Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo, merancang memulakan penerbangan ke Singapura menjelang akhir Julai, selepas melancarkan laluan Kuching-Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Ketua Eksekutif AirBorneo, Encik Megat Ardian Aminuddin, berkata langkah itu menandakan permulaan operasi pesawat jet syarikat penerbangan tersebut.

Beliau berkata AirBorneo telah memperoleh kelulusan serta hak trafik udara bagi laluan ke Singapura itu, manakala ujian operasi di Lapangan Terbang Changi, masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

“Sebaik sahaja proses itu selesai, kami akan menetapkan tarikh pelancaran. Ia dijangka berlangsung tidak lama selepas laluan ke Kuala Lumpur dilancarkan.

“Jika semuanya berjalan lancar, ia akan dilaksanakan menjelang akhir Julai,” katanya dalam satu sesi meja bulat bersama media pada 8 Julai.

Encik Megat Ardian berkata AirBorneo akan mengendalikan laluan ke Kuala Lumpur dan Singapura menggunakan dua pesawat Boeing 737-800.

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan dua penerbangan sehari ke Kuala Lumpur dan satu penerbangan sehari ke Singapura.

AirBorneo juga merancang untuk menambah tiga lagi pesawat jet pada 2027, diikuti sebuah pesawat baharu setiap suku tahun, bermula 2028, menjadikan jumlah sebanyak 17 pesawat menjelang akhir 2030.

Syarikat penerbangan itu menyasarkan destinasi serantau dengan tempoh penerbangan antara tiga dengan lima jam.

“Destinasi tersebut merangkumi bandar di Asean serta destinasi lain yang boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga lima jam penerbangan,” kata beliau.

AirBorneo, jelasnya, berharap dapat menjadi syarikat penerbangan rasmi bagi Sukan SEA 2027, yang akan dianjurkan bersama oleh Sarawak.

“Menjelang awal 2027, kami mungkin sudah mempunyai dua atau tiga destinasi Asean dalam jadual penerbangan tetap kami.

“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa destinasi Asean yang belum kami kendalikan. Destinasi inilah yang boleh kami mulakan menerusi penerbangan sewa khas berjadual,” tambah beliau. – Agensi berita.