Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli politik Australia didakwa terima tiket sukan popular bernilai ratusan ribu

Apr 16, 2025 | 2:06 PM
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menghadiri perlawanan NRL antara pasukan Canterbury-Bankstown Bulldogs dan South Sydney Rabbitohs di Stadium ACCOR, Sydney, Australia, pada 7 April 2023.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menghadiri perlawanan NRL antara pasukan Canterbury-Bankstown Bulldogs dan South Sydney Rabbitohs di Stadium ACCOR, Sydney, Australia, pada 7 April 2023. - Foto REUTERS

SYDNEY: Isu pengaruh industri perjudian dalam politik Australia kembali menjadi tumpuan selepas pendedahan terbaru menunjukkan ahli politik menerima tiket percuma bernilai hampir A$245,000 ($204,494) sepanjang tempoh hampir dua tahun.

Tiket-tiket ini kebanyakannya ke perlawanan sukan popular diberikan oleh badan sukan utama negara seperti Liga Ragbi Kebangsaan (NRL) dan Liga Bola Sepak Australia (AFL), sebagai sebahagian daripada kempen lobi terhadap cadangan pengharaman iklan perjudian dalam talian.

Pendedahan ini berlaku selepas laporan Parlimen pada 2023, yang diterajui oleh kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese, mengesyorkan larangan menyeluruh ke atas semua bentuk pengiklanan perjudian atas talian, lapor Reuters.

Namun sehingga hari ini, tiada tindakan undang-undang diambil. Sebaliknya, isu itu disisihkan daripada agenda Parlimen dan ditangguhkan untuk pertimbangan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum pada 3 Mei 2025.

Menurut data rasmi daripada daftar hadiah Parlimen, seramai lebih 300 ahli politik dari kedua-dua parti utama Australia menerima 312 tiket percuma antara 28 Jun 2023 hingga 28 Mac 2025 — tempoh selepas laporan pengharaman iklan judi dikeluarkan dan sebelum Parlimen dibubarkan.

Nilai anggaran A$245,000 itu dikira berdasarkan harga tempat duduk korporat paling murah dan disahkan oleh pakar ekonomi sukan dan akademik universiti.

Antara penerima terbesar ialah Perdana Menteri Anthony Albanese sendiri, yang menerima tiket bernilai A$29,000, termasuk ke perlawanan akhir dan perlawanan pasukan ragbi kegemarannya, South Sydney Rabbitohs. Ketua pembangkang, Encik Peter Dutton, turut menerima tiket bernilai A$21,350. Kedua-dua pihak tidak memberi sebarang komen kepada pihak media.

Lobi ini, walaupun tidak menyalahi undang-undang, menimbulkan persoalan serius mengenai integriti proses politik terutamanya apabila wujud bukti bahawa badan sukan secara aktif menggunakan peluang ini untuk mempengaruhi keputusan dasar.

“Sudah jelas ada kepentingan besar yang melobi secara halus untuk menghalang larangan ini,” kata Senator bebas, Encik David Pocock. “Selepas 18 bulan laporan penting itu dikeluarkan, dan satu penggal penuh pentadbiran kerajaan Buruh, Perdana Menteri masih gagal mengambil tindakan bermakna. Ia sangat mengecewakan.”

Isu ini bukan sahaja menyentuh soal dasar awam, tetapi turut menyingkap betapa bergantungnya badan sukan Australia terhadap dana perjudian. Di negara ini, badan sukan menerima potongan langsung daripada jumlah pertaruhan yang dibuat terhadap permainan mereka - satu sistem yang tidak biasa di banyak negara lain.

Sebagai contoh, NRL dikatakan menerima sekitar A$70 juta setahun daripada hasil perjudian — satu sumber pendapatan yang meningkat lima belas kali ganda dalam masa sedekad. Menurut dokumen sulit yang dilihat oleh sumber Reuters, hasil ini boleh berkurangan lebih separuh jika larangan iklan perjudian dikuatkuasakan.

Lebih mengejutkan, satu pertiga daripada hasil siaran NRL yang bernilai A$400 juta setahun dikaitkan dengan iklan perjudian sukan. Tidak hairanlah, menurut ahli parlimen bebas Cik Kate Chaney, “badan sukan di Australia kini ‘ketagih’ kepada wang judi.” Beliau menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berdasarkan keperluan kewangan jangka pendek, bukan demi masa depan sukan itu sendiri.

Menurut tiga sumber yang terlibat dalam perancangan, satu kumpulan lobi dikenali sebagai Coalition of Major Professional and Participation Sports (COMPPS) — yang mewakili badan sukan seperti AFL dan NRL — menjalankan kempen lobi tersusun selepas laporan Parlimen 2023 dikeluarkan.

Ahli-ahli politik dijemput menghadiri perlawanan dan ditempatkan berdekatan dengan pegawai kanan badan sukan yang telah diberi taklimat tentang bagaimana untuk mempengaruhi pandangan mereka.
“Kami tahu siapa yang suka sukan mana, siapa yang berpengaruh dalam kabinet, dan siapa yang boleh diajak berbincang dengan mudah,” ujar salah seorang perancang yang enggan dikenali.

Encik Charles Livingstone, profesor kesihatan awam di Monash University dan ahli kumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai perjudian, berkata: “Mereka bukan sekadar beri tiket, mereka juga dapat masa selama satu perlawanan untuk bercakap, menanam idea, dan mempengaruhi dasar. Ini bukan peluang yang mudah didapati oleh mana-mana pihak lain.”

Tinjauan menunjukkan bahawa tiga daripada empat rakyat Australia menyokong larangan penuh terhadap iklan perjudian. Ini bukan perkara kecil, memandangkan Australia merekodkan kerugian perjudian tertinggi di dunia secara purata per kapita — dijangka mencecah A$34 bilion pada tahun 2025, menurut data H2 Gambling Capital.

Namun di sebalik sokongan rakyat yang kuat, kerajaan masih menangguhkan tindakan. Bagi Encik Louis Francis, ahli akademik kesihatan awam di Curtin University, ini adalah bukti bagaimana hubungan antara pemimpin politik dan badan sukan boleh membantutkan reformasi. “Tiket percuma ini sangat kecil harganya, tetapi pulangannya besar,” katanya. “Satu tempat duduk VIP sudah cukup untuk mempengaruhi hala tuju dasar nasional.”

“Badan sukan harus memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan sukan negara, bukan semata-mata untuk poket mereka. Jika mereka terus bersandar kepada wang judi, ia bukan sahaja mencemari sukan tetapi juga merosakkan kepercayaan rakyat terhadap proses politik,” tegas Senator Kate Chaney. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg