KATHMANDU: Pasukan penyelamat pada 27 Ogos bertungkus-lumus mencari lebih 1,300 orang yang dilaporkan hilang, termasuk sembilan warga Singapura, selepas banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat melanda sempadan Nepal-Tibet, mengorbankan lebih 350 orang sejauh ini dan menghanyutkan seluruh petempatan.

Mereka yang hilang dipercayai berada di Nepal untuk kegiatan pendakian dan mengikuti upacara keagamaan apabila bencana melanda pada 26 Ogos.

Sebahagian besar anggota kumpulan tersebut menginap di Rasuwagadhi, antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir, manakala beberapa yang lain sedang dalam perjalanan ke kawasan berkenaan, menurut Pengarah Urusan syarikat pelancongan pendakian Himalayan Glacier, Encik Sanket Pandey.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, pada 27 Ogos menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

Beliau berkata amat berdukacita dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang berlaku.

“Saya menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, serta kepada semua yang terjejas akibat tragedi ini,” katanya menerusi Facebook.

Encik Wong berkata Kementerian Ehwal Luar (MFA) sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan China bagi memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas.

Menerusi catatan Facebbok beliau pada 27 Ogos, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pula berkata Singapura sedang menyiapkan pakej bantuan kemanusiaan bagi menyokong usaha bantuan di Nepal serta menangani keperluan segera masyarakat yang terjejas.

MFA juga sedang berhubung dengan anggota keluarga rakyat Singapura yang terjejas.

“Ingatan kami bersama rakyat Nepal dan China dalam masa yang sukar ini, serta pihak berkuasa dan kakitangan kecemasan yang bertungkus-lumus menjalankan usaha menyelamat dan pemulihan,” kata Encik Wong.

Dalam nasihat perjalanan pada 27 Ogos, MFA menggesa rakyat Singapura di Nepal supaya meningkatkan kewaspadaan, mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Mereka turut dinasihatkan mengelakkan kawasan terjejas termasuk Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Gorkha dan Chitwan serta menjauhi sungai, tebing sungai, jambatan dan kawasan rendah.

MFA menggalakkan warga Singapura yang berada di Nepal supaya terus berhubung dengan keluarga, hotel, agensi pendakian, pemandu atau pengendali pelancongan tempatan.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar selepas banjir memusnahkan jalan raya dan jambatan serta menyebabkan ribuan penduduk terputus hubungan.

Helikopter digunakan untuk mencari mangsa terselamat dan menghantar bekalan kecemasan ke bandar serta lembah yang tidak lagi dapat diakses melalui jalan darat.

Tentera Nepal mengerahkan sekitar 2,000 anggota bagi operasi mencari dan menyelamat melalui darat dan udara.

Jurucakap polis Nepal, Encik Abi Narayan Kafle, memberi amaran angka korban dijangka meningkat apabila operasi pencarian diperluas.

“Jumlah ini akan meningkat kerana kami telah menyambung semula pencarian dan lebih banyak mayat dijangka ditemukan,” katanya.

Lembaga Pelancongan Nepal berkata 517 warga asing masih belum dapat dihubungi.

Antaranya ialah 178 warga India, 65 warga Amerika Syarikat, 53 warga Ukraine, 51 warga Malaysia, 35 warga Australia, 33 warga Britain dan 25 warga Canada. Selain itu, sembilan warga Singapura, lapan warga Jerman dan lapan warga Russia turut disenaraikan.

Pihak berkuasa Nepal berkata mereka sedang berusaha mengesahkan lokasi dan keadaan keselamatan pelancong serta pengembara yang berada di kawasan bencana.

Di Tibet pula, media pemerintah China melaporkan tiga orang terkorban dalam bencana lumpur di Pelabuhan Gyirong, manakala 558 orang masih hilang, termasuk 260 warga asing.

Ramai yang hilang dipercayai merupakan penganut Hindu dari beberapa negara yang sedang dalam perjalanan ke atau pulang dari Gunung Kailash di Tibet, kawasan suci bagi penganut beberapa agama.

Pemimpin kerohanian India, Sadhguru, berkata ramai jemaah yang pulang daripada perjalanan ke Gunung Kailash terperangkap ketika banjir melanda pusat imigresen di sempadan.

“Seluruh kumpulan berada di dalam bangunan itu,” katanya dalam satu rakaman video.

“Ini satu kejadian yang dahsyat dan luar biasa.”

Banjir tersebut digambarkan seperti ‘tsunami darat’ oleh ahli sejarah alam sekitar Universiti La Trobe, Profesor Ruth Gamble, selepas arus besar air, lumpur dan serpihan batu bergerak hampir 170 kilometer ke selatan memasuki Nepal.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata bencana itu dipercayai dicetuskan oleh runtuhan glasier yang menghasilkan aliran besar ais, batu dan serpihan.

Kejadian itu pada mulanya direkodkan sebagai gempa bumi 4.4 magnitud sebelum analisis lanjut mendapati isyarat seismik sebenarnya berpunca daripada “runtuhan glasier dan aliran serpihan”.

Kebimbangan kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya banjir kedua.

Timbunan besar serpihan daripada runtuhan itu masih menyekat aliran sungai di kawasan hulu berhampiran sempadan Nepal-China, menyebabkan air terkumpul di belakangnya.

Jika sekatan semula jadi itu pecah secara tiba-tiba, sejumlah besar air boleh sekali lagi mengalir deras ke kawasan hilir.

Ketua Risiko Iklim dan Alam Sekitar di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), Encik Qianggong Zhang, berkata pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan teliti.

“Dengan sekatan masih berada di hulu sungai sempadan Nepal-China, pihak berkuasa memberi amaran bahawa banjir kedua mungkin berlaku,” katanya.

Laporan teknikal pemerintah Nepal pada 27 Ogos turut memberi amaran bahawa kemungkinan berlaku aliran air tambahan “tidak boleh diketepikan buat masa ini”.

Encik David Fisher daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah berkata keadaan di kawasan terjejas masih sangat kritikal.

Menurutnya, beberapa kawasan di utara Nepal kini hanya boleh dimasuki menggunakan helikopter kerana banjir telah memusnahkan jambatan dan jalan raya.

Bencana itu turut menimbulkan kebimbangan lebih luas mengenai kesan perubahan iklim terhadap Himalaya.

Peningkatan suhu global mempercepat pencairan glasier, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan glasier dan banjir akibat limpahan tasik glasier.

Ketika pencarian ratusan mangsa diteruskan, pihak berkuasa Nepal dan China kini berdepan dua cabaran serentak – mencari mereka yang masih hilang dan memantau ancaman banjir susulan yang boleh sekali lagi melanda masyarakat di sepanjang lembah sungai. - Agensi berita