palestin’ daripada kurikulum sekolah Palestin atau menggantikannya dengan istilah lain,” katanya.

Menurut institut itu, Encik Blair tidak pernah membuat, menyampaikan atau menyokong cadangan sedemikian.

Lembaga Keamanan turut menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai “rekaan sepenuhnya” dan tidak disokong sebarang bukti.

Menurut TBI, Encik Blair sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyokong proses damai, melaksanakan pelan keamanan serta membantu pemulihan dan pembinaan semula Gaza.

Kontroversi itu timbul ketika Encik Blair memainkan peranan semakin aktif dalam rundingan mengenai masa depan Gaza.

Pada pertengahan Ogos, beliau dilaporkan berkunjung ke Israel bersama Encik Kushner dan Wakil Tinggi bagi Gaza, Encik Nikolay Mladenov.

Mereka mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ke Kahirah untuk bertemu kumpulan teknokrat Palestin yang dijangka mengambil alih pentadbiran Gaza serta anggota Hamas.

Sebahagian besar penduduk Gaza sudah beberapa kali kehilangan tempat tinggal sejak perang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan 1,221 orang, menurut angka rasmi Israel.

Serangan Israel sejak itu pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 73,470 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas. – Agensi berita.