JAKARTA: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh Indonesia pada 6 Jun, Presiden Prabowo Subianto menyumbangkan sebanyak 985 lembu korban kepada rakyat di seluruh 38 wilayah dan 514 daerah dan kota di Indonesia termasuk kawasan pedalaman dan luar bandar.
Menurut Wakil Menteri Sekretariat Negara (Wamensesneg), Encik Juri Ardiantoro, pengagihan lembu korban iitu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif bantuan kemasyarakatan Presiden.
“Pada Hari Raya Aidiladha tahun ini (2025), Presiden berkenan menyumbangkan 985 sapi korban melalui program bantuan kemasyarakatan. Lembu-lembu ini telah dihantar ke pelbagai masjid dan institusi di seluruh negara,” katanya ketika ditemui media pada 5 Jun.
Agihan lembu tersebut dilakukan menerusi dua kaedah.
Pertama melalui pemerintah tempatan, dan kedua menerusi tokoh agama serta pondok pesantren.
Jelas Encik Juri, langkah ini bertujuan memastikan lembu korban sampai kepada masyarakat yang benar-benar memerlukan.
Presiden Prabowo turut menyumbangkan seekor lembu istimewa kepada Masjid Istiqlal, Jakarta, tempat beliau menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi 6 Jun.
Lembu berkenaan seberat 1,250 kilogram dan dalam keadaan sihat serta siap untuk disembelih.
Tambah Encik Juri lagi, lembu paling berat dalam senarai sumbangan Presiden mencecah 1.3 tan dan telah dihantar ke daerah di Jawa Barat serta Mukomuko, Bengkulu.
Sumbangan luar biasa ini katanya telah menarik perhatian rakyat tempatan yang menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan Presiden terhadap semua lapisan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
Presiden Prabowo menerusi tindakan simbolik dan penuh makna korban ini, menyampaikan mesej bahawa pengorbanan dan kepedulian sosial ialah asas penting dalam membina negara yang berteraskan nilai Islam dan kebajikan.
Dalam hantaran media sosial rasmi beliau, Presiden Prabowo menyatakan bahawa Aidiladha merupakan lambang keikhlasan, keteguhan iman, dan pengorbanan demi kepentingan yang lebih besar.
“Aidiladha mengajar kita tentang erti ikhlas dan kesediaan berkorban demi kebaikan ummah. Teladan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sentiasa menjadi cerminan untuk mengutamakan kepentingan umat serta bangsa melebihi kepentingan peribadi,” tulisnya di Instagram.
Encik Prabowo turut menyeru agar Hari Raya Aidiladha terus diresapi sebagai detik mempererat persaudaraan, mengukuhkan perpaduan dan menjadi landasan untuk membina Indonesia dengan semangat pengabdian serta perpaduan.
Khutbah Aidiladha di Masjid Istiqlal telah disampaikan oleh Encik Wan Jamaluddin, Rektor Universiti Islam Negeri Raden Intan Lampung.
Dalam khutbahnya, beliau menekankan bahawa ibadah korban bukan semata-mata penyembelihan haiwan, tetapi mengandungi makna kerohanian dan sosial yang mendalam.
“Korban ialah manifestasi cinta kepada Allah menerusi ketaatan, dan cinta kepada sesama manusia melalui agihan daging korban. Inilah nilai-nilai Islam yang harus terus diperkasa,” ujar beliau.
Encik Wan Jamaluddin turut menyentuh mengenai peranan Indonesia dalam mewujudkan keamanan sejagat, seperti termaktub dalam Pembukaan Perlembagaan 1945.
Beliau mengajak umat Islam untuk terus mendukung usaha perdamaian global demi kemanusiaan sejagat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg