MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan untuk menyokong dan menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.
Demikian menurut satu kenyataan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, awal pagi ini (24 November), selepas mesyuarat khas MKT Umno yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang bermula pada 8 malam tadi.

“MKT (Umno) secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.
“MKT juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” ujar Datuk Ahmad.
Dalam pada itu, beliau turut berkata MKT Umno akan terus memperkukuh sokongan terhadap Datuk Ahmad Zahid untuk terus menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden Umno.