Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang haba di M’sia antara punca kes lemas naik

Aug 8, 2024 | 11:42 AM
Sungai dan air terjun antara tempat yang jadi tumpuan ramai untuk menyejukkan badan berikutan cuaca panas melampau di beberapa tempat di Malaysia ketika ini.
Sungai dan air terjun antara tempat yang jadi tumpuan ramai untuk menyejukkan badan berikutan cuaca panas melampau di beberapa tempat di Malaysia ketika ini. - Foto KOSMO!

JOHOR BAHRU: Cuaca tidak menentu dan panas melampau di beberapa lokasi di Malaysia bukan saja menyebabkan kejadian kebakaran hutan dan belukar meningkat, bahkan juga kes lemas.

Segelintir mereka cuba mencari jalan menyejukkan badan ketika cuaca panas membahang dengan mandi di sungai, namun malangnya ia berakhir dengan tragedi lemas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata dianggarkan kira-kira 10,000 panggilan kejadian termasuk kebakaran belukar, lemas dan operasi menyelamat lain direkodkan setiap bulan sepanjang 2024.

Mengenai kes kebakaran, menurut Datuk Nor Hisham, pada Julai sahaja terdapat 2,000 kes kebakaran hutan dan belukar direkodkan, manakala purata kes lemas setiap bulan adalah kira-kira 20 kes.

“Sehingga kini 162 orang termasuk 19 wanita maut akibat lemas dengan kebanyakan mangsa berusia bawah 40 tahun.

“Sungguh menyedihkan apabila ramai anak muda mati lemas pada 2024 ini,” katanya sambil menambah bahawa kebanyakan kes berlaku di sungai, pantai dan kawasan perlombongan, lapor The Star.

Beliau berkata antara Januari hingga 7 Ogos 2024, JPBM menerima sejumlah 73,604 panggilan membabitkan pelbagai kes di seluruh negara.

“Pada 27 Julai lalu, kami mengendalikan sejumlah 403 kes dengan sebahagian besarnya kebakaran belukar dan hutan,” katanya sambil menambah bahawa kebanyakan kes berlaku di Selangor, Johor, Perak dan Sabah.

Datuk Nor Hisham berkata menyusuli peningkatan kes kebakaran belukar dan hutan, pihaknya memantau secara berterusan 845 titik kebakaran di 95 daerah di seluruh negara.

“Setakat ini, tiada kebakaran hutan aktif di seluruh negara, tetapi sehingga kini, anggota dan pegawai bomba telah memadamkan kebakaran di kira-kira 11,501 hektar hutan dan belukar di seluruh negara,” katanya.

Paling banyak, katanya di Sabah merangkumi hutan seluas 6,895 hektar diikuti Pahang (3,107 hektar), Kelantan (452 ​​hektar), Johor (336 hektar) dan Terengganu (335 hektar),” katanya lagi.

Datuk Nor Hisham berkata cabaran terbesar yang dihadapi semasa musim kemarau berpanjangan ialah untuk memadam kebakaran di kawasan yang terletak jauh di dalam hutan dengan sumber air yang terhad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg