Syarikat Grab telah melancarkan projek perintis penghantaran makanan dan barangan menggunakan dron selama tiga bulan di Singapura.
Projek tersebut menawarkan perkhidmatan bagi kawasan Tanjong Rhu, menurut syarikat itu dalam satu catatan blog pada 6 Januari.
Perkhidmatan penghantaran dron Grab (Beta) akan beroperasi setiap Selasa hingga Ahad, dari 10 pagi hingga 6 petang, melibatkan sehingga 28 penghantaran dron sehari.
Purata masa penerbangan bagi perjalanan pergi balik dianggarkan sekitar lapan minit.
Perkhidmatan itu akan dihentikan semasa cuaca hujan dan cuti umum, lapor The Business Times (BT).
Penghantaran makanan dan barangan menggunakan dron dapat mengatasi kekangan geografi yang melambatkan penghantaran dan menjejas kecekapan.
Di Tanjong Rhu, Sungai Kallang memisahkan kawasan perumahan dari deretan kedai makan, menyebabkan setiap penghantaran mengambil masa tambahan beberapa minit.
Penghantar makanan tetap memainkan peranan penting, dengan membawa pesanan ke tapak pelancaran dron di Republic Avenue dan menghantarnya kepada pelanggan selepas dron mendarat di Tanjong Rhu.
Lebih 20 penghantar dilatih oleh ST Engineering mengenai pemindahan pesanan dron yang selamat.
Menurut Grab, dron tersebut tidak akan menyimpan sebarang rakaman daripada kamera pengemudian dan beroperasi pada tahap bunyi yang setanding dengan perbualan biasa.
Projek perintis itu adalah untuk ujian dalaman sahaja, kata Grab, dan belum dibuka kepada pengguna untuk mencubanya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan susulan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Grab, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Pengangkutan, serta pemaju hartanah, Megaworld Corporation, mengenai penghantaran makanan dan barangan menggunakan dron di Filipina pada Jun 2024.
MOU tersebut melibatkan model penghantaran hibrid, yang mana penghantar menguruskan pengambilan dan penghantaran di stesen pendaratan dron, manakala dron mengendalikan perjalanan antara lokasi.
Grab masih belum menjalankan sebarang penghantaran makanan dan barangan menggunakan dron di Filipina setakat ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg