BANGKOK: Beberapa pemerhati bersetuju bahawa pemerintah Perdana Menteri Kemboja Hun Manet sedang menghadapi tekanan domestik yang semakin meningkat di tengah-tengah iklim ekonomi yang semakin buruk, ketidaksamaan yang semakin meluas, dan lonjakan aktiviti haram, terutamanya jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Risikan dan laporan antarabangsa mencadangkan bahawa keuntungan daripada perusahaan haram ini, sebahagian atau dalam ukuran besar, berkaitan dengan individu yang rapat dengan elit politik Kemboja.
Ini bukan spekulasi semata-mata. Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) telah mengeluarkan penemuan terperinci tentang jenayah terancang transnasional, jenayah siber dan operasi penipuan dalam talian.
Penyelidikan mereka termasuk peta pusat penipuan global, yang menawarkan gambaran mendalam tentang skala besar dan geografi aktiviti sedemikian.
Peta yang disusun UNODC dengan jelas itu, mengenal pasti pelbagai hab penipuan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Menariknya, bertentangan dengan andaian meluas bahawa Myanmar adalah pusat serantau, Kemboja kini muncul sebagai pusat operasi penipuan siber.
Antara lokasi paling menonjol yang ditanda pada peta ialah Sihanoukville, yang menurut UNODC sebagai salah satu pusat penipuan terbesar di Kemboja.
Laporan itu menyerlahkan pelaburan asing di kawasan itu, yang telah berkembang menjadi tempat persembunyian dan pangkalan operasi sindiket penipuan yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia, termasuk di Thailand.
Poipet, sebuah pekan sempadan, juga menjadi pangkalan strategik untuk rangkaian jenayah yang menyusup ke pasaran Thailand.
Ibu kota Kemboja, Phnom Penh, Bavet dan Preah Sihanouk juga menjadi pusat kegiatan haram - tanda bahawa industri penipuan tidak lagi terhad kepada zon sempadan.
Pendedahan UNODC itu juga menunjukkan hubungan kompleks kuasa politik dan jenayah transnasional yang kini membentuk cabaran dalaman dan luaran Kemboja.
Salah satu kebimbangan utama bagi komuniti antarabangsa, kuasa besar dan UNODC ialah bukti yang menunjukkan hubungan kewangan yang jelas antara elit politik Kemboja dengan industri penipuan negara yang semakin berkembang dan beroperasi di bawah nama perniagaan yang sah.
Dalam kes yang lebih sensitif dari segi politik, anak saudara bekas Perdana Menteri Hun Sen telah terlibat dalam operasi penipuan dalam talian berskala besar, termasuk penyelewengan lebih AS$49 bilion (S$63 bilion) dalam aset digital sejak 2021.
Dia juga dikaitkan dengan Huione Group, sebuah konglomerat yang dituduh melakukan transaksi kewangan haram, termasuk pengubahan wang haram dan kecurian siber, di seluruh rantau ini. - The Nation/Asia News Network


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg