Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thai kaji bina tembok sempadan dengan Kemboja untuk bendung aktiviti penipuan rentas sempadan

Mar 3, 2025 | 7:01 PM
Seramai 200 warga China yang diselamatkan daripada operasi penipuan pusat panggilan haram di Myanmar telah diterbangkan pulang ke negara asal mereka menaiki pesawat China Southern Airlines dari Lapangan Terbang Mae Sot, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar di wilayah Tak, Thailand.
Mangsa dipercayai telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa oleh kumpulan jenayah yang dikendalikan oleh warga China untuk menipu orang ramai melalui panggilan telefon serta mesej palsu. Setiausaha Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Traisak Intarassamee, berkata bahawa sindiket jenayah ini telah memerangkap ribuan individu di Myanmar, memaksa mereka bekerja di pusat penipuan yang beroperasi di sekitar Myawaddy.
Perdana Menteri Thailand menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 7,000 mangsa dari pelbagai negara telah berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan ini. Mereka dijangka akan dibawa ke Thailand selepas kerajaan Thailand mengambil tindakan drastik dengan memutuskan bekalan elektrik, internet dan minyak ke lima kawasan di Myanmar dalam usaha menumpaskan rangkaian jenayah ini.
Seramai 200 warga China yang diselamatkan daripada operasi penipuan pusat panggilan haram di Myanmar telah diterbangkan pulang ke negara asal mereka menaiki pesawat China Southern Airlines dari Lapangan Terbang Mae Sot, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar di wilayah Tak, Thailand. Mangsa dipercayai telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa oleh kumpulan jenayah yang dikendalikan oleh warga China untuk menipu orang ramai melalui panggilan telefon serta mesej palsu. Setiausaha Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Traisak Intarassamee, berkata bahawa sindiket jenayah ini telah memerangkap ribuan individu di Myanmar, memaksa mereka bekerja di pusat penipuan yang beroperasi di sekitar Myawaddy. Perdana Menteri Thailand menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 7,000 mangsa dari pelbagai negara telah berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan ini. Mereka dijangka akan dibawa ke Thailand selepas kerajaan Thailand mengambil tindakan drastik dengan memutuskan bekalan elektrik, internet dan minyak ke lima kawasan di Myanmar dalam usaha menumpaskan rangkaian jenayah ini. - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang mengkaji cadangan untuk membina tembok di sebahagian sempadannya dengan Kemboja bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin serta membendung aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk pusat penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Cadangan ini muncul di tengah-tengah operasi besar-besaran oleh beberapa negara bagi membanteras sindiket penipuan yang berpusat di Asia Tenggara, khususnya di kawasan sempadan Thailand yang longgar dengan Myanmar dan Kemboja.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu individu telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh kumpulan jenayah yang beroperasi di kawasan ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hujung minggu lalu, polis Thailand menerima 119 warganegara mereka yang dihantar pulang oleh pihak berkuasa Kemboja selepas serbuan di sebuah pusat penipuan di bandar Poipet. Operasi itu menyelamatkan lebih 215 individu yang dipercayai dipaksa bekerja dalam skim penipuan kewangan.

Jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsub, berkata pihaknya masih mengkaji kesan dan keberkesanan cadangan pembinaan tembok ini sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jika ia dilaksanakan, bagaimana ia akan dilakukan? Apakah hasilnya dan sejauh mana ia dapat menyelesaikan masalah? Ini masih dalam peringkat kajian,” katanya tanpa memperincikan panjang tembok yang dicadangkan.

Setakat ini, kerajaan Kemboja belum memberikan sebarang komen mengenai cadangan Thailand itu.

Thailand dan Kemboja berkongsi sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan sebahagian besar kawasan ini menjadi laluan rentas sempadan yang tidak terkawal. Kementerian Pertahanan Thailand sebelum ini pernah mencadangkan pembinaan tembok sepanjang 55 kilometer di kawasan persimpangan semula jadi antara wilayah Sa Kaeo di Thailand dan Poipet di Kemboja, yang ketika ini hanya dipagari dengan kawat berduri.

Pusat penipuan dalam talian yang beroperasi di Asia Tenggara telah menjerat ribuan mangsa dari pelbagai negara, termasuk sejauh Afrika Barat. Perhatian terhadap isu ini semakin meningkat selepas penyelamatan pelakon China, Wang Xing, pada Januari lalu. Wang telah diperdaya dengan tawaran pekerjaan di Thailand sebelum diculik dan dibawa ke pusat penipuan di Myanmar.

Di Myawaddy, Myanmar, lebih 7,000 warga asing – kebanyakannya dari China – sedang menunggu untuk menyeberang masuk ke Thailand. Kerajaan Thailand kini bekerjasama dengan kedutaan negara-negara terlibat bagi menyelaraskan proses pemulangan mereka.

Namun, ratusan individu yang berjaya keluar dari pusat penipuan kini hidup dalam keadaan daif di sebuah kem yang dikendalikan oleh kumpulan militia, sementara mereka cuba mencari jalan untuk pulang ke negara masing-masing.

Seorang ahli parlimen kanan Thailand baru-baru ini menyatakan bahawa usaha membanteras sindiket ini masih belum mencukupi. Beliau menganggarkan sekitar 300,000 individu telah terperangkap dalam pusat penipuan di Myawaddy sahaja.
“Skala masalah ini jauh lebih besar daripada yang disangka. Kita perlu tindakan lebih agresif untuk menangani rangkaian jenayah ini,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg