Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas yakin Trump sokong aspirasi Palestin untuk keamanan

Beliau berharap dapat bekerjasama untuk wujudkan keamanan yang berterusan di Timur Tengah
Nov 7, 2024 | 10:53 AM
Seorang lelaki berjalan dengan bertongkat di sebuah sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang telah dijadikan kem untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Deir el-Balah pada 5 November 2024, di tengah-tengah peperangan yang berterusan antara Israel dan Hamas. 
Seorang lelaki berjalan dengan bertongkat di sebuah sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang telah dijadikan kem untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Deir el-Balah pada 5 November 2024, di tengah-tengah peperangan yang berterusan antara Israel dan Hamas.  - Foto AFP

TEBING BARAT: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, menyampaikan ucapan tahniah kepada Encik Donald Trump atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024, dengan harapan bahawa pentadbiran baru ini akan menyokong aspirasi rakyat Palestin untuk mencapai keamanan dan keselamatan di rantau tersebut.

Dalam ucapan tahniahnya, Encik Abbas menekankan bahawa beliau berharap dapat bekerjasama dengan Encik Trump untuk mewujudkan keamanan yang berterusan di Timur Tengah, seiring dengan hak Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami akan terus teguh dengan komitmen kami terhadap keamanan, dan kami yakin Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan anda, akan menyokong aspirasi sah rakyat Palestin,” ujar Encik Abbas dalam kenyataannya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Hamas, kumpulan itu menegaskan bahawa mereka akan menilai kepimpinan Encik Trump berdasarkan pendirian dan tindakannya terhadap Palestin.

“Kami menuntut Presiden Amerika yang akan datang untuk menghentikan sokongan tidak berbelah Amerika kepada entiti Zionis,” kata jurucakap Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, merujuk kepada sokongan Amerika terhadap Israel sejak penubuhan negara itu pada tahun 1948.

Encik Abu Zuhri juga mengulas kenyataan Encik Trump sebelum ini yang menyatakan beliau mampu menghentikan perang dalam tempoh beberapa jam selepas mengambil alih jawatan.

“Trump akan diuji melalui janji-janji ini,” tambahnya, dengan harapan agar Encik Trump tidak mengulangi kesilapan pentadbiran Joe Biden yang dilihat oleh Hamas sebagai ‘melindungi kepentingan Israel’.

Di Khan Younis, Gaza, penduduk Palestin menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Bagi Encik Abu Osama, seorang penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel, kemenangan Encik Trump dirasakan sebagai satu lagi malapetaka dalam sejarah rakyat Palestin.

“Walaupun kami telah menyaksikan kehancuran, kematian dan pelarian, apa yang bakal datang mungkin lebih sukar, dan ia boleh membawa kemusnahan dari segi politik,” ujar Encik Abu Osama.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, lebih 43,300 rakyat Palestin terkorban dalam konflik yang berterusan selama lebih daripada setahun.

Kemusnahan meluas telah berlaku di wilayah tersebut, dan krisis ini bermula setelah militan yang diketuai oleh Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 1,200 rakyat Israel.

Namun sebahagian warga Palestin masih menyimpan harapan bahawa Encik Trump mungkin akan membawa perubahan positif.

Encik Mohammed Barghouthi, seorang jurutera di Gaza, menyatakan: “Trump berjanji kepada umat Islam di Amerika untuk menghentikan perang di Gaza. Kami berharap itu menjadi kenyataan untuk mengakhiri konflik di Timur Tengah.”

Namun, pandangan berbeza dilontarkan oleh Encik Khaled Dasouso, seorang pemilik kedai runcit di Khan Younis, yang menyatakan ketidakpercayaan beliau terhadap pentadbiran Amerika yang cenderung berpihak kepada Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg