Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Agensi bantuan PBB, UNRWA, bantu 6j pelarian Palestin

Adalah mustahil bagi menggantikan peranan agensi bantuan PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) susuli kakitangannya didakwa terbabit dalam serangan Hamas ke atas Israel
Feb 12, 2024 | 05:30 AM



Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) yang merupakan agensi kemanusiaan utama di Gaza, kini menghadapi krisis pembiayaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas penderma antarabangsa utamanya yang diketuai oleh Amerika Syarikat memotong pembiayaannya kerana didakwa melakukan “keganasan”.

Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, menyifatkan langkah untuk menggantung pembiayaan itu sebagai “hukuman kolektif tambahan” terhadap rakyat Palestin yang sangat terdesak sekali akibat hampir empat bulan menjadi sasaran pengeboman Israel tanpa henti.

Pembiayaan bantuan dihentikan segera selepas Israel menuduh 12 kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.

PBB telah mengambil tindakan terhadap kakitangan UNRWA yang dikaitkan dengan serangan itu di samping menyuarakan bantahannya terhadap penghentian pembiayaan.

“Memandangkan perang di Gaza berterusan, dan pada masa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meminta agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dihulurkan, sudah tiba masanya untuk mengukuhkan dan bukan melemahkan UNRWA,” kata Encik Lazzarini dalam satu kenyataan pada Khamis, 1 Februari.

“Sekiranya pembiayaan masih digantung, kemungkinan besar kami akan terpaksa menutup operasi kami pada akhir Februari, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di seluruh rantau ini.”

Tuduhan Israel masih belum disahkan

Palestin telah menuduh Israel membuat tuduhan palsu untuk memburukkan UNRWA di Gaza yang menggaji sekitar 13,000 orang yang mengendalikan sekolah, klinik penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain. Pakar berkata dakwaan Israel masih belum dibuktikan.

Jurucakap PBB, Cik Stephane Dujarric, berkata Israel belum lagi berkongsi dokumen perisikan dengan PBB.

Cik Yasmine Ahmed, pengarah UK Human Rights Watch (HRW), memberitahu media Aljazeera bahawa HRW tidak mengetahui bahawa PBB, atau di mana-mana negara yang membiayai UNRWA, telah melihat sebarang dokumentasi bertulis yang membuktikan apa yang telah didakwa oleh Israel.


Cik Yasmine berkata HRW telah bertanya kepada pemerintah Britain apakah bukti bertulis yang mereka lihat mengenai dakwaan yang menyebabkan mereka menggantung pembiayaan.

Mengapa UNRWA diwujudkan?

UNRWA telah diwujudkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 8 Disember 1949 dengan objektif menyediakan bantuan asas termasuk makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada puluhan ribu pelarian Palestin.

Lebih 700,000 rakyat Palestin telah dipindahkan secara paksa, yang membawa kepada penubuhan Israel pada tahun 1948. Peristiwa itu diingati oleh rakyat Palestin sebagai Nakba atau ‘malapetaka’.


Operasi UNRWA tersebar di seluruh Tebing Barat yang diduduki – termasuk Baitulmakdis Timur, Jaluran Gaza, Syria, Lebanon dan Jordan.

Apa yang dilakukan UNRWA?

UNRWA menyokong kira-kira 6 juta pelarian Palestin yang tinggal di dalam dan di luar Palestin. Ia seperti negara separa yang menyediakan perkhidmatan langsung seperti sekolah, pusat kesihatan dan perkhidmatan sosial yang lain. Ia juga memberi pinjaman kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun, ia tidak mengelolakan kem pelarian kerana penyelenggaraan undang-undang serta ketenteraman dan keselamatan bukan sebahagian daripada mandatnya.

UNRWA beroperasi secara berasingan daripada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) yang juga ditubuhkan pada 1949.

Walaupun UNHCR menyediakan perlindungan sementara dan bantuan kepada pelarian, ia tidak mempunyai mandat ke atas pelarian Palestin dalam bidang operasi UNRWA.

Walaupun ia memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, badan UNRWA tidak mempunyai mandat untuk menempatkan semula pelarian Palestin kerana ini mendapat tentangan Israel.

Pada 2021, kira-kira 545,000 kanak-kanak telah mendaftar di sekolah UNRWA; Bantuan Program Jaringan Keselamatan Sosial (SSNP) mencecah 398,044 penerima; dan 1.7 juta menerima bantuan kemanusiaan kritikal.

Mengapa UNRWA penting untuk rakyat Palestin?

UNRWA membantu rakyat Palestin dalam pelbagai cara – menyediakan mereka dengan pelbagai sumber.

Sejak Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza pada 7 Oktober, kira-kira sejuta rakyat Palestin dari Gaza – atau hampir 45 peratus penduduk wilayah itu – telah berteduh di sekolah-sekolah UNRWA, klinik dan bangunan awam lain.

Sekolah dan bangunan UNRWA beroperasi di luar kapasiti untuk menyediakan perlindungan kepada penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Tempat yang selamat untuk mereka berlindung juga kini amat terhad.

Hampir keseluruhan penduduk di Gaza kini bergantung kepada UNRWA untuk keperluan asas termasuk bekalan makanan, air dan kebersihan.

Agensi PBB menggaji beribu-ribu rakyat Palestin di sekolah-sekolahnya, pusat penjagaan kesihatan dan program sosial lain yang menyediakan peluang pekerjaan yang sangat diperlukan kepada rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan Israel sejak tujuh dekad lalu.

Lebih 30,000 rakyat Palestin di Jaluran Gaza, Tebing Barat dan di kem pelarian yang luas di negara-negara jiran Arab bekerja untuk UNRWA.

Perkhidmatannya di Gaza menjadi semakin penting sejak 2005 apabila Israel dan Mesir mengenakan sekatan – mengakibatkan ekonomi musnah, mencetuskan salah satu kadar pengangguran tertinggi di dunia.

Pada Disember 2023, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Biro Statistik Palestin, menyebut bahawa sekurang-kurangnya 66 peratus pekerjaan hilang di Gaza sejak perang meletus.

UNRWA membantu mengekang jurang pengangguran di kalangan rakyat Palestin, dengan menawarkan mereka pekerjaan.

Siapakah penderma terbesar kepada UNRWA?

Pada 2022, penderma utama UNRWA ialah Amerika, Jerman, Kesatuan Eropah (EU), Sweden, Norway, Jepun, Perancis, Arab Saudi, Switzerland dan Turkey.

Amerika, Jerman dan Switzerland telah menggantung pembiayaan kepada UNRWA berikutan dakwaan itu.

EU mengumumkan pada 5 Februari bahawa ia akan menyemak sama ada mahu terus membiayai UNRWA berdasarkan dakwaan itu.

Bagaimanapun, badan itu tidak meramalkan sebarang pembiayaan tambahan untuk organisasi itu sehingga akhir Februari.

Norway, salah satu penderma utama, menggesa negara penderma lain untuk memikirkan akibat yang lebih luas daripada pemotongan pembiayaan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >