Topik diikuti
Pergi ke BHkuJuruterbang warga AS maut ditembak pemberontak Papua, pesawat dibakar
Juruterbang warga AS maut ditembak pemberontak Papua, pesawat dibakar
Juruterbang warga AS maut ditembak pemberontak Papua, pesawat dibakar
JAKARTA: Pemberontak pemisah di wilayah Papua, Indonesia, dilaporkan menembak mati seorang juruterbang warga Amerika Syarikat dan membakar pesawat awam yang dipandunya dalam satu serangan di daerah Yahukimo pada 2 Julai.
Kumpulan Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB), iaitu kumpulan pemisah bersenjata di Papua, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan menyifatkannya sebagai “mesej” kepada pemerintah Indonesia serta Amerika Syarikat.
Jurucakap TPNPB, Encik Sebby Sambom, berkata juruterbang terbabit dikenali sebagai Nicholas F. Gosselin.
Menurut beliau, pesawat itu diserang selepas mendarat di kawasan Balinggama di wilayah Highland Papua.
“Pasukan kami menembak mati juruterbang Amerika itu dan membakar pesawatnya,” katanya.
Beliau mendakwa pesawat berkenaan sering digunakan untuk membawa anggota tentera Indonesia ke kawasan konflik di Papua.
“Pesawat itu kerap menurunkan anggota tentera Indonesia dan melanggar amaran TPNPB,” katanya lagi.
Papua, wilayah paling timur Indonesia yang kaya dengan sumber asli, sudah lama bergolak akibat konflik antara kumpulan pemisah dan pasukan keselamatan Indonesia yang menuntut kemerdekaan wilayah itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, serangan kumpulan pemisah menjadi semakin kerap dan lebih berbahaya selepas mereka dipercayai memperoleh senjata lebih canggih.
Jurucakap operasi bersama polis dan tentera Indonesia di Papua, Encik Yusuf Sutejo, mengesahkan sebuah pesawat yang dipandu juruterbang warga Amerika ditemui terbakar di sebuah lapangan terbang tempatan di Yahukimo.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian dan belum dapat mengesahkan sama ada pesawat itu diserang pemberontak atau juruterbang terbabit terbunuh.
Menurut beliau, pesawat itu membawa tujuh penumpang warga Papua.
Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata pesawat berkenaan berlepas dari bandar Wamena menuju ke Yahukimo sebelum hubungan komunikasi terputus selepas pendaratan.
Pesawat itu milik syarikat penerbangan PT AMA yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, bahan api dan surat ke kampung terpencil di Papua.
TPNPB berkata serangan itu bertujuan menghantar mesej kepada pemerintah Indonesia dan Amerika Syarikat kerana didakwa gagal menyelesaikan konflik berpanjangan di Papua.
“Mesej ini ditujukan kepada pemerintah Indonesia dan Amerika Syarikat yang gagal menangani punca sebenar konflik antara tentera Indonesia dan Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat,” kata Sebby.
Beliau turut memberi amaran bahawa kumpulan pemisah akan terus menyerang pesawat awam jika Indonesia membenarkan penerbangan memasuki kawasan yang dianggap “zon merah” di bawah kawalan pemberontak.
Satu video yang dikirim TPNPB menunjukkan beberapa anggota kumpulan bersenjata membawa senapang dan kapak sambil mengibarkan bendera “Morning Star”, simbol perjuangan kemerdekaan Papua.
Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.
Kes penculikan juruterbang asing oleh kumpulan pemisah Papua sebelum ini turut mendapat perhatian antarabangsa.
Dalam satu kes berprofil tinggi, pemberontak Papua menculik juruterbang warga New Zealand, Phillip Mehrtens, selepas beliau mendaratkan pesawat kecil di daerah Nduga pada 2023 sebelum dibebaskan pada tahun lalu.
Konflik di Papua terus menjadi cabaran keselamatan utama bagi Indonesia, terutama di kawasan pedalaman dan pergunungan yang sukar diakses serta sering menyaksikan ketegangan antara kumpulan pemisah dan pasukan keselamatan. - Agensi berita
