Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengundi Muslim AS perkukuh pengaruh dalam pilihan raya pertengahan penggal
Perang di Gaza dan Iran, dasar imigresen serta retorik anti-Islam dorong masyarakat Islam dan Arab Amerika sekat penguasaan Trump di Kongres
Pengundi Muslim AS perkukuh pengaruh dalam pilihan raya pertengahan penggal
WASHINGTON: Masyarakat Islam dan Arab Amerika kini menggembleng kekuatan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November, dengan sebahagian besar pengundi dijangka menolak calon Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump.
Kempen itu didorong rasa tidak puas hati terhadap sokongan Washington kepada Israel dalam perang Gaza, konflik ketenteraan dengan Iran, dasar imigresen yang ketat serta kenyataan Encik Trump yang dianggap menghina masyarakat Islam.
Pertubuhan Islam dan pemimpin masyarakat kini giat menggalakkan pengundi keluar mengundi, khususnya di negeri penting seperti Michigan dan Minnesota, yang mempunyai ramai penduduk Islam dan Arab Amerika.
Pilihan raya itu bakal menentukan parti yang menguasai Dewan Perwakilan dan mempengaruhi keseimbangan kuasa di Dewan Senat, sekali gus menentukan sejauh mana pentadbiran Trump boleh melaksanakan dasarnya tanpa halangan Kongres.
Menurut tinjauan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) yang diterbitkan pada 28 Oktober, sebanyak 84 peratus responden Islam tidak berpuas hati dengan prestasi Encik Trump, manakala hanya enam peratus menyokongnya.
Tinjauan membabitkan 861 responden antara 16 dengan 25 Oktober itu turut mendapati 72 peratus bercadang menyokong calon Demokrat, berbanding enam peratus yang memilih Republikan.
Sebanyak 81 peratus menyatakan mereka pasti mengundi, manakala sembilan peratus lagi berkemungkinan berbuat demikian.
CAIR menganggarkan terdapat kira-kira lapan juta penduduk Islam di Amerika, dengan sekurang-kurangnya 2.5 juta pengundi berdaftar tertumpu di 12 negeri yang berpotensi menentukan penguasaan Kongres.
Pengarah Hal Ehwal Pemerintahan CAIR, Encik Robert S. McCaw, menggesa setiap pengundi Islam yang layak supaya merancang lebih awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Pertubuhan itu turut melancarkan kempen pengiklanan digital dan penghantaran mesej bagi meningkatkan penyertaan pengundi.
Isu dasar luar menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pilihan mereka.
Tinjauan CAIR mendapati 89 peratus responden menganggap pendirian calon terhadap perang Gaza sangat penting dalam menentukan undi.
Bagaimanapun, masalah kos sara hidup turut menjadi kebimbangan utama, dengan 63 peratus responden menyenaraikannya sebagai isu penting.
Kemarahan terhadap dasar Trump turut dikaitkan dengan peningkatan sentimen anti-Islam.
CAIR merekodkan 8,683 aduan diskriminasi terhadap masyarakat Islam dan Arab sepanjang 2025, jumlah tahunan tertinggi sejak pertubuhan itu mula menerbitkan rekod berkenaan pada 1996.
Aduan tersebut meliputi diskriminasi pekerjaan, imigresen, permohonan suaka dan kejadian kebencian.
Michigan menjadi tumpuan utama apabila calon Demokrat, Dr Abdul El-Sayed, berusaha mencipta sejarah sebagai anggota Dewan Senat Amerika pertama beragama Islam.
Beliau berdepan calon Republikan, Encik Mike Rogers, dalam persaingan yang dijangka sengit.
Tinjauan Mitchell Research pada 26 hingga 27 Oktober menunjukkan Dr El-Sayed mendahului dengan sokongan 51 peratus berbanding 44 peratus untuk Encik Rogers.
Encik Trump sebelum ini menyerang Dr El-Sayed dengan menggelarnya sebagai anggota Ikhwanul Muslimin dan pelampau, tuduhan yang dinafikan calon berketurunan Mesir itu.
Dr El-Sayed menyifatkan serangan terhadap identiti agamanya sebagai usaha menafikan hak masyarakat Islam menjadi sebahagian daripada rakyat Amerika.
“Mereka mahu memberitahu kita bahawa negara ini bukan milik kita. Mereka mahu mengatakan bahawa kerana nama dan cara kita beribadah, kita dianggap lebih rendah daripada mereka,” katanya.
Di Minnesota, anggota Dewan Perwakilan Demokrat, Cik Ilhan Omar, yang berketurunan Somalia, turut menghadapi serangan berulang daripada Trump.
Cik Omar, yang mempertahankan kerusinya, menuduh pentadbiran Trump menggunakan tekanan politik untuk menakut-nakutkan pengkritik.
“Saya tidak akan berdiam diri,” tegasnya.
Seorang lagi anggota Kongres Demokrat dari Michigan, Cik Rashida Tlaib, menggesa Amerika menghentikan sepenuhnya bantuan senjata kepada Israel kerana mendakwa bantuan itu membolehkan pencabulan hak rakyat Palestin berterusan.
Sementara itu, tokoh agama Islam turut menggesa masyarakat Islam menggunakan hak mengundi mereka.
Pendakwah terkenal, Dr Yasir Qadhi, menyeru umat Islam memilih calon yang memperjuangkan kebebasan, keadilan dan menentang pembunuhan beramai-ramai.
Presiden Institut Yaqeen, Dr Omar Suleiman, pula mengingatkan bahawa mengundi merupakan satu cara masyarakat Islam mempertahankan kepentingan mereka.
Perubahan sokongan itu amat ketara berbanding pilihan raya presiden 2024, apabila sebahagian pengundi Islam dan Arab meninggalkan Demokrat kerana membantah sokongan pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap Israel.
Sebahagian memilih Encik Trump, calon parti ketiga atau tidak mengundi.
Kini, dasar Encik Trump sendiri menyebabkan ramai pengundi tersebut mempertimbangkan semula pendirian mereka.
Bagaimanapun, masyarakat Islam dan Arab Amerika bukan satu kelompok politik yang mempunyai pandangan seragam.
Mereka berbeza dari segi agama, latar belakang dan keutamaan politik.
Tinjauan CAIR juga mempunyai batasan kerana niat untuk mengundi tidak semestinya mencerminkan jumlah sebenar yang akan keluar mengundi.
Namun, dengan persaingan sengit di beberapa negeri, perubahan kecil dalam sokongan pengundi Islam berpotensi memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.
Bagi masyarakat Islam Amerika, pilihan raya kali ini bukan sekadar peluang menghukum Encik Trump, malah usaha memastikan suara mereka didengar dalam menentukan dasar negara.
Seperti ditegaskan Dr Omar Suleiman: “Mengundi bukan segala-galanya, tetapi ia juga bukan sesuatu yang tidak bermakna.” – Agensi berita