WASHINGTON: Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) pada Rabu menuduh Amazon.com mendaftarkan berjuta-juta pengguna ke dalam khidmat langganan berbayar Amazon Prime.
Ini dikatakan dibuat tanpa persetujuan mereka di samping menyukarkan mereka untuk membatalkan langganan itu – tindakan terkini agensi itu terhadap gergasi e-dagang itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
FTC menyaman Amazon di mahkamah persekutuan di Seattle dengan mendakwa syarikat itu “secara sengaja menipu berjuta-juta pengguna tanpa disedari untuk mendaftar dalam Amazon Prime”.
Dalam satu kenyataan, Amazon menyifatkan dakwaan FTC sebagai “palsu pada fakta dan undang-undang”.
Amazon telah menggunakan “reka bentuk antara muka pengguna yang manipulatif, memaksa atau memperdaya, yang dikenali sebagai ‘corak gelap’ untuk menipu pengguna agar mendaftar dalam memperbaharui langganan Prime secara automatik”, kata FTC.
Ia turut menuntut penalti sivil dan injunksi kekal untuk mencegah pencabulan peraturan pada masa depan.
Tuntutan itu adalah satu daripada beberapa tindakan yang diambil oleh pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden yang bertujuan mengekang kuasa pasaran luar biasa besar firma Big Tech, di samping cuba meningkatkan persaingan bagi melindungi pengguna.
FTC berkata Amazon Prime ialah program langganan terbesar di dunia, menjana pendapatan AS$25 bilion ($33 bilion) setiap tahun.
Ia menawarkan penstriman pantas dan percuma untuk berjuta-juta bahan, pelbagai diskaun dan akses kepada filem, muzik dan siri televisyen, serta faedah lain.
Anggota Prime di Amerika membayar AS$139 setahun dan memacu sebahagian besar volum jualan Amazon.
Prime, yang mempunyai lebih 200 juta anggota di seluruh dunia, adalah penting untuk perniagaan Amazon yang lain, termasuk khidmat penstriman Prime Video dan penghantaran barangan runcitnya.
Dalam kenyataannya, Amazon menyatakan: “Sebenarnya pelanggan menyukai Prime, dan dengan reka bentuk ini, kami menjelaskan dan memudahkan pelanggan untuk mendaftar atau membatalkan keanggotaan Prime mereka.”
Amazon menambah, “adalah membimbangkan kerana FTC mengumumkan tuntutan mahkamah ini tanpa sebarang pemberitahuan kepada kami, di tengah-tengah perbincangan kami dengan anggota kakitangan FTC bagi memastikan mereka memahami fakta, konteks dan isu undang-undang, dan sebelum kami dapat mengadakan dialog dengan pesuruhjaya sendiri”.
Tuntutan Rabu datang pada hari yang sama Amazon mengumumkan tarikh acara jualan utama Prime Day pada Julai.
Tuntutan itu mengatakan bahawa di bawah tekanan yang cukup besar daripada FTC, Amazon telah menukar proses pembatalannya pada April tetapi “pelanggaran masih berterusan” dan ia masih “memerlukan lima klik pada komputer ‘desktop’ dan enam pada telefon bimbit untuk pengguna membatalkan langganan daripada Amazon.com”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg