Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi alam sekitar AS: Bumi catat Julai terpanas dalam rekod

Aug 13, 2024 | 7:18 PM
Julai merupakan bulan terpanas dalam rekod, menjadikannya bulan ke-14 memecahkan rekod secara berturut-turut, lapor agensi alam sekitar Amerika Syarikat.
Julai merupakan bulan terpanas dalam rekod, menjadikannya bulan ke-14 memecahkan rekod secara berturut-turut, lapor agensi alam sekitar Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON: Julai 2024 merupakan Julai paling panas dalam rekod, menjadikannya bulan ke-14 yang memecahkan rekod panas berturut-turut, lapor sebuah agensi alam sekitar Amerika Syarikat pada 12 Ogos.

Laporan bulanan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) itu juga menyatakan bahawa 2024 kini mempunyai 77 peratus peluang untuk menjadi tahun paling panas dalam rekod.

Pengiraan Julai oleh NOAA bercanggah dengan pemantau iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU), yang, menggunakan set data berbeza, mengira suhu purata Julai lebih rendah sedikit dari Julai 2023.

Namun, kedua-dua agensi itu bersetuju mengenai trend membimbangkan cuaca panas yang memecahkan rekod, dengan paras tertinggi baru dicatat setiap bulan sepanjang setahun lalu.

Menurut NOAA, yang sejarah datanya bermula 175 tahun lalu, 2024 pasti akan menjadi salah satu daripada lima tahun paling panas dalam rekod.

Pada Julai, suhu sejagat adalah 1.21 darjah Celsius melebihi purata abad ke-20, iaitu 15.8 darjah Celsius, kata agensi itu.

Julai menyaksikan satu siri gelombang panas merentasi negara di Mediterranean dan Teluk, ujar NOAA.

Afrika, Eropah dan Asia mencatatkan Julai sebagai bulan terpanas mereka dalam rekod, manakala Amerika Utara adalah yang kedua terpanas.

Suhu lautan adalah yang kedua terpanas pada Julai, menurut NOAA – sama seperti bacaan Copernicus.

Para saintis di Copernicus menyatakan minggu lalu bahawa “suhu udara di atas lautan kekal tinggi luar biasa di banyak wilayah” walaupun ada perubahan corak cuaca, El Nino, yang menyebabkan peningkatan suhu sejagat kepada, La Nina, yang mempunyai kesan penyejukan.

Tahun 2023 juga merupakan tahun paling panas dalam rekod.

“Kesan buruk perubahan iklim bermula sebelum 2023 dan akan berterusan hingga pelepasan gas rumah hijau sejagat mencapai sifar bersih,” kata Dr Samantha Burgess, timbalan pengarah Copernicus. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg