WASHINGTON: Pegawai kanan keselamatan negara Amerika Syarikat berbeza pandangan sama ada Cik Alice Huang – wanita yang menjalinkan hubungan sulit dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang – merupakan pengintip China.

Perbezaan pandangan itu dikatakan semakin ketara dalam kalangan pegawai kanan keselamatan negara Amerika.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengisytiharkan Encik Huang tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dan menyokong pelantikan semulanya sebagai CEO syarikat gergasi pengeluar cip tersebut.

Menurut agensi berita, Reuters, yang memetik lima sumber yang mengetahui perkara itu, pegawai kanan Rumah Putih, Biro Siasatan Federal (FBI) dan Agensi Risik Pusat (CIA) telah membincangkan sama ada Cik Huang bekerja untuk atau menyalurkan maklumat kepada Kementerian Keselamatan Negara China (MSS), agensi perisikan utama Beijing.

Cik Huang merupakan mantan eksekutif Megaspeed, sebuah syarikat penyedia prasarana pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura dan merupakan antara pelanggan utama Nvidia.

Amerika telah mengumpulkan maklumat perisikan mengenai hubungan Cik Huang dengan individu yang dikaitkan dengan MSS.

Maklumat tersebut terkandung dalam laporan beberapa agensi perisikan Amerika, termasuk CIA, sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, meskipun pegawai kanan keselamatan Amerika bersetuju mengenai fakta asas yang terkandung dalam laporan tersebut, mereka berbeza pandangan dalam mentafsirkan maklumat yang diperoleh.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

FBI, yang bertanggungjawab menjalankan siasatan bagi menangani kegiatan perisikan asing, berpandangan maklumat yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan Cik Huang merupakan pegawai perisikan atau individu yang direkrut oleh agensi perisikan China.

CIA pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Agensi itu mendapati tiada bukti jelas Cik Huang memiliki maklumat sensitif berkaitan keselamatan negara Amerika atau telah menyalurkan maklumat sedemikian kepada Beijing.

Namun, CIA tidak menolak kemungkinan bukti baharu boleh muncul pada masa depan.

Penilaian CIA turut mengambil kira undang-undang China yang mewajibkan rakyatnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa perisikan negara itu apabila diminta.

Sebaliknya, Setiausaha Negara Amerika merangkap Penasihat Keselamatan Negara, Encik Marco Rubio, dilaporkan mempunyai pandangan berbeza.

Menurut laporan terdahulu akhbar, The New York Times, memorandum sulit yang disediakan Encik Rubio awal 2026 menyatakan bahawa MSS dipercayai telah merekrut Cik Huang sebagai individu yang membantu kegiatan perisikannya.

Beberapa pegawai keselamatan Amerika turut berpandangan bahawa hubungan Cik Huang dengan agensi perisikan China menunjukkan kemungkinan beliau bekerjasama dengan Beijing, meskipun tiada bukti jelas maklumat telah disalurkan.

Reuters tidak dapat mengesahkan butiran kandungan laporan perisikan tersebut.

Rumah Putih, CIA, FBI dan Jabatan Negara Amerika enggan mengulas mengenai perkara itu.

China telah menafikan dakwaan pengintipan tersebut, manakala usaha Reuters menghubungi Cik Huang tidak berhasil.

Perbezaan penilaian itu turut mendedahkan masalah yang menurut pegawai perisikan semasa dan mantan pegawai semakin ketara dalam pentadbiran Encik Trump, iaitu maklumat sulit kurang dikongsi dan dibincangkan antara agensi pemerintah.

Majlis Keselamatan Negara Amerika, yang mengalami pengurangan kakitangan secara ketara sejak Encik Trump kembali memegang jawatan, sebelum ini memainkan peranan penting dalam menyelaras perbincangan antara agensi mengenai isu keselamatan sensitif.

Namun, mesyuarat sedemikian kini kurang kerap diadakan berbanding pentadbiran terdahulu.

Menurut dua sumber, majlis tersebut tidak mengadakan mesyuarat melibatkan pegawai peringkat Kabinet daripada pelbagai agensi untuk membincangkan isu Encik Huang dan Nvidia.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan maklumat perisikan mungkin tidak disemak dan diteliti sepenuhnya sebelum disampaikan kepada penggubal dasar.

Laporan CIA mengenai Cik Huang pula dilaporkan lebih tertumpu kepada peranannya di Megaspeed serta dakwaan mengenai penyaluran cip Amerika ke China yang melanggar sekatan eksport Washington.

Beberapa pegawai Amerika berpandangan kegiatan sedemikian, sekiranya terbukti, menimbulkan ancaman lebih besar terhadap keselamatan negara berbanding hubungan sulit CEO Nvidia itu.

Megaspeed menegaskan syarikat tersebut menjalankan kegiatan perniagaan yang sah dan mematuhi peraturan kawalan eksport Amerika.

Pendedahan mengenai memorandum sulit Encik Rubio awal November mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai pentadbiran Encik Trump dan anggota lembaga pengarah Nvidia.

Mereka mempersoalkan sama ada Encik Huang mengetahui bahawa wanita yang menjalinkan hubungan sulit dengannya mungkin menyalurkan maklumat kepada China.

Encik Trump kemudian mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden, Encik JD Vance; Peguam Negara, Encik Todd Blanche; dan Pengarah Perisikan Negara, Encik Jay Clayton.

Presiden Amerika itu mahu mendapatkan kepastian sama ada Encik Huang sedang disiasat pihak berkuasa federal dan sama ada beliau menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Encik Blanche dilaporkan memberi jaminan bahawa CEO Nvidia itu tidak menimbulkan ancaman keselamatan, manakala Encik Clayton berkata masih belum jelas sama ada Cik Huang merupakan individu yang direkrut perisikan China.

Encik Rubio tidak dilibatkan dalam perbincangan tersebut dan dilaporkan terkejut dengan pelantikan semula Encik Huang sebagai CEO Nvidia.

Encik Huang telah mengakui berlaku curang terhadap isterinya dan memohon maaf, namun belum mengulas secara terbuka mengenai dakwaan pengintipan tersebut.

Perbezaan penilaian antara agensi perisikan itu dijangka menjadi antara perkara utama yang diteliti sekiranya Kongres Amerika menjalankan siasatan terhadap Nvidia dan campur tangan Encik Trump dalam pelantikan semula Encik Huang. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti