AirFish mirip hoverkraf mula operasi S’pura-Batam pertengahan 2026
AirFish mirip hoverkraf mula operasi S’pura-Batam pertengahan 2026
AirFish, sebuah kapal seperti hoverkraf yang meluncur di atas air, dijangka mula membawa penumpang dari Singapura ke Batam mulai separuh kedua 2026.
Mengumumkan demikian di acara hari pertama Pertunjukan Udara Singapura pada 3 Februari, ST Engineering menyatakan pihaknya melalui ST Engineering AirX akan memeterai perkongsian strategik dengan pengendali feri BatamFast untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.
ST Engineering AirX ialah usaha sama antara kumpulan itu dengan syarikat baru yang berpangkalan di Singapura, Peluca.
BatamFast kini mengendalikan 18 perjalanan dari Singapura ke Batam di Indonesia setiap hari.
Operasi antara Singapura dengan Batam dijangka bermula pada separuh kedua 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia, umum ST Engineering.
Ia menambah bahawa ST Engineering AirX dan BatamFast juga akan meneroka peluang untuk mengembangkan sayap mereka ke destinasi baru di seluruh Asia Tenggara.
ST Engineering menambah bahawa ia juga akan bekerjasama dengan pengendali Wings Over Water Ferries (WOW) untuk membawa perkhidmatan tersebut ke India.
WOW akan memajak dan mengendalikan sehingga empat kapal AirFish, bermula pada akhir 2026, dengan permulaan operasi tertakluk kepada kelulusan laluan oleh pihak berkuasa tempatan.
AirFish Voyager, yang direka untuk membawa lapan penumpang dan dua kru, akan digunakan di laluan ini. Ia sedang dibangunkan di Singapura.
Berukuran 17 meter panjang dan 15 meter lebar, kapal bersayap di darat atau air ini beroperasi berdasarkan prinsip kesan daratan untuk meluncur di atas permukaan air.
Kesan di daratan meningkatkan ciri-ciri pengangkatan sayapnya apabila ia berada berhampiran darat.
Udara di bawah sayap dimampatkan apabila ia berhampiran dengan darat, mewujudkan kesan kusyen.
AirFish Voyager boleh meluncur di atas ombak pada kelajuan 100 knot, yang jauh lebih pantas daripada feri biasa yang selalunya bergerak pada kelajuan 30 knot.
Sejak 2024, ST Engineering AirX telah bekerjasama dengan Bureau Veritas, penyedia pengujian, pemeriksaan dan pensijilan, dalam pengelasan dan pensijilan kapal AirFish.
Ia dijangka meraih perakuan menjelang pertengahan 2026.


