KATHMANDU: Banjir besar yang meragut lebih 350 nyawa di Nepal dipercayai tercetus apabila sebahagian besar glasier runtuh dari kawasan pergunungan Himalaya, lalu menghasilkan arus deras air, ais dan batu yang membadai kawasan di hilir tanpa amaran.

Penilaian awal sekumpulan pakar geologi dan glasier menunjukkan sebongkah ais selebar kira-kira 600 meter terpisah daripada glasier, sebelum jatuh hampir 1.2 kilometer ke dasar lembah pada pagi 26 Ogos.

Fenomena yang dikenali sebagai runtuhan ais itu dipercayai berlaku di kawasan kira-kira 64 kilometer ke utara Kathmandu, berhampiran sempadan Nepal dengan Tibet.

Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) berkata penilaian awal menunjukkan runtuhan ais dan batu daripada glasier di sebelah Nepal dipercayai menyekat Lhende Khola, anak Sungai Bhote Koshi.

Sekatan itu kemudian pecah atau melepaskan sejumlah besar air secara tiba-tiba, menghasilkan gelombang banjir yang bergerak pantas ke hilir.

Banjir mula melanda Timure berhampiran Rasuwagadhi pada pagi 26 Ogos, sebelum mengalir melalui Bhote Koshi dan memasuki sistem Sungai Trishuli.

Tiada hujan dilaporkan di kawasan terjejas sebelum kejadian, menyebabkan penduduk tidak menjangkakan banjir besar akan berlaku.

Pemerhatian hidrologi menunjukkan paras air Sungai Trishuli meningkat sehingga sembilan meter dalam tempoh hanya 30 minit.

Pakar geologi Universiti Calgary di Canada, Profesor Daniel Shugar, yang meneliti imej satelit, berkata sebahagian glasier itu kelihatan terpisah secara tiba-tiba sebelum jatuh ke lembah.

“Ia kelihatan seperti sebuah glasier di kawasan itu terpecah dengan jelas, lalu jatuh lebih satu kilometer secara menegak ke dasar lembah.

“Keadaan di bawah kelihatan seperti serpihan bom meletup, terdapat timbunan serpihan glasier yang hancur,” ujarnya.

Menurut Profesor Shugar, bongkah ais itu jatuh dari ketinggian sekitar 5,180 meter, dengan tenaga yang amat besar menghasilkan campuran ais, batu dan air yang bergerak pantas.

Pakar glasier Universiti Dundee di Scotland, Profesor Simon Cook, berkata tenaga daripada kejatuhan itu mampu menghancurkan ais sehingga menjadi sebahagian daripada aliran air dan serpihan yang berbahaya.

“Ais itu pada dasarnya dihancurkan menjadi air,” katanya.

Data seismik turut menyokong kemungkinan berlaku pergerakan besar di kawasan berkenaan sekitar 8.40 pagi.

Pakar geomorfologi di Universiti Grenoble Alpes, Perancis, Profesor Kristen Cook, berkata alat pengesan seismik merekodkan pergerakan jisim besar menuruni cerun yang kemudian disusuli isyarat menunjukkan berlakunya banjir.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada mulanya merekodkan kejadian itu sebagai gempa bumi bermagnitud 4.4.

Namun, agensi tersebut kemudian mendapati isyarat seismik berkenaan sebenarnya berpunca daripada runtuhan besar itu sendiri, yang menghasilkan gegaran bersamaan 5.2 magnitud.

Lebih 350 orang dilaporkan terkorban, manakala ratusan lagi masih hilang di Nepal dan Tibet selepas arus air serta serpihan melanda lembah sungai.

Mangsa yang hilang termasuk penduduk tempatan, pelancong dan anggota keselamatan.

Sekurang-kurangnya 19 jambatan serta beberapa bahagian jalan raya dihanyutkan, manakala projek hidroelektrik, kemudahan pemerintah dan instalasi keselamatan turut mengalami kerosakan.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika pihak berkuasa cuba menentukan skala sebenar kemusnahan.

Walaupun punca sebenar masih disiasat, saintis berkata peningkatan suhu akibat perubahan iklim mungkin menjadi antara faktor yang mempercepat ketidakstabilan glasier.

Imej satelit menunjukkan litupan salji di kawasan berkenaan berkurangan dengan ketara sehari sebelum kejadian, yang mungkin menunjukkan suhu lebih panas yang mencairkan ais.

Bagaimanapun, Profesor Shugar menegaskan masih terlalu awal untuk memastikan sama ada faktor lain turut menyumbang kepada banjir luar biasa itu.

Bencana tersebut turut meningkatkan kebimbangan mengenai ancaman tasik glasier di Himalaya.

Pusat Antarabangsa untuk Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) dan Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengenal pasti 47 tasik glasier yang berpotensi berbahaya di lembangan Sungai Koshi, Gandaki dan Karnali.

Daripada jumlah itu, 21 terletak di Nepal, 25 di Wilayah Autonomi Tibet di China dan satu di India.

Sebanyak 42 daripada 47 tasik berisiko itu berada dalam lembangan Koshi, manakala tiga di Gandaki dan dua lagi di Karnali.

Namun, bukti awal setakat ini tidak menunjukkan banjir terbaru berpunca daripada pecahnya salah satu tasik glasier yang dikenal pasti berbahaya itu.

Sebaliknya, kejadian itu menunjukkan bagaimana runtuhan ais atau batu di kawasan tinggi Himalaya boleh mencetuskan banjir besar yang sampai ke kawasan petempatan dalam tempoh singkat.

Kedudukan 26 daripada 47 tasik berbahaya di luar Nepal turut menyukarkan usaha pemantauan dan amaran awal kerana ancaman dari kawasan hulu boleh merentasi sempadan.

Nepal kini merancang memperluas sistem pemantauan dan amaran awal, selain mengurangkan paras air di beberapa tasik berisiko tinggi.

Bencana terbaru itu sekali lagi menunjukkan betapa masyarakat di kaki Himalaya semakin terdedah kepada ancaman glasier, dengan kejadian di kawasan pergunungan terpencil mampu bertukar menjadi bencana besar di hilir dalam tempoh beberapa minit. – Agensi berita.

“Ia kelihatan seperti sebuah glasier di kawasan itu terpecah dengan jelas, lalu jatuh lebih satu kilometer secara menegak ke dasar lembah. Keadaan di bawah kelihatan seperti serpihan bom meletup, terdapat timbunan serpihan glasier yang hancur.”
Profesor Daniel Shugar, pakar geologi Universiti Calgary di Canada.