THE HAGUE: Afrika Selatan dan Norway telah mengambil langkah bersama ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, untuk mengemukakan kes terhadap tindakan Israel di Gaza.
Pada 28 Oktober, Afrika Selatan menyerahkan dokumen undang-undang setebal 750 halaman kepada ICJ, mendakwa Israel telah melakukan genosid terhadap penduduk Gaza.
Dokumen itu disokong oleh lampiran lebih 4,000 muka surat yang memuatkan bukti terperinci mengenai pelanggaran hak asasi manusia sejak serangan di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023.
Pada 29 Oktober, pemerintah Norway pula mengumumkan rancangan membawa ketetapan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) bagi meminta ICJ menentukan kewajipan Israel dalam mempermudah bantuan kemanusiaan untuk Palestin, termasuk dari PBB dan badan antarabangsa.
Keputusan terkini Parlimen Israel, Knesset yang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menimbulkan kebimbangan kerana tindakan itu mengancam pelaksanaan bantuan genting untuk rakyat Gaza.
Duta Besar Afrika Selatan ke Belanda, Encik Vusi Madonsela, menyerahkan dokumen rasmi itu – dikenali sebagai memorial – di ibu pejabat ICJ.
Mengikut peraturan mahkamah, isi kandungan memorial tidak boleh didedahkan buat masa ini.
Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, menegaskan dalam kenyataannya bahawa bukti yang dikumpul itu cukup kukuh untuk membuktikan niat genosid Israel terhadap penduduk Palestin.
“Bukti ini menunjukkan bahawa Israel dengan sengaja melakukan genosid dan gagal menghalang hasutan serta tindakan genosid.
“Malah, Israel juga gagal menghukum mereka yang terlibat dalam jenayah ini,” ujar Encik Ramaphosa.
Afrika Selatan membawa kes itu ke ICJ pada Disember 2023, menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948 semasa serangan di Gaza sejak 7 Oktober 2023 dan telah meminta mahkamah untuk memerintahkan Israel menghentikan perang tersebut.
Israel diberi tempoh hingga Julai 2025 untuk mengemukakan respons terhadap tuduhan tersebut.
Dalam reaksi balas pada Mei, Israel dengan tegas menolak dakwaan Afrika Selatan dan menyatakan bahawa ia adalah eksploitasi tidak wajar terhadap Konvensyen Genosid.
Israel berhujah bahawa ia terlibat dalam konflik bersenjata yang sukar dan tragis, dan adalah penting untuk memahami keadaan yang dihadapinya.
Daya usaha Afrika Selatan itu mendapat sokongan lebih 30 negara dan blok serantau, termasuk Kesatuan Afrika dan Liga Arab, yang turut menyokong usaha intudi ICJ.
Sokongan turut diterima daripada aktivis hak Palestin seperti Encik Nihad Awad, Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islam-Amerika, yang memuji Afrika Selatan atas usaha membawa isu tersebut ke pentas antarabangsa.
Menteri Luar Norway, Encik Espen Barth Eide, memberi amaran bahawa larangan terhadap UNRWA hanya akan menambah ketidakstabilan di Timur Tengah.
Beliau menyatakan: “Kami percaya larangan ini melanggar tanggungjawab Israel di bawah undang-undang antarabangsa dan menjejas usaha ke arah penyelesaian dua negara.”
Encik Eide turut menegaskan bahawa halangan terhadap kerja bantuan di Gaza akan memberi kesan negatif kepada rakyat Palestin yang bergantung pada bantuan untuk keperluan asas seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Perdana Menteri Norway, Encik Jonas Gahr Store, mengingatkan bahawa masyarakat antarabangsa perlu tegas terhadap negara yang menghalang bantuan kemanusiaan di kawasan konflik dan menjejas hak rakyat untuk bantuan asas.
Krisis di Gaza semakin meruncing dengan hampir 43,000 orang Palestin dilaporkan terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 100,000 orang cedera sejak Oktober 2023.
Rakyat Gaza kekurangan bekalan asas seperti makanan, air bersih, dan ubat-ubatan, mengakibatkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg