JAKARTA: Suasana di pasar ternakan seluruh Indonesia sibuk apabila umat Islam mula membeli lembu, kambing dan biri-biri untuk ibadah korban.

Aidiladha yang disambut pada 27 Mei sebenarnya turut memacu ekonomi besar yang menguntungkan penternak, peniaga musiman dan syarikat logistik di negara dengan penduduk Muslim terbesar dunia itu.

Di bandar termasuk Jakarta, Bandung, Surabaya dan Makassar, gerai sementara menjual haiwan korban mula memenuhi tepi jalan, kawasan lapang dan tempat letak kereta sejak awal Mei.

Permintaan yang meningkat pada 2026 ini dilihat memberi nafas baharu kepada industri penternakan tempatan, walaupun rakyat masih berdepan isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Penternak lembu di Jakarta, Encik Tatang Sutisna, berkata jualan pada 2026 meningkat hampir dua kali ganda berbanding musim Aidiladha sebelumnya.

“Lebih ramai orang melakukan korban pada 2026.

“Ini mungkin menunjukkan bahawa kuasa beli dalam kalangan masyarakat tempatan semakin pulih, walaupun harga barang dan kos logistik meningkat,” katanya.

Media tempatan Indonesia melaporkan bahawa kegiatan jual beli haiwan korban meningkat menjelang Aidiladha, dengan kebanyakan pasar mencatat urus niaga sekitar 6 bilion rupiah ($434,000).

Peniaga bermusim merupakan antara golongan paling mendapat manfaat.

Penjual haiwan korban di Cikarang, Jawa Barat, Encik Hikmah Djaelani, 47 tahun, berkata beliau memperoleh keuntungan lebih 100 juta rupiah selepas menjual 12 lembu, 23 kambing dan 32 biri-biri sejak lewat April.

“Alhamdulillah, walaupun saya hanya berniaga setahun sekali, pendapatan musim korban biasanya cukup untuk menampung keluarga untuk hampir setahun,” katanya.

Pada hari biasa, beliau hanya bekerja di ladang dan menjaga ternakan dengan pendapatan kurang daripada 500,000 rupiah sebulan.

Namun, musim Aidiladha mengubah kehidupannya secara mendadak.

Fenomena itu menunjukkan bagaimana ibadah korban bukan sahaja mempunyai nilai kerohanian, bahkan juga menjadi sumber ekonomi penting kepada ribuan penternak kecil dan peniaga desa di Indonesia.

Pada 2026, harga kambing korban di Indonesia secara umum masih dianggap mampu milik, dengan julat sekitar 2 juta rupiah hingga 5 juta rupiah seekor, bergantung pada saiz dan kesihatan haiwan.

Biri-biri pula dijual sekitar 4 juta rupiah hingga 6 juta rupiah.

Namun, harga lembu menunjukkan perbezaan lebih ketara, terutama bagi baka premium seperti Limousin dan Simmental.

Lembu bersaiz biasa dengan berat sekitar 200 hingga 400 kilogram dijual antara 17 juta rupiah dengan 25 juta rupiah.

Bagi baka premium dengan berat 600 hingga 800 kilogram, harganya boleh mencecah lebih 45 juta rupiah seekor.

Di Jakarta, seorang peniaga bernama Encik Said berkata beliau berjaya menjual 44 daripada 70 ekor lembu yang dibawa dari Bima, Nusa Tenggara Barat, dalam tempoh hanya 15 hari.

“Kebanyakan lembu sudah ditempah awal dan menunggu penghantaran kepada pembeli,” katanya.

Menurut beliau, lembu dengan berat lebih 400 kilogram boleh dijual sehingga 80 juta rupiah seekor.

Penjualan haiwan korban di gerainya juga meningkat lebih 90 peratus berbanding 2025.

Permintaan tinggi itu menyebabkan ramai pembeli mula membuat tempahan lebih awal, kerana bimbang bekalan habis menjelang Aidiladha.

Di samping itu, penggunaan wadah digital dan aplikasi mudah alih bagi pembelian haiwan korban turut menjadi antara perkembangan menarik pada 2026.

Di bandar besar seperti Jakarta dan Surabaya, ramai pembeli kini membuat perbandingan harga secara dalam talian, sebelum datang sendiri melihat haiwan pilihan mereka.

Carian seperti “harga sapi kurban 2026” dan “harga kambing kurban” menjadi antara kata kunci popular di Internet di Indonesia, sepanjang musim Aidiladha.

Walaupun teknologi memudahkan pembelian, kebanyakan pembeli masih mahu melihat sendiri keadaan haiwan, bagi memastikan ia memenuhi syarat agama dan standard kesihatan.

“Pemeriksaan secara langsung masih penting kerana pembeli mahu memastikan haiwan sihat dan sesuai untuk korban,” kata seorang peniaga di Jakarta.

Kementerian Pertanian Indonesia pula memberi jaminan bekalan haiwan korban 2026 mencukupi walaupun permintaan meningkat.

Di kementerian itu, Ketua Pengarah Penternakan dan Kesihatan Haiwan, Encik Agung Suganda, berkata jumlah bekalan haiwan korban di peringkat nasional kini mencecah 3.24 juta ekor.

Jumlah itu jauh melebihi anggaran permintaan sekitar 2.35 juta ekor, sekali gus menghasilkan lebihan hampir 900,000 ekor.

“Di peringkat nasional, bekalan haiwan korban mencukupi dan terkawal,” katanya dalam sidang media di Jakarta.

Menurut beliau, bekalan lembu sahaja sudah mencapai lebih 859,000 ekor, melebihi permintaan sekitar 791,000 ekor.

“Bekalan kambing pula melebihi 1.4 juta ekor, manakala biri-biri hampir 936,000 ekor.

Encik Agung berkata pemerintah turut mengawal pergerakan ternakan dari kawasan lebihan bekalan ke wilayah dengan permintaan tinggi, bagi memastikan harga kekal stabil.

Bagi menjamin keselamatan makanan dan kesihatan haiwan, pemerintah menyiapkan 9,743 pemeriksa veterinar untuk menjalankan pemeriksaan sebelum dan selepas penyembelihan korban.

Di sebalik nilai ekonomi yang besar, Aidiladha di Indonesia masih dilihat sebagai lambang perpaduan sosial dan kebersamaan masyarakat Islam.

Seperti tradisi setiap tahun, daging korban akan diagih kepada golongan miskin dan masyarakat yang memerlukan di kawasan setempat.

Bagi ramai rakyat Indonesia, ibadah korban bukan sekadar ritual agama, malah, peluang membantu mereka yang jarang menikmati daging dalam kehidupan harian.

Ketika tekanan ekonomi sejagat masih dirasai, peningkatan jualan haiwan korban pada 2026 turut memberi gambaran bahawa semangat masyarakat untuk berkongsi rezeki dan melaksanakan ibadah tetap kuat.

Di pasar ternakan seluruh Indonesia, bunyi lembu menguak dan kambing mengembek kini bukan sekadar tanda ketibaan Aidiladha.

Sebaliknya, ia lambang bagaimana agama, budaya dan ekonomi terus bergerak, seiringan dalam kehidupan masyarakat Muslim negara itu. – Agensi berita.

“Lebih ramai orang melakukan korban pada 2026. Ini mungkin menunjukkan bahawa kuasa beli dalam kalangan masyarakat tempatan semakin pulih, walaupun harga barang dan kos logistik meningkat.”
Encik Tatang Sutisna, penternak lembu di Jakarta.

“Alhamdulillah, walaupun saya hanya berniaga setahun sekali, pendapatan musim korban biasanya cukup untuk menampung keluarga untuk hampir setahun.”
Encik Hikmah Djaelani, penjual haiwan korban di Cikarang, Jawa Barat.