Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas ikrar adakan pilihan raya, tuntut Hamas serah senjata

Majlis menaikkan bendera Palestin turut diadakan di Kedutaan Palestin di London
Sep 23, 2025 | 11:40 AM
Abbas, Palestin
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, muncul di skrin ketika beliau berucap kepada delegasi semasa mesyuarat peringkat tinggi ketua-ketua negara mengenai penyelesaian dua negara antara Israel dengan Palestin. Sesi pada 22 September 2025 itu diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

NEW YORK: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, berikrar untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh setahun selepas perang di Gaza berakhir, di samping menuntut Hamas menyerahkan senjata mereka dan mengutuk serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023.

Encik Abbas menegaskan bahawa rakyat Palestin mahukan “sebuah negara berasaskan kepelbagaian dan peralihan kuasa secara aman”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan melalui pautan video Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 22 September sempena Persidangan Negara Palestin.

Dalam ucapannya, Encik Abbas, menegaskan bahawa Hamas tidak akan dibenarkan mentadbir Gaza pada masa depan.

“Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam pemerintahan Gaza.

“Hamas dan puak lain mesti menyerahkan senjata mereka kepada pihak Penguasa Palestin,” katanya tegas.

Beliau turut mengecam pembunuhan serta penahanan orang awam, termasuk tindakan Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Kami mengutuk pembunuhan dan penahanan orang awam, termasuk tindakan Hamas itu,” tambahnya.

Encik Abbas memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam tempoh setahun selepas perang di Gaza berakhir, sebagai sebahagian usaha membina Negara Palestin yang berdaulat.

“Rakyat Palestin berhak kepada sebuah negara yang berasaskan kepelbagaian dan peralihan kuasa secara aman,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menekankan keperluan gencatan senjata segera.

“Kita perlu segera menyalurkan bantuan ke Gaza. Kita perlu pembebasan semua tawanan,” ujar Encik Abbas.

Encik Abbas turut memuji usaha Mesir dan Qatar yang menjadi pengantara untuk menamatkan perang, selain menghargai pendirian Mesir dan Jordan yang menolak rancangan pengusiran rakyat Palestin.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mesej kepada rakyat Israel dengan berkata:

“Masa depan kami dan anda bergantung kepada keamanan. Cukuplah perang.”

Kepada rakyat Palestin sendiri, dengan penuh emosi, beliau menambah: “Kepada rakyat Palestin yang sabar, saya katakan bahawa fajar kebebasan dan kemerdekaan pasti akan tiba.”

Encik Abbas dan 80 pegawai Palestin lain tidak dapat hadir secara fizikal di New York selepas visa mereka dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Keadaan itu mencetuskan kontroversi, sehingga Perhimpunan Agung PBB mengundi 145 berbanding lima bagi membenarkan Encik Abbas berucap melalui pautan video.

Sokongan antarabangsa terhadap kenegaraan Palestin semakin memuncak.

Enam negara baru termasuk Perancis secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin dalam satu langkah diplomatik bersejarah yang diumumkan sempena Persidangan Negara Palestin di ibu pejabat PBB New York.

Negara yang menyertai pengiktirafan tersebut ialah Belgium, Luxembourg, Malta, San Marino, Andorra dan Perancis, menjadikan jumlah negara anggota PBB yang mengiktiraf Palestin kini mencecah 151 daripada 193 negara.

Pada 21 September, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, membuat pengumuman bersejarah itu.

“Hari ini, demi menghidupkan semula harapan damai antara Palestin dengan Israel serta huraian dua negara, United Kingdom (UK) secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin,” kata Encik Starmer.

Beliau mengecam tindakan Israel di Gaza yang menurutnya telah mencetuskan krisis kemanusiaan buatan manusia.

“Krisis kemanusiaan di Gaza kini semakin parah. Pengeboman berterusan oleh pemerintah Israel, kelaparan dan kemusnahan adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Keputusan UK membawa simbol mendalam kerana negara itu memainkan peranan besar dalam penubuhan Israel selepas Perang Dunia Kedua.

Majlis menaikkan bendera Palestin turut diadakan di Kedutaan Palestin di London pada 22 September sebagai simbol sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Duta Palestin ke UK, Encik Husam Zomlot, menyatakan bahawa warna bendera Palestin melambangkan harapan, pengorbanan, tanah air yang dirindui simbol rasmi pengiktirafan.

Encik Zomlot menyifatkan langkah itu sebagai pembetulan terhadap “kesilapan sejarah”.

“Dengan tindakan ini, Britain menebus kesilapan lalu, mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat dengan hak yang setara.

“Ia adalah pengiktirafan yang sudah terlalu lama tertangguh terhadap hak menentukan nasib sendiri,” kata Encik Zomlot.

Buat masa ini, Palestin hanya berstatus pemerhati di PBB tanpa hak mengundi.

Keanggotaan penuh memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan PBB, dan Amerika memiliki kuasa veto.

Walaupun Palestin masih memegang status pemerhati di PBB, pengiktirafan yang semakin meluas itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap Majlis Keselamatan PBB untuk mempertimbangkan keahlian penuh Palestin sebagai negara anggota.

Sehari sebelumnya, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, turut mengumumkan pengiktirafan rasmi.

“Tiada apa yang boleh membenarkan perang berterusan di Gaza.

“Sudah tiba masanya untuk menghentikan pengeboman, pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran rakyat Palestin,” katanya.

Pengiktirafan berterusan dari negara-negara besar memberi lonjakan moral kepada Palestin, walaupun Amerika dan Israel tetap menolak huraian dua negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg