Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afrika Selatan gesa ICJ perintah Israel henti serang Gaza

May 17, 2024 | 2:22 PM
Para hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bersidang bagi mendengar gesaan Afrika Selatan supaya mahkamah memerintahkan Israel segera menamatkan serangan daratnya ke atas Rafah di selatan Gaza.
Para hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bersidang bagi mendengar gesaan Afrika Selatan supaya mahkamah memerintahkan Israel segera menamatkan serangan daratnya ke atas Rafah di selatan Gaza. - Foto EPA-EFE

THE HAGUE (Belanda): Afrika Selatan menggesa hakim mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerintahkan Israel menamatkan serangan daratnya ke atas Rafah di selatan Gaza, dengan menyatakan ia meletakkan kehidupan rakyat Palestin di kawasan itu kepada risiko kemusnahan.

Perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu berlangsung pada 16 Mei selepas Afrika Selatan meminta minggu lalu supaya mahkamah mengeluarkan kekangan lanjut ke atas Israel dalam kempen ketenteraannya di Gaza.

Dalam pemfailan yang didedahkan oleh mahkamah, Afrika Selatan dipetik sebagai berkata bahawa “kemudaratan yang tidak boleh dipulih” akibat pencerobohan Israel ke atas Rafah, bandar paling selatan di Gaza yang menjadi tempat perlindungan bagi penduduk wilayah itu.

“Ia telah menjadi semakin jelas bahawa tindakan Israel di Rafah adalah sebahagian daripada permainan akhir di mana Gaza dimusnahkan sepenuhnya sebagai kawasan yang mampu didiami manusia,” kata Encik Vaughan Lowe, seorang peguam Britain, memberitahu mahkamah. “Ini adalah langkah terakhir dalam kemusnahan Gaza dan rakyat Palestin,” ujarnya.

Encik Lowe adalah sebahagian daripada pasukan undang-undang Afrika Selatan yang membentangkan kesnya selama dua jam di ICJ itu.

Dalam hujahnya, Afrika Selatan menyatakan hak rakyat Palestin di Gaza kini terancam dan kawalan Israel ke atas dua lintasan sempadan utama di selatan Gaza – di Rafah dan di Kerem Shalom – meletakkan risiko melampau aliran bekalan kemanusiaan ke Gaza dan keupayaan untuk hospital di sana untuk berfungsi.

“Sukar untuk membayangkan keadaan seperti itu boleh menjadi lebih buruk tetapi malangnya, ia telah berlaku,” kata Encik John Dugard, seorang lagi anggota pasukan Afrika Selatan.

Seorang lagi anggota pasukan undang-undang Afrika Selatan, Cik Tembeka Ngcukaitobi, memetik kenyataan pegawai kanan Israel yang menunjukkan niat untuk memusnahkan Gaza secara keseluruhan dan bukan semata-mata Hamas, musuh negara itu.

Israel telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Afrika Selatan, mengulangi bahawa ia tidak meletakkan sekatan ke atas jumlah bantuan yang memasuki Gaza.

Israel juga berkata bahawa serangan terbarunya ke atas timur Rafah adalah “operasi tepat” yang menyasarkan hanya pejuang Hamas.

Israel dijangka membuat pembelaan di ICJ pada 17 Mei. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg