Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liga Arab gesa laksana keputusan ICJ ke atas wilayah Palestin

Sep 12, 2024 | 12:26 PM
Menteri luar Liga Arab menggesa masyarakat antarabangsa supaya menguatkuasakan pendapat dan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengisytiharkan penempatan tidak sah Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Menteri luar Liga Arab menggesa masyarakat antarabangsa supaya menguatkuasakan pendapat dan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengisytiharkan penempatan tidak sah Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Menteri luar Liga Arab menggesa masyarakat antarabangsa supaya menguatkuasa pendapat dan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengisytiharkan penempatan tidak sah Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.

Pada akhir Mesyuarat Menteri-Menteri Majlis Liga Arab ke-162 di Kahirah pada 10 September, para menteri berkata Israel mesti menghentikan kehadirannya secara tidak sah dan semua kegiatan penempatan, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Mereka menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan supaya mempertimbangkan langkah tambahan untuk menamatkan pendudukan Israel.

Menteri-menteri itu turut menggesa ICJ supaya mempercepatkan penghakimannya terhadap kes yang diajukan oleh Afrika Selatan terhadap Israel, yang menuduh Tel Aviv gagal mematuhi Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Mereka berkata pengusiran rakyat Palestin oleh Israel dari tanah mereka merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia juga merupakan pengisytiharan perang dan pencerobohan terhadap negara-negara Arab, menjejas prospek keamanan, dan memburukkan lagi konflik di rantau itu.

Mereka menggesa PBB menggantung Israel daripada menyertai perhimpunan agungnya, lapor SPA.

Ini adalah kerana “ketidakpatuhan Israel terhadap tujuan dan prinsip Piagam PBB, ancamannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta kegagalannya memenuhi kewajipannya yang menjadi syarat untuk kemasukannya ke PBB”.

Mereka juga menyelar Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, atas keengganannya untuk berundur dari Koridor Philadelphi, yang mereka katakan menghalang usaha untuk mencapai gencatan senjata dan pertukaran tahanan dan tebusan.

Para menteri luar Liga Arab turut menyokong langkah Negara Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh PBB.

Mereka juga menyeru Majlis Keselamatan supaya menerima keanggotaan Negara Palestin berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung PBB yang mengiktiraf hak dan kelayakan Negara Palestin menganggotai PBB. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg