Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgama bukan faktor tunggal kemenangan El-Sayed sebagai senator Islam pertama AS
Kos sara hidup, isu kesihatan, dan bantahan dasar Israel cetus gelombang sokongan padu
Agama bukan faktor tunggal kemenangan El-Sayed sebagai senator Islam pertama AS
WASHINGTON: Kemenangan bersejarah Dr Abdul El-Sayed sebagai senator Islam pertama Amerika Syarikat disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat Islam negara itu, tetapi sokongan yang diterimanya bukan semata-mata kerana beliau berkongsi agama dengan mereka.
Sebaliknya, ramai pengundi Islam melihat kemenangan calon Parti Demokrat berusia 42 tahun itu sebagai kejayaan seorang pemimpin yang memperjuangkan isu kehidupan harian rakyat, termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan pengaruh syarikat besar dalam politik.
Bagi mereka, keutamaan Dr El-Sayed terhadap masalah ekonomi dan sosial lebih penting daripada identiti agama.
Pandangan itu mencerminkan perubahan dalam landskap politik masyarakat Islam Amerika yang semakin menilai calon berdasarkan dasar dan kemampuan memimpin, bukan sekadar latar belakang agama.
Encik Karrar Al-Sadkhan, 18 tahun, yang mengundi buat kali pertama di sebuah sekolah di Dearborn, Michigan, pada 3 November, berkata beliau memilih Dr El-Sayed kerana dasar ekonomi yang diperjuangkan Parti Demokrat.
“Parti Demokrat lebih memberikan tumpuan kepada harga petrol, penjagaan kesihatan dan barangan runcit. Itulah yang mendorong saya mengundi mereka,” katanya.
“Perlembagaan memberikan kita kebebasan mengamalkan agama masing-masing, tetapi kesetiaan kita tetap kepada Perlembagaan.”
Pengundi Michigan, Encik Mohamad Saab, 23 tahun, menegaskan bahawa Amerika merupakan negara sekular yang perlu mengekalkan pemisahan antara agama dengan pentadbiran pemerintah.
“Negara kita bukan negara berasaskan Islam. Negara ini sekular dan kami mahu ia kekal begitu,” katanya.
Kemenangan Dr El-Sayed ke atas calon Republikan, Encik Mike Rogers, bukan sahaja mencipta sejarah, malah menunjukkan peningkatan pengaruh politik masyarakat Islam yang membentuk kira-kira 1 peratus penduduk Amerika.
Bagaimanapun, kejayaan itu berlaku ketika sentimen anti-Islam masih kuat dalam sebahagian masyarakat Amerika.
Sepanjang kempen, Dr El-Sayed menjadi sasaran serangan politik yang mengaitkan agama Islam dengan keganasan dan fahaman pelampau.
Presiden Donald Trump menyifatkan Dr El-Sayed sebagai individu yang menyokong jihad ganas dan mendakwa kemenangannya akan membawa kemasukan golongan pelampau ke Amerika.
Encik Rogers pula cuba mengaitkan ibu Dr El-Sayed dengan rangkaian pengganas Al-Qaeda.
Namun, serangan tersebut dipercayai meningkatkan semangat masyarakat Islam untuk keluar mengundi.
Penasihat kanan Dana Perpaduan dan Keadilan, Encik Basim Elkarra, berkata kumpulannya mengetuk 135,000 pintu rumah di kawasan Detroit yang mempunyai ramai penduduk Islam dan keturunan Timur Tengah bagi mendapatkan sokongan bagi Dr El-Sayed.
“Serangan itu membantu kami menggerakkan masyarakat seperti yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Dr El-Sayed turut mempertahankan prinsip pemisahan agama daripada pemerintah ketika berdepan seorang lelaki Kristian dalam sesi dialog bersama pengundi.
Lelaki itu memintanya mengecam Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan politik Islam, dan Dr El-Sayed memenuhi permintaan tersebut.
Namun, beliau kemudian meminta lelaki berkenaan turut menolak sebarang usaha memasukkan ajaran agama ke dalam undang-undang negara.
Apabila lelaki itu enggan berbuat demikian, Dr El-Sayed membalas:
“Saya rasa anda yang perlu memahami Perlembagaan, bukan saya.”
Jawapan tersebut mendapat sorakan hadirin.
Selain kos sara hidup, perang di Gaza dan bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel turut mempengaruhi sokongan sebahagian pengundi Islam.
Dr El-Sayed dikenali sebagai pengkritik dasar Israel dan pernah mempersoalkan hak negara itu untuk wujud sebagai sebuah negara Yahudi, walaupun beliau kemudian melunakkan pendiriannya menjelang akhir kempen.
Encik Elkarra berkata isu Gaza amat penting kepada ramai anggota masyarakat Islam, selain turut mendapat perhatian pengundi progresif Parti Demokrat.
Bagaimanapun, pendirian tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian pengundi Yahudi.
Di Washington, pemilik restoran Palestin, Cik Nesrin Abaza, 65 tahun, berkata beliau menyokong Dr El-Sayed bukan kerana agamanya, tetapi kerana melihatnya sebagai sebahagian gerakan politik baharu Parti Demokrat.
“Saya menyokong gerakan Demokrat yang baharu. Kami sudah bosan dengan pemimpin yang tidak mendengar suara kami,” katanya.
Di Illinois, anggota lembaga sekolah, Cik Bushra Amiwala, 28 tahun, turut menekankan kepentingan dasar berbanding identiti agama.
Beliau berharap Dr El-Sayed terus memperjuangkan hak kesihatan reproduktif wanita, meningkatkan pelaburan pendidikan dan mengurangkan pengaruh wang dalam politik.
“Kurangkan pengaruh wang dalam politik, tambah wang dalam poket rakyat dan sediakan Medicare untuk semua. Itulah yang saya selalu dengar Abdul perjuangkan,” katanya.
Walaupun masyarakat Islam secara tradisi lebih cenderung menyokong Parti Demokrat, corak pengundian mereka semakin berubah.
Dalam pilihan raya presiden 2024, sebahagian pengundi Arab Amerika di Michigan beralih menyokong Encik Trump kerana kecewa dengan sokongan pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap Israel.
Perubahan itu menunjukkan masyarakat Islam bukan lagi kumpulan pengundi yang boleh dianggap memberikan sokongan tetap kepada satu parti.
Di Texas, Encik Azar Mohammed, 53 tahun, seorang kontraktor yang berhijrah dari India 33 tahun lalu, berkata beliau memilih Demokrat kerana bimbang terhadap kesan tindakan keras imigresen Trump kepada pekerjanya.
“Kami datang ke sini untuk bekerja. Kami menyumbang kepada negara ini melalui cukai. Kami bekerja keras,” katanya.
Di Georgia pula, Encik Khushal Gurbaz, 41 tahun, menyokong calon Demokrat bagi Senat kerana mahu perang dengan Iran ditamatkan, tetapi memilih calon Republikan bagi jawatan gabenor kerana menganggapnya lebih berkesan menangani jenayah.
Corak pengundian sedemikian menunjukkan isu ekonomi, keselamatan dan dasar luar boleh mengatasi kesetiaan kepada parti atau agama.
Kemenangan Dr El-Sayed menyusuli kejayaan Encik Zohran Mamdani, yang dipilih sebagai datuk bandar Islam pertama New York pada 2025.
Pilihan raya 3 November turut menyaksikan dua lagi calon Islam, Dr Adam Hamawy dari New Jersey; dan Cik Darializa Avila Chevalier, dari New York, dipilih menganggotai Dewan Perwakilan Amerika.
Namun, sentimen negatif terhadap Islam masih menjadi cabaran besar.
Menurut Pusat Penyelidikan Pew, 76 peratus penyokong Republikan percaya Islam lebih cenderung menggalakkan keganasan berbanding agama lain, meningkat daripada 32 peratus pada awal 2002.
Dalam kalangan penyokong Demokrat, angka tersebut meningkat daripada 23 peratus kepada 29 peratus.
Pengarah Eksekutif Institut Politik Universiti Chicago, Cik Zeenat Rahman, berkata pemimpin Islam yang baharu dipilih akan menghadapi pemerhatian lebih ketat kerana masih wujud rasa tidak selesa terhadap Islam dalam masyarakat Amerika.
“Cara beliau mentadbir akan menjadi perkara penting. Ahli politik Islam Amerika memikul tanggungjawab yang sangat besar,” katanya.
Bagi Encik Wafic Faour, 66 tahun, seorang warga Amerika berketurunan Palestin di Vermont, kemenangan Dr El-Sayed memberikan harapan bahawa masyarakat Islam semakin diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan politik Amerika.
“Islam mengajar kita supaya melihat jiran seperti kita melihat diri sendiri dan membantu orang lain,” katanya. – Agensi berita.